URBAN METHOD UCAP 'DOMO ARIGATO' KEMBALI AKTIF
SELEPAS 15 tahun menyepi mereka kembali untuk mewarnai industri muzik hip-hop.
Ternyata, kumpulan Hip-Hop, Urban Method mengejutkan peminat dengan membuat kemunculan semula bersama sebuah lagu baharu, berjudul bahasa Jepun, 'Domo Arigato' bererti 'Terima Kasih'.
Ucapan itulah yang mahu mereka sampaikan kepada peminat lama mahu pun baharu sebagai sebuah penghargaan terhadap sokongan mereka sejak awal penubuhan Urban Method lebih 15 tahun lalu.
Buat generasi kini yang mungkin tidak mengenali mereka, Urban Method yang dianggotai Mahadhir Bin Mohd Ismail, 39, Mohd Munawir Bin Anuar, 40, Hazairi Basha Bin Jamel Basha, 39, Muneer Khan Bin Nazir Khan, 37 dan Ahmad Sayuti bin Ibrahim, 39 sebelum ini pernah mekar dengan lagu duet yang diberi nafas baharu, 'Wajah Rahsia Hati' bersama primadona negara, Ogy Datuk Ahmad Daud yang juga merupakan penyanyi asal lagu tersebut.
Menurut mereka, idea untuk membuat kemunculan semula ini tercetus setelah ramai peminat meminta untuk mereka kembali selain mendapat sokongan daripada rakan-rakan seangkatan.
Dan kini, impian tersebut akhirnya terlaksana dengan 'Domo Arigato' mencipta kenangannya tersendiri.
Istimewanya juga, lagu ini telah mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer Damian Mikhael, Alzy serta Urban Method sendiri yang turut mencipta liriknya.
“Lagu ini menceritakan mengenai reunion kami yang telah berkawan baik selama 16 tahun. Domo Arigato bukan sahaja tentang kemunculan semula Urban Method, malah ia juga mengimbau kembali tali persahabatan kami dan juga penghargaan buat peminat
“Terima kasih, thank you mungkin dah biasa. Jadi kami memilih Domo Arigato untuk menunjukkan kelainan yang ditampilkan kali ini dan juga ekspresikan penghargaan kami buat semua” kata Mahadhir pada majlis pelancaran single dan video muzik terbaharu 'Domo Arigato' di Publika baru-baru ini.
Proses rakaman, suntingan dan adunan yang mengambil masa selama tiga hari telah dilakukan di Studio 360 Music Productions dan muzik pula diarahkan oleh Kamal Ridzuan.
“Tidak lengkap sekiranya Domo Arigato dilancarkan tanpa muzik video. Di sebalik pembikinannya yang diarahkan oleh Kamal Ridzuan, ia hanya mengambil masa selama 3 hari untuk disiapkan. Cuma penerbitannya telah tertunda untuk beberapa ketika berikutan pandemik yang melanda negara” jelas Munawir pula.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diperkenalkan, banyak aktiviti-aktiviti seni terpaksa dihentikan, malah ada diantara mereka yang mempunyai pekerjaan sendiri turut terjejas. Namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk membuat persiapan kemunculan semula.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada setiap ahli Urban Method sendiri. Walaupun kami dah lama berjauhan, ada pekerjaan dan keluarga sendiri namun kami punya hubungan seperti adik-beradik itu masih utuh.
“Masing-masing saling memberi sokongan dan kekuatan persahabatan kami itulah membuatkan terjadinya kemunculan semula ini” tambah Hazairi yang lebih mesra disapa Jay.
Dalam pada itu, Urban Method akui terkejut dengan perubahan di dalam industri muzik tanah air. Jika dahulu, segala-galanya ditentukan menerusi penghasilan album namun kini ia berubah seiring dengan kemajuan teknologi.
“Untuk kekal dalam industri bukannya mudah apatah lagi jika dinilai dari segi populariti yang sedia maklum ada naik dan turunnya.
“Kami pun perlu mengikut peredaran masa dan kehendak para pendengar. Jadi kami bersedia sekiranya ada penyanyi-penyanyi yang sudi berkolaborasi dengan Urban Method kelak,” sambung Muneer.
Biarpun begitu, mereka bersyukur kerana rakan-rakan seperjuangan seperti Damian Mikhail, Nico G dan Altimet banyak memberikan sokongan kepada mereka khususnya bagi kemunculan semula ini.
“Kami masih lagi akan kekal dengan konsep hip-hop R&B kerana itulah identiti Urban Method sebelum ini. Bermula dari ‘underground’ sehingga berjaya masuk ‘mainstream’ segalanya tidak akan terjadi tanpa sokongan dari peminat dan rakan-rakan.
“Di kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih kepada Nico G, Damian Mikhail dan Altimet yang banyak memberikan bantuan dan tunjuk ajar buat Urban Method muncul kembali ke persada seni tanah air,” jelas Sayuti atau nama samarannya Chique.
Urban Method turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada rakan penaja terdiri daripada Kopi Kawan-Kawan, Rlmenswear, Ibuanis dan Eartheories yang turut meraikan kemunculan mereka semula di persada muzik tempatan.
Lagu ‘Domo Arigato’ boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Oktober 2021. Manakala video muzik lagu Domo Arigato ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Urban Method Music.
Artikel berkaitan boleh juga rujuk LINK INI
Kak Fas: Dah dengar lagu terbaharu 'Domo Arigato' ini, pasti peminat lagu hip-hop suka dengan liriknya yang bersahaja walau pun....
#UrbanMethod #DomoArigato #OgyAhmadDaud #WajahRahsiaHati #HipHop
Tiada ulasan:
Catat Ulasan