BERANGAN JADI BIDAN, BERAKHIR JADI DOKTOR HAIWAN GARA-GARA SAYANGKAN KUCING
KECINTAAN terhadap dunia haiwan terutama kucing antara pendorong utama Dr Siti Nadzirah Zulkiffle, 33, menceburi bidang veterinar.
Bagaimanapun pada zaman remajanya sekitar usia 16 tahun, dia tidak tahu wujud jurusan kedoktoran haiwan ada ditawarkan di pusat pengajian.
Asalnya, Siti Nadzirah atau mesra disapa Dr Naz bercita cita menjadi doktor bidan. Namun akhirnya, dia dapat juga belajar jurusan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia di Sri Kembangan, Selangor.
Sejak tujuh tahun lalu, Dr Naz menjadi pengasas klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru (JB).
"Berpegang kepada prinsip setiap makhluk termasuk haiwan, saya percaya semua perlu dilayan baik. Itu juga antara sebab saya begitu berazam memiliki klinik haiwan sendiri.
"Saya sendiri begitu dekat dengan haiwan terutama kucing. Hati memang cepat tersentuh dan hiba melihat haiwan itu diapa apakan atau terbiar begitu saja.
"Kesedaran mengenai hal membela haiwan ini dengan baik sudah mula ada kalau mahu dibandingkan dulu. Cuma kita kena terus mendidik tentang peri pentingnya menjaga haiwan dengan cara betul. Jangan anggap kucing atau anjing ini setakat binatang semata mata. Lagi banyak mendidik, lagi besar ruang kita bantu menjaga haiwan dengan baik. Jangan semberono," kata wanita berasal dari Johor Bahru itu.
Tambah anak sulung daripada tujuh beradik itu, kewujudan banyak pilihan klinik haiwan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antara yang membuatnya tersenyum bangga.
Sejak beberapa dekad ini, semakin ramai pencinta haiwan terutama haiwan peliharaan seperti kucing yang begitu mementingkan penjagaan khusus buat si bulu tidak ubah seperti ‘anak’ sendiri menjadikan permintaan terhadap bidang veterinar semakin bertambah.
Tambahan pula akses kepada penjagaan kesihatan haiwan semakin meluas di negara ini hingga ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.
"Klinik saya sendiri sampai tahap menawarkan khidmat rundingan percuma sejak Mac tahun lalu sebab nak galak lebih ramai lagi menjaga haiwan dengan betul.
"Tak dinafikan kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah beribu ringgit. Macam kalau haiwan itu patah tulang boleh cecah empat angka kosnya.
"Kalau rawatan penyakit yang boleh dicegah dalam anggaran kos RM1,000 hingga RM2,500. Padahal vaksin ubat kutu dan cacing cuma sekitar RM100 ke RM150 sahaja. Jadi kalau pandai jaga dan mencegah, kos mahal itu dapat dielak," katanya.
Jika mahu diimbas zaman remajanya, Dr Naz gemar menyelamatkan kucing. Hingga satu tahap apabila banyak kucing di bawa balik ke rumah terus dimarahi bapa.
"Pernah suatu ketika, nampak kucing di jalanan, saya akan selamatkan atau merawatnya. Sampai 80 ekor kucing 'menginap' di rumah. Apa lagi, ayah terus marah sebab keadaan di rumah macam kedai haiwan peliharaan.
"Ada sebahagian kucing itu saya jaga di klinik. Ada yang sudah mati," katanya.
Dr Naz berkata, ada pemilik kucing yang sampai tahap mahu mematikan haiwan itu kerana sudah tidak mampu menjaganya.
"Tapi saya tak sanggup melakukannya. Malah mencadangkan kepada pemilik haiwan untuk membenarkan kucing mereka diambil alih orang lain," katanya.
Katanya, objektif membangunkan klinik itu bukan saja mahu menyelamatkan haiwan yang sakit atau tercedera sebaliknya dia mahu memberi nilai kepada kehidupan makhluk itu.
“Haiwan itu tidak boleh bercakap jika ada sebarang masalah kesihatan. Lalu siapa lagi yang boleh diharapkan selain doktor haiwan untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami dan memberikan rawatan sesuai kepada mereka.
“Kadangkala pemilik haiwan itu sendiri tidak tahu atau tidak dapat mengenal pasti masalah yang haiwan mereka alami. Jadi, pentingnya tugas kami untuk membantu menyelamatkan haiwan dan berbakti kepada mereka,” katanya yang sudah berkahwin April lalu dan belum mempunyai cahaya mata.
Bagi meneruskan ruang memberi kesedaran yang mahu diperjuangkan, Dr Naz terus mahu menyedarkan lebih ramai pencinta haiwan terutama di JB dan berdekatan datang ke kliniknya.
"Selain berkongsi info penting dan tips, jika ada kesulitan melingkari haiwan peliharaan anda, datanglah ke klinik CT Vet di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor Bahru.
"Saya sendiri mewujudkan akaun media sosial seperti Instagram @klinik_haiwan_ct_vet, Facebook (klinik haiwan CT Vet) dan di aplikasi telegram sahabatctvet," katanya.
#Kucing #KlinikHaiwanCTVet #DoktorVeterinar #DrNaz #Haiwan #JohorBahru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan