DUKUN DIVA DIINSPIRASIKAN DARI ISU ISU SEBENAR BERLAKU DI MALAYSIA
DUKUN Diva, judul ini sahaja dah cukup menarik untuk memancing penonton menyaksikan drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan ‘anti-heroes’ ini.
Sejak mula ditayangkan pada 6 Disember 2021 lalu, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108, Kak Fas yakin ramai yang dah menonon cerita yang diinspirasikan daripada pendedahan isu-isu sebenar yang sememangnya berlaku di Malaysia.
Iya, sekali lagi, rantaian siri di bawah jenama Astro Originals tampil dengan seribu kelainan apabila Dukun Diva hadir sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan.
Mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah muda, Ariff Zulkarnain, watak utama diterajui golongan wanita yang berdepan dengan cabaran kehidupan, lebih-lebih lagi di bandar pada masa kini.
Pelakon berbakat besar, Nadia Aqilah yang memang tidak disangkal lagi kekuatannya dalam bidang lakonan, membawakan watak Che Yah, seorang artis ‘tak menjadi’ di era 90an, menggunakan bakatnya dengan menyamar menjadi dukun.
Sementara itu, watak Lola digerakkan dengan baik oleh pelakon muda, Eyka Farhana, iaitu anak saudara kepada Che Yah yang bermasalah dan turut bersubahat menjadi dukun.
Kedua-dua watak ini mencipta pelbagai kepercayaan dan pantang larang atas rujukan media sosial buat seorang jutawan kosmetik terkenal, Dato’ DD lakonan Emelda Rosemila.
Selain itu, Dukun Diva turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baru bagi mewarnai setiap karakter, seperti Tony Eusoff yang dilihat pertama kali membawa watak suami takut isteri serta ‘scammer’ dalam urusan jual beli tanah.
Kemudian pelakon baru berbakat besar Siti Khadijah Halim sebagai Baby Riena, Kahoe Hon sebagai Daniel, serta pelakon handal Adlin Aman Ramlie sebagai Dato’ Saddiq dan Aloy Paradoks sebagai Sarjan Anep yang merupakan kesinambungan watak daripada filem pecah panggung 2019, 'Pusaka.'
Drama premium bersiri ini turut dihiasi dengan penampilan istimewa, antaranya pelakon terkenal daripada pelbagai latar seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.
Dukun Diva memperlihatkan transformasi kandungan berkualiti filem berterusan di bawah jenama Astro Originals.
Drama siri 8 episod ini merupakan idea asal oleh pemenang anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo.
Mewakili Astro, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti dengan menerokai pelbagai lagi konten segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia”.
Tambah Raja Jastina, uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan dengan banyak mesej positif disampaikan untuk tatapan penonton
Di samping itu, jenama Dukun Diva telah menarik perhatian produk tempatan untuk bekerjasama bagi menghasilkan produk eksklusif edisi Dukun Diva dari pengusaha lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pembekal coklat tempatan jenama Love18C.
Dukun Diva mengisahkan tentang Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah gagal menjadi pelakon terkenal dan kini bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam.
Hakikat tersebut menyebabkan Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung sehingga satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sedang nazak.
Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah bila mengetahui dia bakal menjaga anak saudaranya, Lola seorang remaja yang bermasalah.
Ketegangan mula berlaku di antara Che Yah dan Lola. Dalam pada masa yang sama mereka telah didatangi oleh Abang Long yang mengugut untuk membunuh Che Yah jika tidak membayar hutangnya.
Mereka terpaksa mencari jalan bagi menyelesaikan hutang Che Yah serta menyelamatkan nyawa mereka.
Lola mendapat idea. Jadi apakah yang mereka lakukan? ...‘They Put The Sham In Shaman’.
Trivia:
- Dukun Diva mempunyai 8 episod kesemuanya dan 1 episod istimewa (episod ke-9) yang memaparkan ‘The Story of Dukun Diva’
- Lokasi utama penggambaran Dukun Diva telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Kubu Bharu & Semenyih serta mengambil masa lebih kurang 45 hari untuk diselesaikan. Sesi penggambaran terhenti di hari 42 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
- Mempunyai lagu tema, Jangan Telepas Pandang, nyanyian Wani Kayrie.
- Watak Sarjan Anep adalah daripada kesinambungan dari filem Pusaka.
- Setiap karakter mempunyai simbol ikonik tersendiri seperti Che Ya – Kebaya, Dokoh,
Cucuk Sanggul, Anting-Anting. Lola – rantai leher choker. Dato’ DD – Kipas Tangan, Kerusi Throne, produk kecantikan wanita. Zul – Business, Suit, Kereta Mewah. Daniel – Motorsikal, ‘Skateboard’, Teleskop, Seruling. Baby Riena – Telefon dan Anak Patung. - Cenderahati drama Dukun Diva edisi terhad ini boleh didapati di laman rasmi Lampu Cherita, www.lampucherita.com dan Love 18C, www.love18c.com.
- Istimewa untuk pelanggan Astro, diskaun tambahan boleh didapati melalui website Astro Rewards tertakluk pada terma dah syarat.
Nak tahu lanjut apa kesudahannya, saksikan Dukun Diva di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, setiap Isnin, malah untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.
#DukunDiva #AstroCitra #NadiaAqilah #TonyEusoff #EykaFarhana #Drama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan