PELUANG BERNIAGA MELALUI 'ABSOLUT BAZAAR X GAYA RAYA' 66 JAM DI MITEC MULAI 22 APRIL
BAYANGKAN 500 vendor beroperasi 66 jam tanpa henti selama 4 hari berturut-turut bagi melaksanakan sebuah festival berskala besar sempena meraikan Ramadan dan Raya, tentulah rasa teruja untuk menikmatinya apatah lagi dah dua tahun tidak dapat beraya kan?
Anjuran bersama Absolut Event & Management Sdn Bhd dan MyEvents International Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), ia bakal diadakan pada 22 hingga 25 April 2022 bermula pada hari Jumaat, pukul 12 tengah hari dan berakhir hari Isnin 25 haribulan pada jam 6 pagi.
Kolaborasi yang dinamakan ‘Absolut Bazaar X Gaya Raya’ itu bertemakan ‘restart, reboot, refresh’ sejajar dengan hasrat penganjur untuk merancakkan kembali ekonomi peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang menyerang lebih dua tahun lalu sekali gus menghidupkan semula kemeriahan riang ria raya.
Pasti soalan pertama tentulah berapa harga ‘booth’nya ya tak?
Berharga serendah RM2,800 hingga RM4,000, pihak penganjur bagaimana pun memperkenalkan harga lot jualan yang ‘mesra pandemik’ bagi mereka yang berminat berniaga tetapi mahukan pembayaran secara ansuran.
“Kami juga akan membantu mereka mendapatkan pinjaman demi untuk meringankan beban agar dapat bersama-sama menjayakan festival,” ujar Ben Ali sebagai penganjur bersama merangkap Pengarah Absolut Event & Management Sdn Bhd. pada sidang media pengumuman 'Absolut Bazaar & Gaya Raya' di MITEC pada 14 Februari 2022 semalam.
BEN Ali dan isteri, Nadiyah Shahab. |
Turut hadir isterinya pelakon, Nadiyah Sahab; Pengerusi Prisma Galeri Sdn Bhd, Tan Sri A. Rahman Mamat (gambar atas, kiri); Pengurus Besar, Pengurusan Perniagaan MITEC, Winnee Lim (tengah) Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Hema Kandy (kanan) dan Pengarah Kumpulan Pembangunan Perniagaannya, MS Thana.
Terbuka untuk disertai kepada semua jenis industri antaranya pakaian, produk kecantikan dan pelbagai lagi termasuk makan minum.
“Kami akan membuka ruang ‘Absolut Food Festival’ berskala mini di bawah satu bumbung dengan memperkenalkan konsep makan santai di atas ‘roof top’ lengkap dengan lampu bercahaya bagi menampilkan suasana kelainan dan indah khususnya pada waktu malam apabila menjamu selera,” tambah Ben Ali.
Dalam pada itu, Ben memberitahu, demi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi keselamatan kira-kira 1 juta pengunjung yang dijangka hadir pada festival empat hari tersebut, pihak penganjur menyediaan dua dewan pempamer yang mampu memuatkan kira-kira 5,000 pengunjung dalam satu masa manakala satu dewan tambahan akan dibuka jika berlaku kesesakan.
“Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk menaja kit ujian air liur bagi kemudahan pengunjung manakala pelitup muka juga akan diberikan malah kami juga akan pastikan setiap pengunjung terlebih dahulu mendaftarkan diri melalui QR kod yang boleh dilakukan secara atas talian supaya lebih mudah bagi mereka hadir tanpa perlu bersesak di pintu masuk untuk mendaftar,” sambung Hema Kandy.
Berkongsi lanjut, Ben memberitahu, disamping berpeluang membeli-belah barangan untuk Raya dengan harga berpatutan yang jauh lebih rendah daripada pasaran luar, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahab artis seperti kumpulan DOLLA dan ImanTroye.
“Malah pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen daripada pereka-pereka fesyen ternama mahu pun berswafoto atau membeli produk daripada gerai kesayangan artis-artis mereka,” celah Nadiyah Shahab pula.
Antara koleksi ‘Ready-To-Wear’ yang bakal menyerikan pertunjukan fesyen meliputi fesyen dari Datuk Jovian Mandagie, Rizman Ruzaini dan Fiziwoo manakala lebih kurang 50 artis yang diundang samada untuk berniaga atau memeriahkan festival terdiri daripada Datuk Siti Nurhaliza , Fatah Amin , Nelydia Senrose, Uqasha Senrose , Raysha Rizrose, Mira Filzah, Aeril Zafrel, Wawa Zainal. Neelofa, Haris Ismail , Emma Maembong , Zizan Razak , Syatilla Melvin, Saharul Ridzuan, Shukri Yahaya, Rozita Che Wan, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Intan Najuwa, Aedy Ashraf dan ramai lagi.
Wow! Tentu meriah kan dan dapat bergambar bersama artis-artis kegemaran masing-masing jika berpeluang ya tak?
Apa pun bagi memenuhi tanggungjawab wajib bersolat, usah risau, pihak penganjur menyediakan ruang solat tarawih bagi memudahkan pengunjung supaya selepas beribadah mereka boleh terus sambung berbelanja hingga ke lewat malam.
Pendek kata, segalanya dari A hingga Z telah difikirkan pihak penganjur waima ada ruang disediakan juga untuk kanak-kanak beriadah sambil ibu bapa berbelanja.
#AbsolutBazaar #GayaRaya #BenAli #NadiyahShahab #DOLLA #MITEC #Belanja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan