HATTA DOLMAT, NGO PILIH CUCI PANTAI LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON DICEMARI SISA PLASTIK
SEMPENA KL Fashion Week 2022 yang bakal berlangsung pada Ogos depan, pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat berganding bahu bersama sebuah pertubuhan bukan Kerajaan, Ocean Hero Conservation buat kali kedua, dalam menganjurkan inisiatif pembersihan pantai di bawah program ‘Ocean’Us Beach Clean-Up’ di hotel ternama, Lexis Hibiscus, Port Dickson.
Aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia, khususnya pemain industri fesyen, tentang kepentingan mengitar semula plastik menjadi fabrik, kesan buruk pencemaran plastik terutamanya terhadap hidupan laut dan pemuliharaan yang lestari terhadap ekosistem dan eko-pelancongan.
Usaha murni ini dilaksanakan dengan kerjasama Tourism Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Malaysian Green Technology dan Climate Change Corporation, Miss Universe Malaysia Organization, Lexis Hibiscus Port Dickson, Us For Ocean, KLOTH Cares, QR FALAH, La Liga Youth Tournament serta Ocean Hero Advocates.
Ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Sustainable Development Goals), SDG 14 Hidupan Laut dan SDG 12 Tanggungjawab Penggunaan dan Pengeluaran.
Organisasi-organisasi yang mengambil bahagian, bersama-sama dengan finalis Miss Universe Malaysia 2022 turut menjalankan audit sisa plastik dan mengumpul data mengenai jenis-jenis plastik yang ditemui di pantai.
Selain bertujuan menghidupkan rasa tanggungjawab sosial, ia usaha Hatta Dolmat dalam mengurangkan sisa pencemaran dan mengitar semula sisa plastik serta menjana plastik sisa menjadi fabrik.
“Sama ada di darat mahupun di laut, kami mendapati bahawa bilangan sisa plastik di lautan berada di paras yang membimbangkan. Pencemaran plastik adalah salah satu isu yang memerlukan penelitian dan penyelesaian segera di Malaysia.
“Sungguh menyayat hati apabila kita melihat haiwan mati, terutamanya spesies marin yang terancam dek kerana sisa pencemaran plastik. Jelas sekali, hal ini mesti diubah dan penyelesaian yang paling berkesan ialah dengan berhenti menghasilkan plastik dari sumbernya,” ujar Hatta selaku Pengarah Hatta Dolmat Design.
Pemilik nama penuh, Muhammad Hatta Dolmat, 40, ini bersyukur terdapat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna tentang penggunaan plastik mereka dan ramai yang telah berikrar untuk menjalani gaya hidup bebas plastik.
“Kini tiba masanya untuk industri fesyen bertindak dan melaksanakan bahagian mereka untuk mengambil langkah yang kukuh bagi menangani krisis plastik,” tegas Hatta.
Hatta Dolmat (empat dari kanan) bersama para peserta Miss Universe Malaysia di Hotel Lexis Hibiscus baru-baru ini. Foto kredit IG @hattadolmat.
Sisa plastik yang dikumpul telah disusun dan diaudit untuk mengenal pasti jenis plastik yang paling banyak digunakan dan pencemar plastik yang tertinggi.
Sememtara itu, Shirene Moong, Pengasas Ocean Hero Conservation memberitahu, di Malaysia pencemaran plastik yang berlaku kebanyakannya adalah terdiri daripada botol-botol air minuman.
“Ada yang dihanyutkan ke darat, manakala yang lain ditinggalkan sahaja oleh pelancong dan ini menjadi masalah kerana ia memberi kesan buruk kepada hidupan laut dan pantai,” tambah Shirene.
Melalui inisiatif ini, sambung. Shirene, mereka. menyasarkan untuk mengurangkan pencemaran plastik dengan menjana fabrik daripada sisa plastik yang dikumpul.
.
Malah kesemua sisa plasik yang dikutip bersana dengan Ocean Hero Advocates, para pengamal media dan masyarakat tempatan akan dikumpul untuk ditukar menjadi fabrik bagi KL Fashion Week 2022.
Dengan sekatan perjalanan rentas negeri telah ditarik balik secara rasmi dan perjalanan domestik disambung semula, aktiviti ini menonjolkan potensi negara kita sebagai Hab Pelancongan Lestari di Asia.
“Aktiviti Ocean’us beach clean-up bertujuan untuk mengurangkan sisa plastik dan menyumbangkan satu bentuk penyelesaian berpanjangan kepada krisis pencemaran plastik,” sambung Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan, Bahagian Domestik & Acara, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia.
Menurutnya, pembersihan kali ini dianjurkan selepas kejayaan aktiviti November lalu di Avani, Sepang.
“Kita perlu memperkukuh usaha bersama ke arah pemulihan yang lestari, adil dan inklusif. Saya yakin ini akan memberi impak yang ketara kepada pembangunan pelancongan lestari di Malaysia,” akhiri Iskandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan