LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON, 'SYURGA PERCUTIAN, BUNGA RAYA' INDAH PESONA!
SEGAR, Tenang, Pesona dan Eksklusif!
Itulah kata simpulan yang dapat Kak Fas bayangkan kepada anda sekiranya belum pernah merasai pengalaman bercuti di resort mewah terletak di permukaan laut Selat Melaka, tidak lain tidak bukan, hanya di Lexis Hibiscus Port Dickson.
Sudah bertahun-tahun lama rasanya tidak berkunjung ke Port Dickson atau lebih popular disebut PD, sebuah bandar pantai peranginan terkenal terletak di Negeri Sembilan, kira-kira 90km dari Kuala Lumpur.
Nama asalnya Tanjung Tin atau Arang dan kemudiannya Port Dickson sempena nama pegawai tinggi British, Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19.
Pembangunan pada alaf baharu menyaksikan begitu banyak pusat peranginan yang dibina seperti hotel, resort dan chalet, bagi menampung kehendak pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung untuk bercuti dan bermandi manda di Pantai Teluk Kemang khususnya, mahu pun di sepanjang pesisir pantai Port Dickson amnya.
Dan antara yang menjadi pilihan pelancong yang berkehendakan sebuah percutian di resort mewah tanpa gangguan, sudah tentu Lexis Hibiscus menjadi pilhan utama, lebih-lebih lagi disebabkan rekaannya berimejkan bunga raya, bunga kebangsaan negara yang menjadi tema keselurahan resort.
Baik sebagai dekor di dalam bilik mahu pun persekitarannya lambang ‘bunga raya’ menjadi imej yang tidak dapat dipisahkan. Memang cantik dan minimalis hiasan dalaman chalet yang direka anggun oleh arkitek profesional.
Kemasukan ke pusat peranginan ini bukan boleh dikunjungi sebarangan. Sebaik sahaja memandu masuk, pengawal keselamatan akan meminta menunjukkan ‘booking’ yang telah dilakukan sebagai pengesahan ‘tetamu’ hotel.
Jadi pastikan anda dah ‘screenshot’ tempahan yang telah dibuat untuk ditunjukkan kepada pengawal keselamatan terbabit di pintu kawalan luar.
Sebaik sahaja ‘parkir’ kereta sementara di hadapan lobi, turunkan semua bagasi ke atas troli di mana anda akan diberikan tag nama sebagai penanda ia troli kepunyaan barangan anda. Dan selepas parkir kereta di tempat yang disediakan berdekatan bolehlah ‘check in’ di kaunter,
Memandangkan wabak koronovirus masih berleluasa, pengunjung dikehendaki mengisi borang pendaftaran terlebih dahulu sebelum diberikan kunci bilik selepas pendaftaran selesai.
Setelah itu, pengunjung diminta menunggu pada ruang di mana sebuah ‘buggy’ akan mengambil mereka untuk dibawa ke bilik pilihan samada vila berdekatan atau yang lebih jauh dari pesisir pantai.
Lexis Hibiscus mempunyai 522 vila atas air yang terletak bagaikan sebuah oasis tropika mengikut lambang bunga raya menghadap laut Selat Melaka di hadapannya dan berlatarkan hotel menara 117 bilik pada bahagian belakangnya.
Semua penginapan eksklusif di pinggir air ini dilengkapi dengan kolam renang peribadi dan bilik wap sendiri sekali gus menawarkan pengalaman dalam ‘irama’ yang mengasyikkan dengan persekitaran menakjubkan.
Betapa tidaknya, sebaik pintu kamar jenis 'Executive Pool Villa' dibuka terbentang luas sebuah bilik luas bersaiz 81 meter persegi menampatkan dua katil bersaiz King yang boleh memuatkan empat orang tetamu malah boleh juga berkongsi dengan dua orang anak kecil di bawah 7 tahun paling minima.
Turut dilengkapi perabot dan kelengkapan moden seperti skrin rata dengan saluran kabel dan satelit yang dipisahkan dengan dinding berkaca ke bahagian ruang bilik air, tandas serta kabinet pakain, mata akan terus terpegun apabila ia terus dihubungkan ke pintu balkoni luar di mana tersedianya kolam renang peribadi menghadap laut Selat Melaka.
Indah sungguh pemandangan khususnya apabila melihat matahari terbebam waktu petang,
Memang tenang minda melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT.
Lebih menarik bagi mereka yang suka bersauna, anda boleh melakukannya di bilik wap yang terletak berhampiran kolam renang. Duduklah lama mana pun sehingga titik peluh menyelubungi seluruh badan, tiada siapa yang akan menganggu.
Dalam pada itu, chalet juga dilengkapi dengan panel lantai kaca lutsinar persegi bagi membolehkan tetamunya menikmati pemandangan air laut di bawahnya yang tenang dan kebiruan apabila disinari cahaya malam.
Pendek kata, di sinilah ‘syurga privasi’ yang anda kepingin jauh dari kebisingan dan hiruk pikuk kota raya.
Anda boleh meluangkan masa sama ada menikmati keindahan tropika di sekeliling atau hanya mengecapi keselesaan berehat tanpa gangguan di bilik sahaja.
Memang berbaloi wang yang dibelanjakan walau pun membayar dengan harga tinggi. Sekali sekala belanja diri sendiri dengan pendapatan yang diraih, apa salahnya kan? Bab harga anda perlu periksa melalui tempahan dalam talian kerana ia bergantung pada hari 'off peak' atau 'peak'.
Nak sedikit murah, tempah pada hari-hari biasa kerana pada hujung minggu permimtaan tinggi dan harga pun meningkat.
Kak Fas perhatikan ramai pengunjung yang membanjiri Lexis Hibiscus Port Dickson ini khususnya setiap hujung minggu sentiasa penuh, seperti kata Sarah Lee selaku Ketua Pengoptimuman Digital & Perhubungan Media ketika dihubungi.
“Tempahani penuh setiap hujung minggu mulai Jumaat, pengunjung sudah mula membanjiri Lexis Hibiscus bagi percutian mereka,” ujar Sarah.
Kelibat para tamu kelihatan apabila tibanya waktu sarapan pagi. Dari jam mulai 7 pagi hingga 10.30 pagi baharulah nampak ramai para tamu keluar dari chalet penginapan masing-masing menunggu ‘bas’ untuk dibawa ke bangunan utama.
Bila masuk coffee house berhawa dingin, wah ramai sungguh pengunjung menjamah pelbagai hidangan yang disediakan untuk sarapan pagi.
Pilih sahaja nak makan western ke, oriental ke, semuanya ada. Jika tak kenyang tak tahulah nak kata apa.
Sementara menjamah makanan, anak-anak boleh bermain di taman permainan berhampiran yang menempatkan juga beberpa kaunter makanan dan meja di bahagian luar menghadap chalet.
Sebaik selesai sarapan pagi, boleh bersenam ringan atau bersiar-siar di pesisiran pantai di mana terletaknya pejalan kaki yang dinamakan ‘Hibiscus Walk’.
Bagaimana pun jika bercadang nak mandi manda di pandai terpulang pada masing-masing waima air pantainya kurang bersih tetapi bolehlah bermain pasir di persisirannya atau sekadar berehat untuk memanaskan badan, ‘sun burn’ gitu di atas kerusi panjang yang disediakan di bawah payung.
Apa pun menikmati pemandangan di sini sambil di tiup bayu sepoi sepoi pantai memang indah dan menenangkan saujana mata memandang.
Pendek kata, mengambil keputusan bercuti di Lexis Hibiscus untuk merehatkan minda dan badan memang disyorkan sangat.
Tinggalkan seketika alam kota yang sentiasa bising dan sebuk. Anda pasti akan berbisik pada waktu nak pulang, ‘Selamat Tinggal Lexis, InsyaAllah Jumpa Lagi’.
Info lanjut klik SINI.
#LexisHibiscusPortDickson #Pelancongan #Percutian #SelatMelaka #BungaRaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan