ROSSA TAK SABAR HIBURKAN PEMINAT MALAYSIA PADA KONSERT 'ROSSA 25 SHINING YEARS' 2 NOV.
LEBIH 25 tahuh beliau mendambakan dirinya pada industri hiburan sejak tahun 1995.
Kini penyanyi yang memiliki nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani, 43, atau lebih popular disapa Rossa di negara asalnya Indonesia dan Dato Sri Rossa di Malaysia sedang giat menjayakan penganjuran siri jelajah konsert yang diberi nama ‘Rossa 25th Shining Years Concert’.
Kejayaan konsert jelajahnya di negaranya sendiri khususnya di Jakarta, Bandung dan Surabaya menyaksikan kehadiran lebih 15,000 penonton, sekali gus petanda peminat Rossa tidak pernah berhenti menyokongnya.
Seperti di Indonesia, peminat Rossa di Malaysia tidak kurang ramai yang merindui kehadirannya apatah lagi setelah dua tahun tidak berkesempatan bertemunya dalam sebuah konsert.
Tidak hairanlah walau pun isu harga tiketnya dikatakan terlalu tinggi sehingga RM5,000 pada konsert solo pertama Rossa sejak pandemik 2022 yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 November depan, namun khabarnya sudah ‘sold out’.
“Harga tiket RM5,000 itu sudah habis ditempah pihak korporat memandangkan ini adalah konsert amal di mana separuh daripada hasil jualan akan disalurkan ke Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan dan manfaat pendidikan anak-anak Keluarga Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato' Mohd Aizuddin (gambar bawah) mewakili penganjur, Yayasan Prihatin Nasional atau PRIHATIN ketika ditemui pada sidang media Konsert 'Rossa 25 Shining Years’ bersama Rossa melalui atas talian bertempat di Restoran Roti By d’Tandoor, Jalan Damai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir, Nabiha Aimi (atas, kiri) mewakili MyVitalab selaku salah satu daripada rakan kerjasama penganjur bersama Inspire Production Indonesia, Koperasi Prihatin Nasioanl (KOPENA) serta Ticket2u.com.
Menurut Aizuddin, sebaik sahaja penjualan tiket dibuka jualan harga RM5,000 habis dijual dan kebanyakannya ditempah oleh sektor korporat sebagai tujuan amal.
“PRIHATIN menghargai kesudian pihak korporat dan orang perseorangan membeli tiket korporat seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep "Berhibur Sambil Beramal’, tambah Aizuddin sambil bersyukur Rossa sentiasa prihatin dengan kebajikan di Malaysia malah sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata.
Jelas Ainuddin, penganjuran konsert ini meneruskan kerjasama strategik Rossa dengannya dan yayasan untuk tujuan kebajikan yang telah dimulakan sejak tahun 2012 lagi.
“Saya bersyukur kerana Dato' Sri Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin dan Tabung Pendidikan Anak Bangsa,” sambung Aizuddin.
Selain itu, tambahnya, penglibatan dan sokongan Myvitalab yang terlibat dalam bidang perniagaan kesihatan, buat pertama kalinya dengan PRIHATIN akan memberi impak luar biasa kerana mereka juga banyak terlibat dengan aktiviti kebajikan.
Sementara itu, pada isu sama, Rossa yang mendengar keluhan peminat berpendapat harga tinggi yang ditempah pihak korporat sudah tentu bertujuan amal namun berharap peminat boleh terus memberikan sokongan dengan membeli tiket pada harga kemampuan mereka.
“Harga tiket ditentukan oleh penganjur tetapi saya yakin ada harga yang mampu dibeli oleh mereka demi kebajikan,” ujar Rossa melalui live streaming dari Jakarta yang disiarkan pada layar tv.
Melahirkan perasaan rindunya untuk kembali ke Malaysia, Rossa dijangka membawa lebih dari 25 buah lagu hitsnya melibatkan empat pengarah muzik meliputi
Dandy Lasahido, Risyanda, Eka Gustiwana, Andi Rianto termasuk Orkestra Magenta.
Di samping itu, buat pertama kalinya Rossa turut mengundang penyanyi Judika yang dirasakan tidak kurang mempunyai ramai peminat di Malaysia serta seorang penghibur Malaysia yang masih dirahsiakan gerangannya untuk bersama dalam konsert.
"Alhamdulillah aku bersyukur, akhirnya yang ditunggu-tunggu hampir tiba, sudah tidak sabar ingin ketemu dengan para fans di Malaysia. Setelah menahan rindu selama dua tahun akibat pandemik, senang banget rasanya sudah bisa konsert offline lagi di KL,” tambah Rossa dalam bahasa loghat Indonesianya.
Pada konsert 25 tahun Rossa dalam industri seni ini, fesyen turut menjadi pelengkap untuk elemen visual dan hiburan.
Rossa akan membuat pertunjukan mahakarya yang akan memuaskan para penggemarnya waima Faye akan bertindak sebagai Pengarah Imej dalam mereka segala busana dan aksesori Rossa dari barisan pereka fesyen terkemuka Indonesia bagi menyerlahkan aksi Rossa di Plenary Hall KLCC nanti.
Para pereka fasyen yang terlibat di antaranya tiga pereka fesyen terkemuka Indoensia, iaitu perancang busana Didi Budiardjo dan Monica Lvena, kemudian Pereka Fesyen Aksesori Rinaldy A. Yunardi.
Untuk rekod, Didi Budiardjo adalah seorang legenda di industri fesyen Indonesia, dikenali dengan siluet feminin ala Parisian yang mengetengahkan gaya klasik penuh keanggunan yang dipadukan bersama unsur glamor.
"Pertama kalinya bagi saya memakai busana Didi Budiardjo untuk konsert tunggal, saya selalu mengagumi karyanya yang lekat dengan citra classic goddess. Saya akan mengenakan busana Didi untuk penampilan bersama Andi Rianto," ungkap Rossa.
Di sisi lain, Rossa memilih Monica Lvena yang rekaannya pernah dipakai oleh Taylor Swift dan Khloe Kadarshian pada konsert mereka.
Jadi tunggu apa lagi, jika anda rindukan Rossa tandakan kalendar pada 2 November 2022 ini tetapi terlebih dahulu kenalah cepat tempah tiket kan, nanti takut ‘putih mata’ pula.
Jualan tiket yang bermula pada harga serendah RM258 sehingga RM3,000 masih terbuka dan boleh didapati secara online melalui laman sesawang ticket2u.com.my manakala secara offline bagi jualan tiket amal dan korporat boleh ditempah menerusi RSVP di talian (013-3886533 - Pn. Nelle).
#Rossa25ShiningYears #KonsertAmal #PRIHATIN #Judika #PlenaryKLCC #Solo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan