JOM BERAMAL AKHIR TAHUN MELALUI 'KONSERT AGUNGNYA CINTA: MENYUSURI SIRAH BAGINDA', 30 DIS.
MENUTUP tirai kalendar 2022 Masihi dan menghampiri tahun Jamadilakhir 1444, menganjurkan satu initiatif amal ‘Agungnya Cinta’ dalam mengumpul dana ke arah kebajikan sudan tentu langkah yang murni bagi penganjurnya, Afocus Media Ventures (AMV) sekali gus memberi peluang para penyumbang mengumpul saham akhirat.
Ini tidak ketinggalan termasuklah golongan artis yang bakal terbabit dalam Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda pada 30 Disember 2022 bertempat di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur yang mampu menempatkan kira-kira 800 orang.
Barisan artis popular yang terlibat terdiri daripada kumpulan Raihan, UNIC, Mirwana serta Naim Daniel, di samping persembahan sketsa oleh Man Raja Lawak dan dendangan syair tradisi oleh Galuh Cendra Kirana.
Dan menariknya alunan nasyid tentang kehidupan dan perjuangan Rasullullah oleh barisan artis berkenaan akan diselang selikan dengan penceritaan semula riwayat hidup Rasullulah dalam bentuk tazkirah oleh Ustaz Don Daniyah dan Imam Muda Megat Mohd Zaid.
Dengan kerjasama Yayasan UNITI, majlis yang akan bermula dari jam 8 malam hingga 11.30 malam menyaksikan beberapa pakej sumbangan boleh dipilih mengikut kesesuaian masing-masing daripada pakej individu bernailai RM250, RM500 atau RM1,100 atau pun pembelian mengikut pakej bronze (RM10,000); pakej silver (RM20,000); pakej Gold (RM30,000) dan pakej platinum bernilai RM50,000 untuk 30 orang bersamaan perletakan logo dan penghargaan secara lisan.
“Dengan penganjuran konsert ini sudah tentu kami mengharapkan sasaran kutipan yang mampu meneruskan perjuangan kami menampung kerja amal yang lakukan sejak tahun 1998,” ujar Nu’man Hani Jamal (gambar bawah, dua dari kiri) selaku Ketua Pegawai Eksekutif, UNITI Waqi Sdn Bhd dan Pengurus Projek Yayasan UNITI pada majlis sidang media 'Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda' yang berlangsung di Smoked Kingdom by Don Daniyal Wangsa 118, baru-baru ini.
Turut hadir Penerbit konsert, Hazaril Firdaus Ali (Jojoe, tiga dari kiri) Jamal Mohd Amin, Presiden Kolej UNITI (tengah) Ustaz Don Daniyal (tiga dari kanan), Imam Muda Megat (dua dari kanan) serta beberapa artis jemputan antaranya Naim Danial, Fakhrul Radhi (UNIC) serta tiga daripada anggota Kumpulan Mirwana diketuai Naim (empat dari kanan).
Berkongsi lanjut, Jamal Mohd Amin memberitahu, beberapa projek telah dijalankan Yayasan UNITI untuk membasmi kemiskinan melalui pendekatan yang pro aktif dan berbeza.
“Yayasan UNITI telah merancang dan melaksanakan program berbentuk pendidikan dan keusahawanan bertujuan untuk membantu kumpulan sasaran yang terdiri daripada pelajar asnaf, graduan, belia yang berpendapatan rendah untuk mengubah hidup mereka,” jelas Jamal sambil memaklumkan antara aktiviti kebajikan yang dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ‘Agungnya Cinta’ meliputi empat kategori berikut:
* Feet 4 Life:
Pemberian kaki palsu percuma kepada lebih 700 OKU Asnaf di seluruh Malaysia, dengan kerjasama Uniti Waqi Sdn. Bhd. dan Kedidi Global Sdn. Bhd.
* 1 Keluarga 1 Graduan:
Siri program pendidikan yang membantu memastikan sekurang-kurangnya seorang ahli daripada golongan keluarga B40 untuk layak melanjutkan pelajaran ke IPT
* Tuisyen Percuma:
Program tuisyen percuma yang telah dijalankan sejak tahun 2010 untuk meringankan bebanan keluarga dengan membiayai sebahagian daripada kos pendidikan serta menjadi penggerak kepada pelajar untuk terus meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik.
* Waqaf Tunai ASEAN Mall:
Pusat membeli-belah yang bukan saja Pusat membekalkan makanan halal dan keperluan penggunaan harian untuk masyarakat setempat, malah juga bertindak sebagai gerbang produk halal wilayah ASEAN dan pelbagai lagi aktiviti yang sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan