Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ZAHIRIL ADZIM ALAMI LEBAM, SAKIT BADAN BERAKSI MUAY THAI


AKTOR
terkenal, Zahiril Adzim, 38, tidak akan menghalang jika anaknya Nadi Anaqi, 9, mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni pada masa depan.


Zahiril berkata, dia dan isterinya, pelakon Shera Aiyob sentiasa menyokong apa saja yang menjadi minat anak tunggal kesayangan itu.


“Saya tidak kisah jika Anaqi ingin menceburi bidang seni. Sebagai ibu bapa, kami akan sentiasa sokong apa yang Anaqi minat.


“Apa yang penting, saya akan memberi tunjuk ajar padanya untuk mencari hala tuju yang betul dalam bidang yang diminatinya itu,” katanya.


Namun, tambah Zahiril atau nama sebenar, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, setakat ini, dia tidak nampak Anaqi meminati bidang seni sepertinya.


“Pada pemerhatian saya, Anaqi kurang meminati bidang seni kerana tidak suka berada depan kamera.


Anaqi lebih pada bidang pelajaran dan sangat meminati subjek Matematik dan seni kraf,” katanya.



Ditanya sama ada Anaqi pernah ditawarkan berlakon mahupun menjadi model iklan komersil, kata Zahiril, belum ada lagi.


“Saya sedia mempertimbangkan jika ada tawaran untuk Anaqi berlakon bersama saya dan Shera,” katanya.


Mengenai Shera, kata Zahiril, isterinya masih terbabit dalam bidang lakonan selepas melahirkan anak.


“Selain menjadi pengurus saya, Shera masih berlakon jika ada kelapangan dan watak bersesuaian dengannya.


“Terus terang, saya selesa isteri menguruskan kerjaya seni sejak dulu kerana senang kami berbincang dan urusan kerja menjadi lebih mudah,” katanya yang sibuk mempromosikan filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka.



Mengulas filem Siku 12 terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, Zahiril berkata, dia terima tawaran berlakon kerana tertarik dengan naskhah itu.


Menerusi filem arahan Azhari Zain itu, Zahiril bergandingan dengan aktor terkenal, Syafiq Kyle selaku teraju utama.


Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.


Pelakon yang mengukir nama menerusi filem Bunohan dan Pekak itu berkata, dia ditawarkan pengarah untuk berlakon dalam filem Siku 12 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menurut Azhari, watak pemuda keturunan Siam, A Wut dalam filem Siku 12 sesuai dengannya kerana pernah menonton lakonan dalam filem Bunohan.


“Saya sendiri berminat dengan jalan cerita yang mengangkat seni mempertahankan seni silat Siku 12. Pada masa sama, saya melihat senarai barisan pelakon juga bagus dan berbakat besar,” katanya.



Ditanya pengalaman bekerja dengan Azhari, kata Zahiril, dia sudah tahu cara pengarah itu bekerja kerana pernah bekerjasama dengannya.


“Kami pernah bekerjasama dalam filem Dukun Santet. Selaku pengarah, Azhari menerima cadangan pelakon bagaimana mahu menjiwai karakter. 


Azhari juga akan memberi penerangan kepada pelakon memahami dari segi karakter dan koreografi sebelum penggambaran bermula.


“Walaupun suara Azhari kuat ketika memberi arahan kepada pelakon, tetapi saya tidak pernah tertekan sepanjang penggambaran filem ini,” katanya.


Berkongsi cabaran, kata Zahiril, dia perlu banyak berlatih menjiwai babak pertarungan kerana tiada asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai mahupun seni persilatan Melayu.



“Mujur saya ada pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan. Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12


“Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.


“Setiap kali berlakon dalam filem aksi, saya tidak boleh mengelak mengalami lebam di tangan dan calar di kaki atau sakit badan. 


“Begitu juga dalam filem Siku 12. Ia perkara biasa apabila berlakon dalam filem aksi kerana perlu nampak seperti peninju sebenar beraksi di gelanggang.


“Antara cabaran lain dihadapi ialah saya perlu menguasai dialek Siam untuk menjiwai karakter A Wut. Mujur saya dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran,” katanya.



Mengenai gandingan dengan Syafiq, kata Zahiril, pelakon muda itu bagus dan mudah mendapat keserasian dengannya.


“Sebelum memasuki lokasi penggambaran, Syafiq sudah membuat kajian mengenai watak. Syafiq juga berbincang dengan saya bagaimana mahu membangunkan karakter mengikut tuntutan skrip filem.


“Apapun, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia gembira melihat sambutan penonton pada filem tempatan di pawagam ketika ini.


“Alhamdulillah, selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli filem The Assistant dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya percaya filem Siku 12 akan mendapat sambutan dan diterima peminat filem.


“Saya berharap filem Siku 12 akan membuka mata ramai pihak memperkenalkan seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia,” katanya.


Filem Siku 12 akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.



#Siku12 #Filem #SyafiqKyle #ZahirilAdzim #KelabMuayThai #Singapura #Brunei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan