Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KARYAWAN RANCANG JADIKAN FESTIVAL SENI INSAN ISTIMEWA ACARA TAHUNAN, AJAK PIHAK SWASTA TAMPIL MEMBANTU


SEPERTI
lagu popularnya, ‘Namun Ku Punya Hati’ , begitulah keprihatinan sama ditunjukan penyanyinya, Dato Freddie Fernandez yang terus menerus menabur bakti terhadap golongan insan istimewa,

Di bawah persatuan pimpinannya, KARYAWAN, terlaksana sudah pelancaran Festival Seni Insan Istimewa Kuala Lumpur 2022 (FSIIKL2022) yang disempurnakan bersama Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi, mewakili Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop.


“Penganjuran festival sebegini telah lama menjadi impian Karyawan, dan hari ini saya  amat gembira kerana ia menjadi kenyataan,” ujar Freddie Fernandez ketika ditemui pada majlis pelancaran FSIKL2022 yang berlangsung di KL Gateway Mall baru-baru ini.


Turut hadir wakil-wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Persatuan OKU Sentral, KL Gateway, serta beberapa ahli jawatankuasa Karyawan termasuk pelakon terkenal Radhi Khalid, dan penyanyi veteran Rozita Rohaizad.



Sebagai penganjuran yang julung kali diusahakan Karyawan dengan kerjasama Persatuan OKU Sentral,  ia juga bukan bermakna yang terakhir.


“Jika sambutannya memberangsangkan Karyawan akan terus menganjurkan festival seperti ini sebagai acara tahunan,” janji Freddie sambil memberitahu tujuannya adalah untuk memberi  pendedahan kepada masyarakat tentang bakat seni terpendam yang dimiliki kalangan insan istimewa.


Pada festival yang berlangsung seharian dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Wilayah Persekutuan dan pihak swasta.


Lebih daripada 30 gerai jualan produk dan pameran berhubung kait dengan perusahaan dijalankan kalangan insan istimewa atau OKU mengambil bahagian pada festival.


“Selain itu, kami berharap dengan penganjuran ini juga ia dapat membantu ekonomi golongan terbabit agar dapat meneruskan kehidupan sempurna dalam masyarakat majmuk negara ini,” tambah Freddie.


Sementara itu, Hidayatul dalam ucapan perasmiannya yakin pelbagai program yang diaturkan amat penting dalam memartabatkan seni budaya dan warisan apatah lagi ke arah menjadikan sektor kebudayaan sebuah sektor berwibawa dan berdaya maju oleh OKU.



Selesai majlis pelancaran, Hidayatul dibawa melawat ke kawasan pameran yang disertai pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan OKU.


Terdahulu, para tetamu dihiburkan dengan persembahan gendang Deafbeat oleh sekumpulan OKU cacat pendengaran.



Selain itu pelbagai lagi aktiviti sampingan turut diadakan seperti pertandingan nyanyian melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.


Malah pada sebelah malamnya pula dimeriahkan lagi dengan Konsert Istimewa membabitkan barisan artis seperti antaranya Caliph Buskers, Bad Indigo, Zaiton Sameon, Datuk Yusni Hamid, Radhi Khalid, Rozita Rohaizad dan ramai lagi.



Mungkinkah ada lagi festival istimewa sebegini tahun hadapan?


Seperti kata Freddie Fernandez, jika sambutannya hangat KARYAWAN tidak teragak-agak menjadikannya acara tahunan malah jika ada bantuan dan sokongan daripada lebih ramai pihak swasta tentunya ia akan menjadi sebuah festival istimewa untuk orang istimewa agar mereka tidaklah terasa ketinggalan malah seiring dengan perkembangan ekonomi dunia



Kak Fas: Turut terpesona melihat bakat terpendam insan-insan istimewa yang dianugerahkan bakat seni yang golongan normal pun tidak mampu melaksanakannya. Sebuah festival yang perlu diteruskan, moga ada pihak swasta yang sudi menjadi penaja utama agar FSIKL dapat ruang yang lebih besar dan diketengahkan di seluruh negara seperti ‘Jom Heboh’ gitu.



#FestivalSeniInsanIstimewaKL #Karyawan #OKU #GatewayMall #Produk #JKKN








Tiada ulasan:

Catat Ulasan