ALAMANDA, PUTRAJAYA HIBURKAN ANAK-ANAK KURANG BERNASIB BAIK SAMBUT KRISMAS
TINGGAL lebih kurang 10 hari sahaja lagi, sambutan perayaan Hari Krismas akan menjelma malah lebih mengujakan apabila pada bulan Disember juga akan tutupnya tirai kalendar masihi 2022 sekali gus meraikan sambutan Tahun Baharu.
Lazimnya Krismas bagi golongan yang meraikannya adalah hari pemberian hadiah dan pastinya kanak-kanak antara yang tidak sabar mahu membuka bungkusan hadiah yang diletakkan di bawah pokok Krismas.
Jika ada ibu bapa, anak-anak adalah yang paling gembira tetapi bagaimana dengan anak-anak yatim atau yang kurang bernasib baik. Mereka juga pasti mahu meraikannya dan menanti apa hadiah yang bakal di peroleh.
Dalam usaha menggembirakan kanak-kanak dalam golongan tersebut, setiap tahun pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya tidak ketinggalan mengadakan majlis khas meraikan keceriaan perayaan bersama kanak-kanak yang tahun ini ia didatngkan dari Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai, Selangor.
Pada 14 Disember 2022 lalu, seramai lebih kurang 40 kanak-kanak serta belia berumur di antara 3 dan 18 tahun telah diraikan dengan sambutan perayaan yang cukup bermakna di Alamanda.
Mereka telah disantuni oleh pihak pengurusan setibanya mereka di perkarangan Alamanda.
Sebaik tiba, mereka dibawa menaiki tunggangan permainan di dalam pusat membeli belah sebelum dibawa ke Centre Court untuk menyaksikan persembahan silap mata.
Sejurus selesai persembahan tersebut, mereka kemudiannya dihadiahkan dengan hadiah Krismas oleh Pengurus Besar Alamanda, Pang Sook Fong.
Acara itu menjadi lebih bermakna lagi apabila rakan niaga yang lain turut menyumbang snek dan barangan kepada kanak-kanak ini.
Sebelum majlis selesai, mereka disajikan dengan makan tengahari yang istimewa di Secret Recipe.
“Memandangkan musim Krismas sudah tiba, kita harus sentiasa ingat bahawa ramai di luar sana yang kurang bernasib baik. Oleh sebab ini dan sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada kanak-kanak ini dan kami berharap majlis ini akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan untuk mereka," ujar Andrew Brien, Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd.
Brien menambah, "Tetapi nilai sebenar bukanlah tentang hadiah, tetapi niat di sebaliknya - yang diberikan dengan penuh kasih sayang, sama seperti hari ini."
Sementara itu, Viviliyah Rajan, selaku penjaga Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai Selangor berkata:
"Layanan istimewa daripada Alamanda ini begitu bermakna untuk kami terutama kepada kanak-kanak ini. Ketika orang lain berpeluang meraikan Krismas bersama yang tersayang, kanak-kanak ini menyambutnya kali ini bukanlah hanya sekadar menerima angpow atau barangan, tetapi layanan dah perhatian yang istimewa.”
#AlamandaPutrajaya #HariKrismas #SuriaKLCC #Hadiah #SecretResepi #CSR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan