SELEPAS BERHIJRAH FAIZAL ISMAIL UCAP 'TERIMA KASIH ALLAH'
SELEPAS 9 tahun meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio, Faizal Ismail, 46, yang kini kembali ke konti radio mengulangi tugasan sama, kini melebarkan hasratnya kembali sebagai artis rakaman atau dalam bahasa mudahnya sebagai penyanyi.
Barangkali ada yang terlepas pandang bahawa Mohd. Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI sebenarnya pernah menghasilkan album secara duo dengan bekas penyampai radio Khairil Rashid (Krill) yang menggelarkan mereka sebagai Khafi.
Album berjudul ‘Satu Jengkal’ ketika itu dikeluarkan pada 2006 malah Faizal juga pernah membuat kemunculan khas (featuring) dalam album Hari Raya dengan Faizal Tahir dan Shahir Zawawi semasa bertugas di radio.
Tetapi itu kisah lampau. Dan semasa proses belajar dan mendekati agama kira-kira dua tahun lalu, dia berjumpa ramai orang dan salah satunya Iwan Syahman.
"Kita sudah tahu kisah penghijrahannya. Dia salah seorang yang kalau dalam bidang seni orang nampak perubahan yang signifikan. Apabila berjumpa kami berbual. Kadang-kadang saya menyanyi juga lagu-lagu ketuhanan yang dia bawa. Bila dia jemput saya dalam ceramah, kuliah, ada orang minta menyanyi. Kadang-kadang kami sama-sama menyanyi.
"Dia kemudian tanya kenapa kau tak menyanyi? Dalam bentuk barulah. Saya jawab saya bukan penyanyi sangat. Kemudian saya kata tak nak menyanyi cara lagu-lagu dulu," cerita Faizal mengimbas kembali bagaimana timbul hasrat untuk kembali menyanyi.
Atas pelawaan itulah Faizal Ismail kini kembali merakamkan single terbaharunya berjudul ‘Terima Kasih Allah’ ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Iwan Syahman.
"Ia lebih kepada kesyukuran. Selalunya kita sebut Alhamdulillah. Yang ini kita nyatakan dalam tajuk Terima Kasih Allah sebagai tanda penghargaan, apa yang Allah bagi dari segi nikmat dan hidayah," ujar Faizal pada majlis pelancaran ‘Terima Kasih Allah’ yang berlangsung di ibu pejabat Universal Music Malaysia baru-baru ini.
Turut hadir Hermond Cheng selaku Pengarah A&R, Pemasaran & Promosi, Universal Music Malaysia serta Hj Kamal dan Anas sebagai pengacara majlis.
Lagu ketuhanan berentak slow rock dengan lirik yang mendalam ini dikatakan amat sesuai dengan vokal Faizal yang menyampaikannya dengan penuh penghayatan namun bagi Faizal nyanyian bukanlah keutamaannya yang sebenar.
“Menyanyi lagilah lama tak buat. Nyanyian bukan satu forte atau satu keutamaan. Cuma saya buat kerana minat dalam bidang muzik yang sememangnya dah lama. Untuk jadikan sebagai karier bukan satu keutamaan," jelasnya sambil mengulangi bahawa cadangan untuk menyanyi sememangnya datang daripada Iwan.
Tambah Faizal, Iwan sanggup menciptakan lagu untuknya malah lebih teruja untuk membuatnya.
”Saya kata kalau nak buat jangan yang terlalu berat, maksudnya letak mesej yang berat-berat. Bawa satu mesej yang 'straight to the point' yang senang orang nak terima. Alhamdu'lillah dia dapat siapkan. Itu memang dia buat khas untuk saya, bagi saya dengar. Saya dapati melodinya bagus dan senang tangkap. Selepas setuju, kita rekod. Itulah permulaannya," kenang Faizal.
Masa yang diambil untuk rakaman Terima Kasih Allah' hanya tiga jam sahaja untuk disudahkan.
"Kemudian lagu ini diriliskan dan mula sekali dimainkan di radio Zayan. Tanpa promosi yang kuat pun muzik video dapat 13,000 tontonan di YouTube Zayan. Tapi itu macam sekadar deal peribadi.
"Tiga bulan selepas itu barulah saya berbincang dengan Universal Music dan pilih mereka kerana tahu kekuatan mereka. Saya bukan sekadar nak masuk kerana nak dapat view semata-mata, tapi nak letakkan lagu yang berbentuk religi ini dalam genre lain yang orang suka seperti pop. Bila pilih lagu ketuhanan, ia satu usaha dakwah juga. Saya cuba selitkan di situ dan alhamdulillah Universal Music terima,” Faizal bersyukur.
Beliau kini bergelar penyampai di radio Zayan sejak 16 Januari 2023 bergandingan bersama Mawi dan Anas dalam slot Zayan Pagi dari Isnin hingga Jumaat jam 6 hingga 10 pagi.
KETIKA mengerjakan umrah bersama keluarga... |
#FaizalIsmail #TerimaKasihAllah #UniversalMusicMalaysia #LaguKetuhanan #FBI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan