'BUKALAH HATl' TEMA PILIHAN ASTRO. ADA KAH ALIFF SYUKRI DAH TERBUKA HATINYA ?
“BUKALAH HATI’ begitu bunyinya tema syarikat penyiar dan penstriman utama negara, ASTRO menyambut ketibaan bulan Syawal tahun ini.
Begitu pun adakah usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang mendakwa dirinya artis nombor 1 sudah terbuka hatinya untuk menerima komen netizen dan segelintir artis waima bondanya sendiri, Rozita Ibrahim yang berpendapat suara anaknya itu tidak sedap seperti macam kereta tarik berek?
“Memang saya terasa komen emak sendiri tetapi saya tidak mahu biadap dengan orang tua,” ujar Aliff Syukri ringkas terhadap komen ibundanya itu ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2023 baru-baru ini.
Terus bengang dengan komen-komen netizen. Aliff Syukri melemparkan rasa kehairanannya kenapa isu pakaiannya menjadi perbualan.
“Kenapa saya…. kenapa tidak komen artis lain. Bila jadi artis memang macam ini. Saya bukan orang biasa. Saya ini artis, artis kena ada gaya, kena ada stail. Saya tak ada pun buka urat, tidak seksi. Jadi kenapa nak repot saya, apa salah saya?” tanya Aliff Syukri dalam nada marah dan geram.
Beliau merayu stesen radio sudi menyiarkan lagu Raya terbaharunya, ‘Cak Kun Cak Raya’ dimana melalui perkongsian lagu tersebut di YouTube ia telah mencapai tontonan yang tinggi.
“Hampir ke semua lagu-lagu saya mendapat tontontan yang tinggi sebab itu saya katakan saya artis no 1 Malaysia,” tambah Alif.
Apa pun itu yang terbuka di hati Alif Syukri namun bagi Astro. ’Pertemuan Dua Hati’ menjadi pilihan tajuk iklan Raya tahun ini yang sarat dengan penceritaan penuh emosi di antara seorang ibu tunggal dan anak angkatnya.
Iklan kali ini mengangkat kisah Chee Hoi Lan, atau Laoshi, Anugerah Ikon Ibu Sejati Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertungkus lumus dalam membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah yang berlainan bangsa dan agama.
Iklan yang mengambil masa penggambaran selama dua hari ini diarahkan oleh Dick Chua yang dikenali dengan naratif emosi menerusi karya-karyanya.
“Syawal ini bakal membukakan hati kita dengan setulus ikhlasnya. Mengangkat tema Bukalah Hati, iklan Raya kami, Pertemuan Dua Hati memaparkan kisah yang diadaptasi daripada kisah benar, yakni Chee Hoi Lan, atau Laoshi yang membesarkan Rohana Abdullah tatkala dirinya masih bayi sehingga ke menara gading.
“Kisah yang penuh emosi ini membuktikan apabila kita membuka hati, apa jua jurang perbezaan pasti akan diatasi. Bukan itu sahaja, kasih sayang tidak mengenali bangsa, agama mahupun kedudukan. Semoga iklan kali ini mampu menyentuh hati sanubari semua yang menonton, jadikannya aspirasi untuk kita korbankan diri untuk mereka tersayang tanpa mengharapkan apa jua balasan,” ujar Azlin Reza Azmi selaku Naib Presiden saluran Melayu ASTRO sambil melahirkan rasa terharu diberi kepercayaan untuk mengadaptasi kisah yang penuh inspirasi ini sebagai nadi iklannya.
Sajian Astro pula kali ini tambahnya turut sarat dengan rancangan-rancangan hebat yang bakal memberikan kepuasan hati untuk setiap lapisan penonton.
Menerusi platform televisyen, penonton bakal menyaksikan 10 telefilem khas Aidilfitri di saluran Astro Ria, bermula malam raya hinggalah Syawal ke-9 nanti.
Antaranya Pondok Quran Buruk, Sumpahan Peti Ais, Heisdilfitri, Bro Jenin, Pengantin Tangkap Muat, Raya Sebagai Isteri, Challenge Accepted, Biar Biasa Biasa, Langit Tak Mendengar dan Diari Cinta Aku.
Menerusi saluran Astro Warna pula, Debunk 2 akan kembali menemui penonton pada malam raya nanti.
Manakala genre variasi, komedi serta kanak-kanak bakal memaparkan Holla Dolla, Siapa No. Syatu? Lina Vs Rina, Gegar Vaganza Raya, Gempak Most Wanted Raya, Celebrity Family Feud, Bombastika Raya, MeleTop Raya, Raya Lawak Warna, Spontan Balik Raya, Royal Gerambel, Famili Yang Popular dan banyak lagi.
Pastinya ramai akan terhibur dan tidak kering gusi sepanjang bulan Syawal ini.
Sementara itu, filem Polis Evo 3 dan MALBATT Misi: Bakara bakal menemui peminat-peminat filem di pawagam kelak.
Bagi platform-platform Digital dan Radio pelbagai jenis hiburan yang hebat, tiada henti sepanjang Syawal ini turut disajikan.
“Semoga santapan Syawal kami mampu menyemarakkan semangat Aidilfitri ini walaupun setiap daripada kita mempunyai perjuangan tersendiri. Bukalah hati, nescaya kemeriahan Syawal pasti akan dirai. Akhir sekali, ampun dan maaf kami pinta jika ada tersalah kata mahupun terkasar bahasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” Azlin menutup bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan