BAM TERIMA SUNTIKAN RM2 JUTA TAJAAN FREEYOND, BAKAL HANTAR ATLET KE AKADEMI LI YONGBO
PERSATUAN Badminton Malaysia atau lebih dikenali dengan akronimnya ‘BAM” menerima suntikan terbaharu RM2 juta setahun daripada syarikat teknologi konsumer berpengkalan di Shenzheb, Chine, ‘FreeYond’ dalam usaha meningkatkan pertumbuhan sukan badminton Malaysia.
Perjanjian untuk tempoh 1 +1 tahun itu menyaksikan Fast Technology Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif Freeyond di Malaysia dan subsidiari milik penuh syarikat tersenarai di Papan ACE, Fast Energy Holdings Bhd bersama BAM menandatangani MoU dalam satu majlis santai yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
“Saya berbesar hati akhirnya hari ini, dapat memuktamadkan perkongsian yang saling menguntungkan ini dan secara rasmi mengalu-alukan FreeYond sebagai penaja terbaharu BAM. Sokongan daripada penaja kami adalah penting untuk pertumbuhan berterusan dan pembangunan sukan ini,” kata Presiden BAM, Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria kepada media sebaik selesai upacara MoU tersebut.
Turut hadir Datuk Eddie Chai Woon Chet, Pengarah FreeYond; Vincent Tan Wye Chuan, Pengarah Eksekutif Fast Energy dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong serta pemain-pemain badminton muda negara.
Menurut Mohamed Norza, selain dua pertiga daripada penajaan berbentuk wang tunai, BAM berhasrat menghantar barisan pemain mudanya berlatih di Akademi Badminton Li Yongbo di Dongguan, China,
“Memandangkan Datuk Eddie mempunyai hubungan baik dengan Lo Yongbo, kami terima kerjasama dengan pihak Freeyond di mana mereka membuka peluang untuk BAM menghantar beberapa pemain muda berlatih di Akademi Li Yongbo di China. Ini antara sebab penentu apabila Freeyond berjumpa kami untuk kerjasama,” tambah Norza.
Perkongsian ini menunjukkan komitmen FreeYond untuk menyokong sukan badminton tempatan dan atlet di Malaysia dengan menyediakan bantuan kewangan dan sumber.
“Ini akan menyumbang kepada persiapan pemain negara untuk layak ke Sukan Olimpik Paris tahun depan dan inisiatif-inisiatif pembangunan baharu. Selain itu menerusi kerjasama dengan BAM, Freeyond komited untuk memupuk bakat sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat di negara ini,” sambung Norza sambil meluahkan rasa berbesar hati akhirnya dapat memuktamadkan perkongsian yang saling menguntungkan ini.
Mengalu-alukan FreeYond sebagai penaja terbaharu BAM, Norza yakin sokongan daripada penaja berkenaan penting untuk pertumbuhan berterusan dan pembangunan sukan badminton.
DARI kiri: Eddie, Vincent, Norza dan Kenny. Foto: FAS |
Sementara itu, sebagai salah seorang pengarah FreeYond, Eddie Chai melahirkan rasa gembiranya terhadap keputusan yang dibuat oleh Fast Technology dalam menaja BAM dan atletnya.
“Saya gembira dapat menyaksikan satu lagi kejayaan yang dicapai oleh Freeyond selepas kemasukan rasmi kami ke Malaysia dengan telefon pintar dan boleh pakai pada Mac 2023,” jelas Eddie.
Menyahut penghargaan itu, Vincent Tan (gambar bawah)berharap langkah sulung FreeYond memeterai perjanjian bersama BAM dapat menyumbang kepada pembangunan rancak sukan di Malaysia dan menyatukan peminat dan pengguna produk FreeYond ke arah menyokong atlet negara.
“Malaysia adalah kuasa besar dalam dunia badminton, dengan pemain di bawah payung BAM telah mencapai banyak kemenangan dan mendapat kemasyhuran serta kegemilangan negara. FreeYond mahu memainkan peranannya dalam menyokong BAM dan pemainnya ketika mereka berusaha untuk lebih banyak kemenangan podium dan memberi inspirasi kepada belia negara,” ujar Vincent Tan.
Beliau memberitahu, FreeYond melambangkan kebebasan dan daya hidup, mewakili tenaga muda yang tidak terbatas.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan pengguna pengalaman yang bersemangat dan membebaskan melalui rangkaian produk pintar kami. Semangat jenama kami merangkumi usaha mencapai kecemerlangan, kerja berpasukan dan inovasi, yang sejajar dengan nilai BAM,” tambahnya.
Untuk rekod, produk-produk FreeYond terkenal dengan harga yang berpatutan dan kualiti yang luar biasa, memenuhi pelbagai kategori pengguna, termasuk peminat sukan dan profesional.
Selain model telefon pintar M5 dan F9 yang telah diperkenalkan ke pasaran, FreeYond juga telah melancarkan jam tangan pintar F1 mereka dan fon telinga stereo wayarles sebenar (TWS) Pods 1.
#FreeYond #BAM #LiYongBo #China #BadmintonMalaysia #FastTechnology #Tech
Tiada ulasan:
Catat Ulasan