'MS UNIWORLD' DIRAI DI JAMUAN AMAL MENARA KL, REBUT MAHKOTA 'RATU KILIMANJARO'
SEJUJURNYA sudah beberapa tahun lamanya Kak Fas tidak berkunjung ke Menara KL waima selepas kelonggaran pandemik COVID-19 sekali pun.
Pun begitu, ia tidak memutuskan hubungan Kak Fas dengan unit PR & Korporat Komunikasi Menara KL khususnya Nur Sara Aishah yang sentiasa menghantar ‘update’ mengenai apa yang berlaku di Menara KL.
Cuma Kak Fas sahaja yang tidak berkesempatan hadir kerana waktunya bercanggah dengan hal lain tetapi apabila menerima undangan sekali lagi tahun ini untuk hadir ke majlis jamuan Amal meraikan lebih kurang 30 peserta yang bakal bersaing merebut gelaran “Miss UniWorld’, Kak Fas tidak mampu lagi menolak undangan sebagai tanda ingin menyambung kembali sillaturrahim dengan Menara KL.
Terima kasih Nur Sara sebab tidak pernah lupa Kak Fas walau pun beberapa kali tidak dapat hadir.
Sebaik menyelusuri jalan ke Menara KL, apa yang baharu disedari ialah ketiadaan ‘tol’ atau pos palang parkir untuk mengambil tiket parkir.
Eh! patutlah lapang rasa jalan menuju ke Menara KL…memang terbaik ditiadakan pos kawalan parkir di mana ia digantikan dengan attenden pejalan sahaja untuk pembayaran tiket parkir.
Selain itu, tiada perubahan lain rasanya yang menarik perhatian Kak Fas kala menuju ke menara setinggi 421 meter tersebut.
Selepas pendaftaran media, Kak Fas diarah terus ke lif untuk menuju ke aras Megaview di mana berlangsungnya majlis meraikan ‘Miss UniWorld’.
Untuk rekod, 'Miss UniWorld', merupakan pertandingan ratu cantik antarabangsa yang berdedikasi untuk meraikan kewanitaan, memupuk pertukaran budaya, dan memperkasakan wanita dari seluruh dunia.
Diasaskan oleh usahawan sosialit dan ratu cantik Malaysia, Dato Reiss Tiara, pemenang pertandingan ratu cantik antarabangsa berprestij tinggi ini bakal dinobatkan sebagai ‘Ratu Kilimanjaro' sekali gus merebut mahkota bernilai USD400,000, simbol kemuncak keanggunan pemiliknya.
Pertandingan tahun ini mengalu-alukan kira-kira 30 ratu cantik antarabangsa di Malaysia, mewakili ratu cantik negara masing-masing meliputi dari Georgia, Ukraine, Turki, Australia, Estonia, China, Iran, Sepanyol, Belarus, Rusia, Azerbaijan, England, Republik Czech, Filipina, Sweden, Hong Kong, Jepun, Afrika Selatan, Kazakhstan, Indonesia, Belgium, Latvia, Lithuania, Jerman, Tajikistan, Korea dan tuan rumah, Malaysia.
"Matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan keunggulan pertandingan Miss UniWorld di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kami berdedikasi untuk strategi yang inovatif dan memupuk kerjasama bagi mengukuhkan kedudukan Miss UniWorld sebagai platform utama dalam industri pertandingan ratu dunia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Miss UniWorld, Roslan Rosdi (kanan) pada majlis makan malam Amal yang berlangsung di Menara KL baru-baru ini.
Turut hadir Nazli Saad (duduk tiga dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
Menurut Roslan, sebagai sebahagian visi yang diperbaharui, Miss UniWorld berhasrat untuk meningkatkan pengalaman pertandingan untuk peserta, rakan kongsi dan penyokong.
“Pertandingan ini akan mengalu-alukan kira-kira 30 ratu cantik antarabangsa di Malaysia. Peserta akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sebelum pertandingan peringkat akhir pada 11 Jun di JW Marriott,” tambah Roslan sambil berpuas hati dengan acara kemuncaknya iaitu Pertandingan Bakat yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur terdahulu pada 8 Jun.
Komitmen Miss Uniworld terhadap "Beauty With Heart" juga dicapai melalui dua aktiviti amal bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (The National Autism Society of Malaysia) dan Tasputra Perkim.
“Dengan menyokong usaha amal ini, Miss Uniworld mengukuhkan dedikasinya untuk memperkasakan wanita dan memperjuangkan perubahan sosial,’ tambah Roslan.
Berkongsi lanjut, beliau memaklumkan Mahkota Miss UniWorld yang mempesonakan, dihasilkan oleh tukang emas rasmi Amee Philips, dihiasi dengan berlian asli dan batu permata berharga bagi memancarkan daya tarikan yang menawan, menjadikannya simbol sebenar kemegahan pertandingan ini.
"Amee Philips sangat teruja untuk bekerjasama dengan Miss UniWorld, kerana kedua-dua jenama kami berkongsi komitmen yang sama untuk meraikan kecantikan, kekuatan dan pemerkasaan wanita. Dengan mereka dan mencipta mahkota eksklusif Queen of Kilimanjaro, kami memberi penghormatan kepada semangat wanita yang waja. Kami juga ingin memberi inspirasi kepada wanita seluruh dunia untuk meraikan kecantikan dalaman mereka dan memperkasakan mereka untuk merangkul impian dengan penuh keyakinan." kongsi pengasasnya, Amee Philips sendiri.
Sesungguhnya, Miss UniWorld mempromosikan pemerkasaan wanita, peluang perangkaian dan memajukan industri pelancongan, sambil menyokong badan amal tempatan dan global.
#MissUniWorld #RatuKilimanjaro #AmeePhilips #Mahkota #MenaraKL #RoslanRosdi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan