GALERI NUR RAUDHAH RAIKAN 10 MUHARRAM BERSAMA ANAK YATIM, IBU TUNGGAL
SEMPENA mengimarahkan bulan dan hari yang mulia, 10 Muharram, Galeri Nur Raudah yang menyimpan barangan atau Athar milik Junjungan Nabi Rasullullah SAW serta para Sahabat dan isteri baginda menganjurkan program meraikan anak-anak yatim serta ibu tunggal dengan pelbagai aktiviti sekali gus meraikan Hari Asyura.
Sehubungan itu, seawal pagi, perkarangan Rumah Kasih Nurul Hasanah sudah bergema dengan alunan selawat dan zikir munajat bagi menyambut kedatangan tarikh penuh sejarah dalam kalendar Islam itu yang jatuh pada semalam, 28 Julai 2023.
Kenapa 10 Muharam dan apa keistimewaannya?
10 Muharam dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting dalam lipatan sejarah dan peradaban Islam, antaranya pada tarikh itu, Nabi Allah Adam AS ditiupkan roh menjadi manusia pertama dicipta Allah, juga diciptakan syurga dan neraka.
Malah 10 Muharam juga merupakan tarikh di mana Nabi Musa AS diselamatkan manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan.
Jadi memang amat tepat sekali Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli menganjurkan program bagi menyemarakkan amalan sunat pada tarikh berkenaan.
"Selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, kita juga mahu melatih jiwa anak-anak agar mudah mendekatkan diri kepada Allah,” ujar Ustaz Zawawi ketika ditemui pada majlis berkenaan bertempat di Rumah Kasih Nurul Hasanah, Jalan Pimping, Ampang Height.
Turut hadir Anita Bikers di bawah kelolaan Anita Yusof serta penyanyi Rocye Saayan yang sentiasa memberikan sokongan padu atas segala aktiviti anjuran Ustaz Zawawi.
Beberapa rangkaian aktiviti disusun bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingan Ustaz Zawawi untuk sama-sama menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW.
"Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di sini malah diharap dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui betapa banyaknya kelebihan bulan yang diperoleh pada bulan Muharam,” tambah Ustaz dengan harapan majlis anjurannya itu diberkati Allah SWT.
Sambungnya, selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, beliau ingin merebut peluang menyemarakkan dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap baginda Rasullah SAW seraya meningkatkan rasa taqwa kepada Allah dengan mengadakan sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.
Majlis yang sebenarnya bermula pada petang khamis 27 Julai dimulai dengan bacaan Maulid, Marhaban, qasidah, tausiah dan doa 10 Muharam sehingga berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang yang turut dihadiri Royce Sa'ayan.
Seterusnya pada pagi Jumaat 28 Julai, upacara diteruskan dengan memasak bubur Asyura secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada para tetamu serta anak-anak yatim di bawah Kelab Anak Yatim Malaysia.
"Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia," jelas Ustaz Zawawi.
Majlis kemudiannya menyaksikan acara ‘Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama’ melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi dengan kerjasama Anita Bikers dan Kelab kereta ‘Black & White’ (Hitam Putih), membawa kira-kira 30 orang anak-anak yatim serta ibu tunggal mengelilingi sekitar kawasan sehingga ke Zoo Negara.
‘Perancangan awalnya perjalanan konvoi kereta dan bikers sepatutnya ke Masjid Wilayah untuk solat Asar dan melawat Zoo Negara namun terpaksa dibatalkan disebabkan hujan renyai-renyai serta keadaan lalu lintas yang sesak pada waktu puncak tidak mengizinkan,” jelas wakil Galeri Raudhah, Haslina Othman (kanan) ketika ditemui.
Menurutnya, program turut menyaksikan bantuan paket keperluan harian bernilai lebih kurang RM50 diserahkan kepada ibu-ibu tunggal serta anak yatim sekitar 100 orang hasil daripada sumbangan orang ramai sekitar Lembah Klang,
“Bagi yang tidak dapat hadir hari ini kami akan agihkan kepada mereka kemudian,” tambah Haslina sambil memberitahu sumbangan keperluan seperti ini menjadi amalan pihak Ustaz Zawawi setiap tahun sama ada Hari Raya mahu pun pada hari hari istimewa dalam Kalendar Islam.
Kak Fas: Kali kedua melawat Galeri Nur Raudhah tetapi kali pertama merasai bubur Asyura yang tidak disangka memang sedap walau pun rupa teksturnya nampak lebih ceroi dan gelap akibat dicampuri dengan 10 jenis bahan ramuan. Jadi benarlah kata pepatah Inggeris yang menyebut ‘Dont judge a book by its cover’ yang bermaksud jangan menilai sesebuah buku hanya melalui kulitnya.’
Faham kan?
(Artikel berkaitan KLIK SINI.)
Semoga segala amalan kita pada Muharam tahun ini diberkati Allah SWT!
Dan sekiranya ada yang bermurah hati untuk beramal melalui tajaan atau belian barangan Galeri Nur Raudah boleh hantarkan ke Rumah Kasih Nurul Hasanah atau menyumbang ke Akaun MBSB No. 1005044100000615.
ROYCE dan Anita (kanan) sementara gambar bawah memperlihatkan sebahagian daripada anak-anak yatim bersiap sedia untuk menaiki kenderaan mengelilingi kawasan, |
#10Muharam #GaleriNurRraudhah #RumahKasihNurulHasanah #BuburAsyura #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan