MUNAWWAREEN SAMBUT AWAL MUHARRAM BICARA SOAL ' HIJRAH MELANGKAH DENGAN CINTA'
SEMPENA menyambut Awal Muharram yang jatuh pada 19 Julai 2023 lalu, Kak Fas berkesempatan hadir ke program Tuasiyah 1 Muharram berjudul Hijrah: Melangkah Dengan Cinta’ yang berlangsung nun jauh di Forest Valley,Cheras, kira-kira 19km dari kediaman.
Seawal 8 pagi Kak Fas sudah bersiap sedia ke Forest Valley agar sampai sebelum majlis bermula jam 9 pagi seperti dijadualkan.
Nasib baiklah 1 Muharram disambut dengan cuti umum waima tidak perlulah menempuh kesesakan lalu lintas pada awal pagi apatah lagi di jalan yang sentiasa ‘jam’ di lokasi Ceras, Kuala Lumpur.
Memulakan langkah seawal itu ke destinasi program berbentuk ilmiah pada hari Maal Hijrah sudah tentu satu hijrah juga, apabila rasa terangsang dengan kata-kata perangsang daripada panel jemputan terdiri daripada Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Prof Madya Dr. Sharifah Hayaati, Ustazah Nony atau Noraini Mat Din, juga panel istimewa, Masyitah Mohd Afandy dan Irma Hasmie selaku moderator.
Masing-masing mempunyai cerita dan mesej sendiri buat khalayak yang hadir untuk berfikir sejenak cara terbaik bagi membentuk sebuah keluarga ‘melangkah dengan cinta’ sebagaimana tema majlis, ‘Raudah Jiwa’.
“Saya terpanggil untuk menyantuni muslimat semua termasuklah diri saya sendiri ke arah kebaikan, untuk dapatkan lebih pengetahuan dari sudut ilmu. Saya sendiri nak tahu apa kekurangan tentang diri saya dan dari situlah tercetusnya idea saya untuk mengelolakan majlis begini,” ujar Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn Bhd, Datin Aliza Abu Bakar ketika ditemui pada program Tausiyah 1 Muharram anjurannya baru-baru ini.
Menurutnya, untuk membentuk ummah, ia perlu bermula daripada rumahtangga.
“Bila rumahtangga tidak dikelolakan dengan baik, maka di luar sana pun akan terjadi banyak kepincangan dalam masyarakat,” tambah Aliza sambil melahirkan rasa bersyukurnya program yang julung kalinya diadakan ini mendapat sambutan hangat sehingga kehadiran yang diterima di luar jangkaan.
Jelas beliau, pada asalnya sasaran cuma 300 sahaja tetapi disebabkan pemintaan untuk hadir begitu memberangsangkan beliau menambahkannya kepada 500 orang sahaja.
“Saya tahu ada yang kecewa tidak dapat hadir tetapi insyaAllah saya akan teruskan program ilmu begini bagi memberi peluang kepada yang lain nanti,” ujar Aliza.
Sebagai pembuka tirai tahun 1445H, program berkonsepkan sesi perkongsian ini mengangkat topik hijrah yang dilalui, sama ada suka ataupun duka dan bagaimana konsep hijrah itu sendiri diterapkan dalam kehidupan yang semakin mencabar juga menyuntik azam baru dan semangat yang kuat untuk laluan tahun baru 1445H.
Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam seluruh dunia kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
“Sehubungan itu, Munawwareen mengambil inisiatif menyampaikan dakwah melalui sesi perkongsian begini di samping meraikan kedatangan bulan Muharram yang mulia dengan semangat hijrah, yakni niat untuk melakukan perubahan dalam pelbagai aspek,” jelas Aliza.
Lebih menarik sempena program yang dianjurkan, Munarraween memperkenalkan kolaborasi bersama Pertubuhan Kebajikan Projek Kengkawan di mana lebih kurang 40-50 Orang Kurang Upaya akan dibawa mengerjakan umrah dijangka pada bulan Oktober depan.
“Projek Langkah Kerdil Menuju Baitullah 2.0 bertujuan merealisasikan impian jemaah OKU terdiri daripada OKU Penglihatan (SBM) dan OKU Pendengran (MFD) menunaikan ibadah umrah,” tambah Aliza sambil memberitahu dana sebanyak RM200,000 masih diperlukan untuk. mengisi tabung bagi tujuan tersebut.
Mengharapan infaq daripada kengkawan mahu pun orang ramai, Aliza yakin hasratnya untuk membawa jemaah OKU ke Mekah buat pertama kalinya akan tercapai.
Kak Fas lihat ramai juga peserta yang hadir pada program Hijrah: Melangkah Dengan Cinta’ terdiri daripada OKU dengan juru isyarat menjadi pengantara menterjemahkan percakapan panel jemputan.
Ternyata selama lebih kurang tiga jam majlis berlangsung, para muslimat yang hadir tidak berganjak daripada duduk bersimpuh atau pun yang di atas kerusi mendengar topik-topik menarik yang disampaikan oleh barisan tetamu undangan apatah lagi apabila OKU cacat penglihatan, Masyitah menceritakan kisah dirinya yang kemalangan sehingga kehilangan penglihatannya.
“Walaupun Allah SWT mengambil penglihatan saya tetapi saya bersyukur Allah didik saya untuk lebih faham tentang bukan semua benda yang kita suka itu baik untuk kita dan bukan semua benda yang kita tak suka itu tak baik untuk kita, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik utk kita dan terima proses menerima takdir Allah dengan berlapang dada dan berdamai dengan takdir kita mendatangkan ketengangan jiwa sebenarnya, alhamdullilah,” ujar Masyitah bersyukur kepada nikmat Allah yang memberikannya suami dan keluarga yang baik menjadi mata dan kepalanya sebagai ganti kepada matanya yang hilang.
Ternyata perkongsian Masyitah mendapat tepukan hadirin sehingga ada yang menitiskan air mata apatah lagi apabila beliau menyebut patutlah Allah tidak memberikan rezeki untuknya menimang cahaya mata rupanya Allah ada rezeki yang lebih baik untuknya dunia akhirat selepas ditarik penglihatannya.
DR Norhafizah Musa (kiri) bersama Aliza. |
BERGAMBAR kenangan. |
Memang terbaiklah perkongsian yang dikongsikan panel-panel jemputan sebagai pedoman khususnya apa yang seperti apa yang ditekankan oleh Prod Madya Dr Sharifah Hayaati (gambar atas, dua dari kanan) apabila berkata, kaum muslimat perlu menekankan tiga aspek utama dalam memperoleh keluarga bahagia iaitu Hamdalah, Magfirah dan Hawqalah manakala Ustazah Noni (gambar atas dua dari kanan) pula menynaraikan tujuh aspek akhlak yang perlu diterap dalam diri seseorang antaranya Bersama Dengan Tuhan; Muslimah Dengan Diri Sendiri dan Bersyukur Dengan Nikmat Diberi Allah SWT dan beberapa lagi.
Salam Maal Hijrah!
TURUT diadakan jualan produk dan abaya Munawwarreen.
#HijrahMelangkahDenganCinta #RaudahJiwa #Umrah #Munawwareen #Tausiyah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan