Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'SUMPAHAN JERUNAI' PENUH DEBARAN DAN KEJUTAN, DI PAWAGAM 27 JULAI!


APA
itu Jerunai?


Itulah persoalan pertama yang bermain di minda apabila Kak Fas menerima undangan untuk ke majlis prebiu tayangan filem ‘Sumpahan Jerumai’ yang berlangsung di pawagam GSC Mid Valley Megamall pada malam hari Selasa 18 Julai  kelmarin.


Jadi terlebih dahulu Kak Fas kenalah  baca sinopsis cerita terbitan Warga Produksi Seni 2020, diterajui Dato Nancie Foo dan Datin Dr, Wendy Wong yang Kak Fas kenali lama sebagai pasangan penebit yang merupakan sahabat baik yang sentiasa ceria dan mesra.


Secara ringkasnya, ‘Sumpahan Jerunai’ mengisahkan tentang Dr. Sani (lakonan Bront Palarae dan pasukannya yang pergi mencari isterinya yang hilang semasa ekspedisi untuk mengkaji Jerunei. 



Seiring mereka menyusuri hutan untuk mencari jawapan, setiap ahli yang dibarisi pelakon popular, Uqasha Senrose, Amerul Affendi dan Daiyan Trisha mengalami halusinasi dan kekacauan sehingga ada yang  mendapati diri mereka terjaga di tempat yang asing dan menyeramkan.


Cukup setekat itu dahulu, Kak Fas bagikan bayangan kisah di sebalik “Sumpahan Jerunai’.



“Filem ini sebenarnya diilhamkan dari kisah adat kaum Melanau di mana pada asalnya kami bercadang menerbitkannya sebagai sebuah dokumentari sahaja. Tetapi setelah mendapat respon positif daripada beberapa pihak yang membaca kandungan tesis daripada kajian selama dua tahun yang kami lakukan, mereka sarankan ia diterjemahkan ke dalam bentuk filem,” ujar Dr. Wendy Wong ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan filem berkenaan.


Menurut beliau, pihak produksi menjalankan kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei sehinggalah selepas melalui pelbagai cabaran dan rintangan akhirnya setelah enam tahun baharulah ‘Sumpahan Jerunai’ dapat dilayarkan ke pawagam bermula 27 Julai 2023 ini.


“Sebagai sebuah filem yang berdasarkan kepada ‘realiti’ sudah tentu ia memakan masa apatah lagi kami perlu merujuk kepada beberapa pihak tertentu seperti Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak. Selain itu, apabila berlakunya ‘Lockdown’ disebabkan negara dilanda COVID-19, melambatkan pagi proses penyuntingan dan sebagainya,” sambung Wendy (kanan) sambil mendedahkan beberapa lagi fakta penyebab filem tertangguh selama enam tahun khususnya melibatkan kerja kesan khas, VFX dan CGI di dalam filem.


Memang sebahagian besar keberkesanan ‘Sumpahan Jerunai’ bergantung pada kesan khas di mana penggambaran banyak menggunakan skrin biru walau pun ‘shooting’ hanya mengambil tempoh 45 hari, berlangsung sepenuhnya di Sarawak.


Tidak hairanlah filem ini menelan belanja lebih kurang RM5 juta waima apa yang anda lihat sebagai penonton seakan ‘real’ sehingga Kak Fas pun terpaksa tutup mata terutama sekali pada babak ketika Arjuna (lakonan Shafie Naswip) menoreh jarinya ketika sedang mengasah pensil. 


Adoi!Memang mengerikan!


Pada babak itu juga terserlahnya mesej yang tersirat daripada yang tersurat di mana seperti kata penerbitnya, Nancie Foo (gambar atas. kiri) mengingatkan pesan ‘jangan mengambil sesuatu yang bukan milik kita, setiap sesuatu mesti ada tuannya….’


Pesanan orang tua tua dahulu kala seperti itu memang ada apatah lagi bila berada di hutan malah jika nak membuang air kecil pun dipesan supaya meminta izin.


Pun begitu, walau pun diserap elemen seram, mengejutkan dan misteri, filem arahan Jason Chong ini dikategorikan pada penonton kelas ’13’ , jadi anak-anak muda pun boleh menontonnya agar dapat pengetahuan tentang sejarah dan budaya orang-orang Melanau dahulu kala. 


DARI kiri: Bront, Daiyan dan Amerul.


Tetapi sesuai atau tidak bergantung pada masing-masing apatah lagi bila sebagai orang dewasa, Kak Fas pun terpaksa tutup mata, jadi boleh bayangkan betapa ada unsur ngeri dalam karya ini. Jadi jika ada anak-anak yang  lemah semangat berhati-hatilah ya...


Namun, memandangkan generasi sekarang ini memang menyukai filem bergenre seram ‘Sumpahan Jerunai’ tidak mengecewakan bahkan selain dipaparkan dengan babak-babak mengejutkan ada sentuhan ‘humor’ yang boleh sedikit sebanyak mengurangkan ketegangan kala menonton khususnya pada watak Tommi (lakonan Amerul Affendi), seorang youtuber penjejak hantu.


Dialognya yang bersahaja dan sponton mahupun gaya kelakarnya sebagai seorang youtuber membuatkan penonton terhibur dan boleh leka seketika dari terus menerus rasa tengang dek babak seram yang seringkali menyusul.



Namun yang paling mencabar lakonannya tentunya dipegang Uqasha Senrose dan Daiyan Trisha yang terpaksa berdepan detik hampir separuh mati.


“Babak pertama yang perlu saya lakukan adalah ketika bergelut di dalam air sungai yang kotor dan berbau. Bayangkan di situlah juga aliran pembuangan najis tetapi sebagai pelakon itulah tanggungjawab yang perlu saya harungi,” ujar Uqasha yang melakonkan sendiri semua babaknya tanpa bantuan pelakon aksi tambahan.


Seperti Uqasha begitu juga diharungi Daiyan Trisha apabila dia berdepan ditenggelami pasir jerlus hampir lemas, benar-benar satu babak yang mencabar sehingga terpaksa menerima rawatan sakit telinga selepas itu.



Pendek kata, kesemua pelakon termasuk Bront Palarae dan Shafie Naswip memberikan lakonan mantap pada watak masing-masing malah tidak ketinggalan lakonan Tony Eusoff sebagai Penghulu Kampung, Madui dan Ruminah Sidek atau Mak Mah yang membawa watak seorang bomoh tua, Nula, mahu pun pelakon muda Yuyun Himah sebagai Matalau.


Watak Tony Eusoff pada babak awalnya dilihat sebagai seorang ketua kampung yang baik sedangkan Mak Mah pula dipaparkan penuh misteri sehingga menjadi tanya tanya penonton apa peranan beliau sebenarnya?


Di sinilah plot twist cerita berlaku untuk penonton mengetahui siapa sebenarnya Madui berbanding Nula dan apa kaitannya pula Matalau dengan mereka?


Sekali lagi, tak perlulah Kak Fas ulas lebih panjang kecuali anda sendiri mendapatkan jawapannya apabila ‘Sumpahan Jerunai’ ditayangkan pada 27 Julai nanti ya.


Sementara itu, Dr. Wendy memaklumkan sebelum tayangan umum bermula filem tersebut telah dipilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) edisi ke-6 yang akan berlangsung hari ini (20 Julai) di Kuching, Sarawak.



“Ini menandakan satu peristiwa penting kerana ia adalah kali pertama AIFFA memilih filem tempatan untuk acara berprestij ini, seperti yang diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah,” akhiri Dr. Wendy mengharapkan penonton menyokong filem tempatan dan menjadikan ‘Sumpahan Jerunai’ bukan sahaja sebagai sebuah filem seram untuk ditonton sebagai ‘hiburan’ tetapi satu karya berpandukan sejarah dan budaya rakyat Melanau, Sabah.



Untuk rekod, Jerunai adalah salah satu lambang bersejarah bagi masyarakat Melanau yang dijadikan  tempat persemadian orang-orang bangsawan Melanau pada masa dahulu tetapi tidak lagi diamalkan pada masa sekarang. Ramai yang menjadi korban daripada pembinaan jerunai ini.


Nak tahu serba sedikit apa kisah di sebalik ‘Jerunai’ ini eloklah menonton “Sumpahan Jerunai’ di pawagam berdekatan anda tidak lama lagi ya…


Terbaik!



#SumpahanJerunei  #Sabah  #Jerunei #Melanau #Sarawak #Produksi2020 #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan