Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KARYA ABSTRAK METAFORA KEHIDUPAN UNGGULI HADIAH UTAMA PERTANDINGAN SENI MR. DIY


SAYA mengambil tempoh tiga tahun dalam menyiapkan karya ini yang pada asalnya saya cuma tumpukam pada bahagian tengah sahaja manakala bahagian kiri dan kanan ditambah apabila saya rasakan ia perlu disambung untuk menceritakan mesej pada karya anstrak sebegini dan seterusnya garisan tiga segi yang menjuruskan kepada Allah SWT membentuk sepenuhnya karya ini,” ujar Mohd Fizrie Azhan bin Mohd Torikat, yang berjaya meraih hadiah utama dalam edisi 2023 Pertandingan Seni MR D.I.Y.


Beliau yang membawa hadiah bernilai RM15,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong (gambar atas, kiri) ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Pusat Seni Segaris, Publika baru-baru ini.


Diberi nama ‘The Journey No.1’, ternyata pilihan tajuk yang tepat bagi karya seni mengagumkan dari Mohd Fizrie ini yang dihasilkan dengan akrilik.



Ia membawa pemerhati melalui perjalanan metafora kehidupan, menggambarkan kesakitan, kekecewaan, kegagalan, dan perpisahan, dengan mengadunkan warna putih, hitam, kelabu dan merah. 


Gabungan warna-warna ini dan teknik menuang telah mencipta bentuk-bentuk organik yang amat menyerlah.


Pertandingan tersebut yang kini dalam tahun kedua anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, menjemput bakat-bakat seni di Malaysia untuk mencetus dan menghasilkan karya representasi pemikiran, interpretasi, bentuk, dan ekspresi kreatif mereka berdasarkan tema "Panas atau Sejuk", dan menterjemahkannya ke atas kanvas. 


Pertandingan yang dilancarkan pada 9 Mac 2023 dan berlangsung sehingga 7 Jun 2023 itu telah berjaya menarik lebih daripada 300 penyertaan dari seluruh Malaysia, termasuk dari pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.


Penyertaan-penyertaan telah dinilai oleh panel juri ternama, yang merangkumi artis terkemuka Fauzan Omar (gambar bawah, dua dari kanan) Safrizal Sharir (tiga dari kanan) dan Leong Mei Yin (dua dari kiri) serta pengumpul dan pengkritik seni ternama Bingley Sim, yang pernah menyertai pelbagai panel pertandingan seni sebelum ini.



Dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan MR D.I.Y. itu seramai 31 bakat yang telah dipilih sebagai yang terbaik menerima hadiah masing-masing bernilai hampir RM70,000 keseluruhannya.


Peruncit tersebut juga telah memperkenalkan satu kategori baru iaitu 'Anugerah Pilihan Pengasas' - sebagai penghormatan kepada pengasas MR D.I.Y., Tan Yu Yeh, yang amat menghargai seni.



"Apabila kami melancarkan pertandingan seni ini pada tahun 2022, matlamat kami adalah untuk memupuk penghargaan terhadap seni di Malaysia dan menyediakan platform yang mampan untuk bakat-bakat seni muda mempamerkan bakat mereka kepada audiens yang lebih besar. Pertandingan pada tahun lalu telah menarik pelbagai karya yang berkualiti, dan kami amat gembira melihat lebih banyak lagi karya hebat pada tahun ini, termasuk dari bakat termuda kami - seorang peserta berusia 7 tahun yang amat berbakat,” ujar Adrian Ong.



Menurutnya, tahun ini barisan juri benar-benar memberi cabaran yang besar dengan tema yang menarik iaitu 'Panas & Sejuk' .



“Saya ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta yang berjaya menyahut cabaran tersebut dengan cemerlang. Kualiti hasil karya yang begitu bagus telah meyakinkan kami untuk meningkatkan nilai dan bilangan hadiah,” tambah Ong.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para juri, pasukan penganjur, dan peserta kerana telah menetapkan standard penganjuran dan penilaian yang sangat tinggi.



"Visi kami di MR D.I.Y. adalah untuk menambah nilai dalam kehidupan rakyat Malaysia, dan anda semua telah mencapainya dengan kualiti pertandingan tahun ini. Saya menyeru rakyat semua, terutamanya mereka yang tinggal di Lembah Klang untuk merebut peluang melihat sendiri karya-karya ini - ia benar-benar menakjubkan,” jelas Ong sambil memberitahu semua karya-karya pemenang dipamerkan di Segaris Art Centre, Publika Kuala Lumpur dari 2 Ogos hingga 4 Ogos 2023 ini.


Kemasukan adalah percuma.


Berikut senarai penerima hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2023:


  • Hadiah Utama | RM15,000 tunai: Mohd Fizrie Azhan bin Mohd Torikat, 32 tahun, dari Klang, Selangor, untuk 'The Journey No. 1'.
  • Anugerah Pilihan Juri | RM8,000 tunai: Arikwibowo bin Amril, 35 tahun, dari Gombak, Selangor, untuk “Falling Apart”.
  • Anugerah Pilihan CEO | RM6,000 tunai: Adam Lais bin Ahmad Shukri, 21 tahun, dari Puncak Alam, Selangor, untuk 'Grow with Me'.
  • Anugerah Pilihan 'Pengasas' | RM4,500 tunai: Mohd Faris Ridzwan bin Che Abdul Malek, 30 tahun, dari Serendah, Selangor, untuk 'Pintu Keluar'.
  • Peruncit tersebut turut menyampaikan anugerah kepada para penerima dalam setiap kategori berikut: Anugerah Seniman Kreatif, Anugerah Sorotan, Anugerah Cemerlang MR D.I.Y., Anugerah Pilihan Ramai, Anugerah Penghargaan Istimewa, dan Anugerah Bakat Muda MR D.I.Y.

Pertandingan Seni MR D.I.Y. merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif impak sosial korporat yang dianjurkan secara berterusan oleh MR D.I.Y. 



Baru-baru ini, peruncit tersebut telah menerima Anugerah Syarikat Terbaik [Peruncit Perkakas Rumah] untuk program capaian terbesar bagi masyarakat, alam sekitar, dan inisiatif tempat kerja dalam Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2023 yang dianjurkan oleh CSR Malaysia.



Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan seni MR D.I.Y. dan lain-lain program impak sosial syarikat ini, layari laman web, www.mrdiy.com, dan platform media sosialnya di Facebook dan Instagram. Lebih mudah buka DI SINI.



#MrDIY #PertandinganSeniMrDIY #CSRMalaysia #TheJourneyNo1 #SegarisPublika


Tiada ulasan:

Catat Ulasan