AITEX 2023 SASAR TARIK PENYERTAAN LEBIH RAMAI NEGARA ISLAM ASIA
PADA bulan Jun lalu, bertempat di Singapura pada majlis anugerah ‘Halal in Travel’, Malaysia telah diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ‘Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik’ oleh CrescentRating dan Mastercard.
Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen Pelancongan Islam serta Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dilaporkan pelancong Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah 2 bilion di seluruh dunia.
MAJLIS dimulakan dengan acara Tadabbur... bacaan ayat suci Al-Quran diikuti tafsirannya. |
Malaysia turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya menarik seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara ini pada tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion.
Sehubungan itu, amat bertepatanlah apabila buat julung kalinya penganjuran Persidangan dan Pameran Haji, Umrah & Pelancongan Islam atau ringkasnya AITEX 2023 diadakan selama tiga hari bermula 13 September 2023 lalu, bertempat di Hotel Sunway Resort termasuk Pameran AITEX 2023 yang diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre sehingga 15 September 2023.
Anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dengan kerjasama rakan strategik seperti Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA), Global Islamic Tourism Organization (GITO) serta Santai Travel memperlihatkan seramai 54 syarikat terlibat mewakili negara-negara dari rantau Asia antaranya seperti Indonesia, Singapura, Brunei, India, Bangladesh, Thailand, Cambodia, Sri Lanka, Maldives termasuk Malaysia sebagai tuan rumahnya.
“MATA percaya dengan adanya Pameran AITEX dapat membantu agensi pelancongan menjalinkan rantaian pemiagaan masing-masing. Ini secara langsung membantu Malaysia mempromosikan produk-produk pelancongan Islam yang ada di sini dan perlu diketengahkan,” ujar Presiden MATA, Datuk Dr. Mohd Khalid Harun pada majlis pelancaran AITEX 2023 baru-baru ini.
DARI kiri: Azlie, Dr. Mohd Khalid, Jeffri Sulaiman dan Noor Zaleha.
Turut hadir menyempurnakan perasmiannya terdiri dari Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin mewakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Datuk Jeffri Sulaiman, Timbalan Presiden MATA merangkap Pengerusi Penganjur AITEX; Presiden MiTDA, Datuk Noor Zaleha Baharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Santai Travel, Datuk Azlie Halim, serta Datuk Emmy Suraya (gambar bawah, kiri) mewakili Sekretariat AITEX 2023.
Dalam teks ucapan Perdana Menteri yang dibaca, beliau berharap AITEX 2023 dapat menjadi platform untuk mempromosikan pelancongan Islam secara lebih meluas sekali gus mempekenalkan pelancongan Malaysia kepada pelancong asing.
AZMAN Abidin menyampaikan ucapan perasmian bagi pihak Perdana Menteri. |
Sementara itu, Dr. Mohd Khalid memberitahu, AITEX 2023 menyediakan ruang diskusi khas yang dilengkapi dengan kafe khas kepada pempamer dan pembeli industri (trade buyers) untuk menjalankan jaringan perniagaan masing-masing.
“AITEX 2023 juga menyediakan Ruang Forum bagi pempamer mengadakan persembahan produk atau perkhidmatan mereka kepada pengunjung.
"Untuk tahun hadapan AITEX 2024 akan berlangsung pada bulan Julai dan dijangka lebih ramai penyertaan daripada negara-negara Islam khususnya dari Timur Tengah akan hadir,” ujar Dr. Mohd Khalid.
Tambahnya, acara kemuncak sempena AITEX 2023 adalah Malam Anugerah Pelancongan Islam Sedunia (WITA 2023) yang akan diadakan pada Sabtu, 15 September 2023 ini bertujuan menghargai sumbangan pemain industri meningkatkan pelancongan Islam ke taraf antarabangsa.
WITA 2023 dijangka akan dihadiri lebih dari 1000 orang dengan lebih dari 100 meja makan tersedia.
Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang di www.mata.travel
#AITEX2023 #OIC #PelanconganIslam #MATA #MiTDA #GITO #WITA2023 #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan