Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

500 WANITA BERSELAWAT DI FESTIVAL UMMAH MEGA HAFLAH 2023!



SERAMAI 500 peserta Festival Ummah Mega Haflah 2023 berselawat dengan doa  beroleh kejayaan dunia akhirat  agar dapat menuju ke alam barzakh berbekalkan harapan diterima sebagai seorang bidadari syurga pada akhir hayat mereka.


Itulah gambaran dan intipati yang dapat Kak Fas simpulkan kepada mesej yang ingin disampaikan penganjurnya, Datuk Hajah Rozanna binti Dato’ Hj Rahmat apabila memilih topik ‘Bidadari Berselawat, Wanita Peneman Syurga (Hurun Ain) Semarak Cahaya Al-Quran’ untuk diketengahkan oleh barisan asatizah pada Festival Ummah Mega Haflah yang berlangsung di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam pada Sabtu 7 Oktober 2023 bersamaan  22 Rabiulawal 1445H yang lalu.


HAJAH Rozanna menyampaikan Tadabburnya disusuli Tausiyah oleh Dr. Ummi Robiah (bawah).

Buat julung kalinya dianjurkan, festival yang bermula seawal 8.30 pagi dan berlarutan tanpa henti selama hampir 5 jam itu diliat mencapai matlamatnya apatah lagi pada segmen ketika Tokoh Hari Wanita Daie Mukminat Ummah 2022, Ustazah Sharifah Khasil berbicara, rata-rata peserta yang hadir diminta berpelukan sesama mereka memohon keredaan dan kemaafan, membangkitkan suasana hiba di kalangan  semua hadirin.


Tidak kurang bercucuran air mata mungkin mengenangkan masa lalu. 


TAHSIN & Selawat oleh Ustazah Sharifah Khasif...


DARI Kiri: Sharifah Khasif, Dr. Ummi Robiah, Aishah, Huda Edayu, Rozanna dan Sofizah Mousin..

Linangan air mata sebahagian peserta yang jiwanya lembut tidak syak lagi menghayati setiap pesanan dan tazkirah yang dilontarkan barisan asatizah jemputan penganjur seperti antara lainnya Dr. Ummi Robiah Hamzah ( Ikon Muslimah Nona 2023); Ustazah Sofizah Mousin (Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2022); Ustazah Huda Edayu (Tokoh Hari Wanita Daie Influencer Ummah 2022); Ustazah Awatif (Johan Qariah Tilawah Al-Quran MTQ Pulau Pinang); Ustazah Noor Suhaiza ((Johan Qariah Tilawah Al-Quran MTQ Wilayah 2015,2017) serta dua pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah dan Salimah Habibi (gambar bawah) manakala Hana Ismail bertindak sebagai pengacara majlis.




Di samping halwa telinga dibuai dengan  bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustazah Sofizah mahu pun  alunan Qasidah oleh Hadroh Sri Kandi Al Fath (Maulid Dhiya Al Ulami) yang diterbangkan khas dari Sabah serta Kumpulan Rahmatul Ihsan (Haflah) ditubuh Rozanna sendiri mendamaikan suasana sekeliling.

MEGA Haflah Kunpulan Rahmatul Ihsan dipimpin Ustazah Awatif (empat dari kiri) dan sebelahnya Ustazah Suhaiza.

Antara selebriti yang dilihat turut memberikan sokongan adalah Datin Seri Umie Aida, Erma Fatima dan Hamidah Wahab.


“Wanita Peneman Syurga (Hurun Ain) Semarak Cahaya Al-Quran adalah topik pilihan saya sendiri dalam usaha menyampaikan mesej bahawa matlamat kita hidup di dunia ini bila disyurga kelak kita nak jadi bidadari syurga seperti Hurun Ain. Siapa kah Hurun Ain bidadari bermata indah ini?” ujar Hjh Rozanna Rahmat ketika ditemui selesai majlis.


ROZANNA bersama Umie Aida (kiri) dan Erma Fatima.


Menurut Pengasas #MyInfaqIhsan (Kerja–Kerja Kebajikan) dan #SweetTalkKeSyurga (Dakwah) ini lagi, festival Ummah merupakan kali pertama anjurannya sempena sambutan Maulidur Rasul sekali gus meraikan tarikh ulang tahunnya yang ke-56.



.”Kelainan yang saya terapkan melalui festival ummah ini ia tertumpu. pada elemen Al-Quran, mukjizat teragung yang Rasullullah SAW miliki,” jelas Rozanna sambil bersyukur majlis berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran 500 peserta seperti yang disasarkan.


Tambahnya, angka itu sememangnya dihadkan agar ada ruang keselesaan kepada khalayak yang hadir  sambil berjanji akan menganjurkannya sebagai acara tahunan dengan sasaran peserta yang lebih ramai.


Untuk Festival Ummah Mega Haflah yang berlangsung setiap peserta dikenakan bayaran pendaftaran RM45 manakala RM35 dibuka kepada hanya 100 peserta terawal yang mendaftar dalam tempoh ‘early bird’.


“InsyaAllaah, saya akan jadikan program ini sebagai acara tahunan bagi memberi peluang lebih ramai muslimin dan muslimat hadir,” tambah beliau yang turut bertanggungjawab menubuhkan kumpulan Rahmatul Ihsan yang diperkenalkan selepas majlis dibuka dengan bacaan Maulid Dhiya Al Ulami oleh Hadroh Seri Kandi Al Fath.


ALUNAN Qasidah SriKandi Al Fath.

Mengulas lanjut mengenai siapa kah bidadari Hurun Ain seperti yang digambarkan pada Surah Ad Dukhan Ayat 54* ia diterjemahkan sebagai ‘Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.’


“Pengajaran utama dari ayat ini adalah mengingatkan kita akan akhirat. Orang-orang yang beriman diberikan janji syurga yang indah, sementara mereka yang berpaling dari Allah mungkin menghadapi akibat yang berlawanan. Oleh karena itu, ayat ini mengajarkan pentingnya beriman dan menjalani kehidupan yang sesuai dengan ajaran agama untuk mencapai syurga,” ujar Hajah Rozanna sebagaimana tertulis dalam laman sosial medianya.



Bertujuan menjadi platform rintis bagi perkongsian pandangan dan amalan terbaik pendekatan dan khususnya dalam kalangan muslimat ke arah mencapai kesejahteraan ummah, objektif festival juga adalah untuk menyebarluas pendekatan dengan lebih mendalam mengenai Al-Quran serta meningkatkan kesedaran dan keyakinan bahawa Al-Quran itu adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk kita lebih memahami maksud & terjemahannya supaya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.



Penganjuran festival ini juga dilihat sebagai usaha memartabatkan al-Quran sebagaimana tertulis dalam Surah Sad, ayat 29, “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” 


TURUT diadakan gerai jualan pelbagai produk muslimah.


“Harapan, agar segala perkongsian yang dicurahkan oleh para asatizah dalam festival ini dapat dimanfaatkan semaksima mungkin dalam amalan kehidupan seharian kita. Semoga kita akan terus istiqomah dalam usaha memartabatkan Al- Quran kepada kesejahteraan ummah,” akhiri Hjh Rozanna sambil memanjatkan doa agar acara sama dapat terus dilakukan setiap tahun di beberapa lokas terpilih kelak.



Idea  festival ini dicetuskan selepas melihat kejayaan yang diperoleh daripada Festival Sunnah 5.0 yang diadakan pada bulan Mac lalu di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar dengan tajuk 'Wanita Lindungan Al-Quran'.



#festivalummahmegahaflah #BidadariBerselawat #Dakwah #ShahAlam #ummah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan