'ABANG ADIK' KOLABORASI PELAKON TAIWAN-MALAYSIA SUNTIK EMOSI. HARUS TONTON 14 DIS!
JUDUL filem ini, “Abang Adik” namun ia sebuah karya Cina oleh sutradara Jin Ong, malah bintang utamanya dibarisi pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren bersama pelakon tempatan seperti Jack Tan serta dibarisi wajah-wajah ‘anak Malaysia’ termasuk Melayu dan India mahu pun warga asing khususnya golongan Pendatang Haram atau PATI.
‘Saya memilih tajuk ini bagi memperkenalkan bahasa Malayu itu ke mata dunia kerana ia ringkas dan maksudnya menepati cerita yang berkisar pada ikatan kekeluargaan,” ujar Jin Ong ketika ditemui usai pra tonton filem ‘Abang Adik’ terbitan More Entertainment Sdn Bhd dan New Century Southward Development Co., Ltd. yang berlangsung di GSC Starling Mall pada semalam, Isnin 11 Disember 2023.
Turut hadir antaranya Pengarah Eksekuif, Sinje Lee serta tiga daripada barisan pelakonnya, Wu Kang Ren, Jack Tan dan Tan Kim Wang.
Tidak syak lagi hasrat itu tercapai waima belum pun ditayangkan di layar perak tempatan filem ‘Abang Adik’ telah melakar sejarah demi sejarah di luar negara dengan pelbagai pengiktirafan.
Apatah lagi ‘Abang Adik’ yang sudah ditayangkan di Taiwan terus mencetak sejarah apabila menjadi filem paling laris kolaborasi negara antara Singapura dan Malaysia yang pernah ditayangkan di negara tersebut.
Rekod pecah panggung itu diharap dapat diteruskan di tanah air sendiri apabila ‘Abang Adik’ akan menemui penonton Malaysia bermula 14 Disember 2023 ini.
Terdahulu, ‘Abang Adik’, diterbitkan Sinje Lee dan Alex C.Lo bersama Penerbit, Nicole Teoh dan Trini Lam sudah meraih perhatian festival-festival antarabangsa termasuk mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama memenangi kategori utama Far East Film Festival (FEFF) ke-25 termasuk Golden Memory Audience Awards, The Black Dragon Critics Prize dance White Mulbery Awards yang berlangsung di Udine, Itali.
Bukan hanya diiktiraf di FEFF, ‘Abang Adik’ juga merangkul lebih 10 pengiktirafan termasuk anugerah di festival seperti New York Asian Film Festival 2023 (edisi ke-22) dan First Official Selection 2023 di China.
Malah, bakat lakonan luar biasa, Wu Kang Ren sendiri diiktiraf dengan empat kemenangan termasuk di Taipei 60th Golden Horse Award sebagai Best Leading Actor, 13th FIRST International Film Festival 2023 sebagai Best Performance, dinobat Best Lead Performance dan di QCinema Intemational Film Festival - Asian Next Wave yang berlangsung di Filipina.
Sejujurnya lakonan Kang Ren memang mantap. Karektor yang bersahaja sebagai seorang ‘abang’ kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak memang layak sebagai penerima Pelakon Utama Terbaik yang menjadi miliknya pada Anugerah Golden Horse ke-60 Taipei.
Emosi yang ditampilkan tanpa bersuara tetapi sekadar bahasa isyarat sudah cukup memberikan kesan mendalam pada penonton hingga tanpa disedari mengalirkan air mata.
“Bahasa isyarat di Malaysia berlainan dengan cara penyampaiannya di Taiwan, jadi saya kena belajar cara bahasa isyarat yang difahami di Malaysia selama lebih sebulan,” ujar Kang Ren yang nampak lebih 'beris'i daripada karakternya yang kurus dalam ‘Abang Adik’.
Kenangnya, ‘Waktu itu, saya tidak boleh makan banyak sebab kena kuruskan badan tetapi sekarang bila berada di Malaysia bolehlah saya makan sepuasnya dan suka nasi lemak,” disusuli ketawa ramai.
Kak Fas percaya sesiapa yang menonton filem yang digarap secukup rasa ini akan turut bersedih dengan situasi yang dilihat. Hanya mereka yang berhati keras sahaja mungkin kering air mata untuk bersama menanggung derita dan pengorbanan pasangan adik beradek yang sebenarnya bukan sekandung ini.
Sebagai naskhah pertama arahannya, Jin Ong yang terlebih dahulu dikenali sebagai penerbit berjaya membawa penonton menelusuri dilema kehidupan penuh kemiskinan dan kesempitan hidup dua beradik yatim piatu.
Satu tragedi yang berlaku telah menguji hubungan abang - adik yang hidup melarat ini. malah konflik dan dilema yang dihadapi mereka dikupas cukup cantik apatah lagi diringi lagu latar yang membuai lagi emosi penonton.
Berkongsi lanjut, Jin Ong (gambar atas) menyifatkan pengikitirafan yang diterima daripada festival-festival adalah sebuah indikasi positif terhadap karya Asia Tenggara yang boleh berdiri sama tinggi dengan karya dari negara terkenal dunia.
“Pengiktirafan dan kemenangan yang diperoleh dari merata benua di dunia menerusi pengisian Abang Adik yang mengangkat tema kehidupan, kekeluargaan, pengorbanan dan kasih sayang, disampaikan dalam balutan kreativiti karyawan seni dua negara yang mempunyai visi sama adalah bukti daya saing pengkarya Asia Tenggara yang tidak boleh dinafikan.
“Saya juga amat berharap agar Abang Adik menerima respons baik saat ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 14 Disember ini, tambah Jin Ong.
Dengan kos produksi menelan belanja lebih RM3 juta, Lee Sinje yang juga pelakon berasal Kedah tetapi lebih terkenal di Hong Kong dan Taiwan, waima Kak Fas mengenalinya selama ini sebagai duta produk SK-11 apabila pernah menemuramahnya ketika di Singapura turut berharap ‘Adik Abang’ akan mendapat sambutan hangat di tanah air sendiri sebagaimana ia diterima secara global.
“Semoga orang Malaysia tidak kira bangsa dapat menerima filem ini waima Abang Adik diterbitkan dalam penggunaan tiga bahasa iaitu Mandarin, Kantonis dan Bahasa Melayu,” ujar pemilik bernama penuh, Angelica Lee Sinje , 47, ini.
Sementara itu, bagi Jack Tan, ‘Abang Adik’ yang disampaikan dalam tiga bahasa itu terlalu istimewa kerana latar cerita dan penghasilannya yang menggabungkan tenaga kerja serta pelakon dari Malaysia dan Taiwan.
Naskhah berdurasi 114 minit ini disifatkan Jack Tan, pemegang karakter Adik mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila membabitkan manusia dengan dua keadaan fizikal yang berbeza sehingga menjentik naluri sesiapapun yang menonton.
“Ada nilai sentimental dalam filem Abang Adik ini buat saya kerana pertalian keluarga adalah sesuatu yang dilalui semua orang di dunia.
“Dan bagaimana watak Abang serta Adik menjalani kehidupan dalam dunia sama tetapi berlainan cara, dengan seorang OKU dan seorang lagi memberontak kerana kemiskinan mereka,” ulas Jack Tan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang filem Abang Adik yang diedarkan mm2 Entertainment ini jangan sampai terlepas menonton naskhah yang sudah bergema di peringkat antarabangsa ini sebaik memasuki pawagam berhampiran pada 14 Disember 2023 ini nanti ya.
Memang terbaik dan harus tonton sebelum menjelang tahun baharu 2024!
Sebuah filem yang barangkali ada yang menyifatkannya klise tetapi digarap dengan situasi realiti yang berlaku pada zaman ini sekali gus menjadikan ‘Abang Adik’ sebuah filem harus tonton satu keluarga.
Kak Fas: Bila tengok telor rebus pasti ingat ‘Abang Adik’ kerana telor turut memainkan peranan pengikat kasih sayang ‘Abang Adik’ - satu tabiat yang nostalgik antara mereka malah menurut pengarahnya ia diinspirasikan daripada ingatannya terhadap seroang rakan yang suka pecah telor rebus dengan mengetukkannya di dahi kepala.
Bintang: *****
#AbangAdik #Filem #MandarinKantonisBahasaMelayu #Pengorbanan #Telor #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan