Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KONSERT MEGA ZIKIR TERAPI SASAR KUTIPAN RM1J BANTU RAKYAT PALESTIN! JOM BERAMAL!


DENGAN
kos operasi mencapai RM387,000 bagi penganjuran Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity - Live @ Istana Budaya,’ kira-kira RM180,00 masih diperlukan bagi merealisasikan kejayaan konsert yang akan membuka tirai tahun 2024 pada 5 Januari depan.


Sehubungan itu, berkonsepkan ‘crowdfunding’, konsert berskala besar khas yang akan berlangsung di pentas berprestij Panggug Sari, Istana Budaya ini mensasarkan RM1 juta dapat dikumpul buat membantu saudara seislam di Palestin yang kini masih berdepan dengan peperangan.



Namun mungkinkah dengan kapasiti lebih kurang 1,408 yang dapat dimuatkan dalam Panggung Sari pada harga tiket bermula dari RM130 hingga RM390 untuk konsert satu malam dapat merealisasikan kutipan jumlah sasaran RM1juta yang diharapkan?


“Memanglah jika diukur pada jualan tiket, sukar untuk memperoleh sasaran tersebut kerana itu kami mengaturkan program 'Road to Konsert' di mana dalam masa sebulan sebelum konsert akan ada pelbagai aktiviti," jelas Dr. Fitri selaku perunding dan pengarah konsert ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Mega Zikir Terapi yang berlangsung di Istana Budaya, semalam.


Dr. Fitri bersama Nadir (tengah) dan Zubaidah pada sidang media di Istana Budaya semalam.


Sambil mengalu-alukan pihak swasta atau mana-mana individu yang mahu menjadi penaja utama dan penaja bersama kepada konsert, Dr. Fitri berkata, "Pada malam konsert kemanusian itu juga kami turut membuka sumbangan melalui QR Kod yang akan diberikan di mana kesemua kutipan yang diperoleh akan dihitung  secara ‘live’ di pentas'.


Turut hadir penganjurnya, Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang dipelopori oleh Nadir Al-Nuri; Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar serta beberapa wakil daripada pertubuhan Peduli Insan Malaysia mahu pun Syria Care antaranya Pengerusinya, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki dan juga Presiden IRAMA (Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia) Ayob Abd. Majid dan ramai lagi.



Berkongsi lanjut, dalam usaha mencapai sasaran berkenaan Dr. Fitri turut memaklumkan pelbagai aktiviti dan pengisian lain disediakan seawal 10 pagi seperti pameran, pertandingan, reruai jualan dan sebagainya sepanjang hari sebelum konsert bermula pada waktu malam.


“Dari situ segala wang yang berjaya diperoleh akan disalurkan 100 peratus juga kepada tabung supaya dapat mengumpul jumlah sasaran,” jelas Dr. Fitri sambil menjelaskan penganjuran konsert juga adalah untuk menangkis stigma masyarakat bahawa konsert membawa konotasi yang negatif.


"Sebut sahaja konsert, orang selalu kaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik sedangkan jika dilakukan dengan cara yang betul, banyak manfaat

yang boleh kita nikmati. 


“Inilah peluang dan masa mereka datang beramai-ramai untuk membeli tiket,

menghayati pengisian rohani sambil menderma sebagai tanda solidariti untuk saudara-saudara kita di Palestin," sambung Dr. Fitri.


Sebanyak 15 trek yang mengandungi 7 buah alunan zikir dan 8 lagu akan dipersembahkan pada malam konsert,  diketuai oleh kumpulan nasyid terkenal dan tular dengan Doa Qunut iaitu Kumpulan Nasyid UNIC yang turut dianggotai Dr. Fitri.



Menurut beliau, istimewanya, artis-artis tanah air yang akan muncul di dalam konsert tersebut antaranya seperti Khai Bahar dan lain-lain dibawakan oleh NGO dan syarikat rakaman masing-masing secara percuma bagi menjayakan konsert. 


Antara yang terlibat adalah Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang membawakan artis-artis UNIC, Inteam manakala  Ustazah Farhatul Fairuzah dari Syria Care menampilkan Furqan Fawwaz dan ramai lagi.


“Jualan tiket bermula pada 6 Disember 2023 dan boleh didapatkan menerusi laman web MyTicket Asia,” ujar Dr. Fitri sekali gus  berharap agar ramai yang akan memberikan sokongan kepada kerja amal ini demi membantu rakyat Palestin.



Sementara itu, Nadir Al-Nuri dalam ucapan ringkasnya memaklumkan sejumlah rumah yang rosak di Gaza melebihi  300,000 dan setekat ini persatuan meletakkan sasaran baharu kutipan sebanyak RM60juta.


"Setekat ini kami telah berjaya memperoleh RM50 juta tetapi sebenarnya walau pun nampak sumbangan itu besar namun belum mencukupi memandangkan sebuah rumah separa musnah memerlukan kira-kira RM20,000 untuk dibaiki di mana  RM40juta contohnya hanya mampu membaiki kira-kira 2,000 buah rumah sahaja untuk membangunkan semula Gaza," ujar Nadir sambil berharap peperangan dapat ditamatkan bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.


Jadi, jika anda mahu menjadi sebahagian daripada penderma untuk rakyat Palestin apa kata bersama-sama hadir dan memberikan sokongan terhadap konsert Mega Zikir Terapi ini pada 5 Januari tahun depan sebagai pembuka tirai dan amal kebajikan diri sendiri. pada tahun baharu 2024. 



#KonsertMegaZikirTerapi #IstanaBudaya #PersatuanCintaGazaMalaysia #UNIC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan