SAKSIKAN BINTANG RTM TOP 16 HARI NI DI TV2!
SEBUT sahaja Bintang RTM, sudah pasti kita akan membayangkan wajah penyanyi-penyanyi tersohor dan evergreen seperti Dato Jamal Abdillah, Allahyarham Dato Sudirman Hj Arshad, Allahyarham Rohana Jalil, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Berbanding dengan program pertandingan realiti nyanyian sekarang ini, Bintang RTM boleh dikategorikan sebagai yang terbaik apabila melahirkan ramai ‘bintang-bintang’ bersuara hebat dan mantap sehingga kekal evergreen.
Malah sebagai pelopor kepada program pertandingan mencungkil bakat baru, Bintang RTM pernah terhenti beberapa ketika iaitu paling lama selepas tahun 1987 selama 11 tahun apabila diambil alih oleh beberapa pertandingan lain seperti ‘Bintang HMI’, "Suara 90'an", "Golden Teen Search", "Bintang Gala 2", dan "Teen Star".
Penyanyi tersohor, Dato Seri SIti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Datin Alyah, Liza Hanim dan ramai lagi adalah alumni yang lahir daripada program terbitan RTM sehinggalah Bintang RTM bersambung kembali pada tahun 1999 tetapi kemudiannya beberapa kali juga terhenti.
Terkini, selepas kali terakhirnya Bintang RTM bersiaran pada tahun 2018, ia kembali 'bernafas' di mana selama dua hari bermula hari ini (30 Disember) dan esok (31 Disember) akan menyaksikan 16 peserta berjaya meloloskan diri dalam “Bintang RTM Top 16” bermula pukul 5 petang di TV2.
Mereka terdiri daripada tujuh peserta lelaki dan sembilan finalis wanita yang mewakili zon masing-masing malah persembahan sengit dijanjikan peserta dari Pulau Pinang iaitu Akma Natasha, 24 tahun; Nuhammad Zulfeka (Feka), 22, Kuala Lumpur; Nurul Maimanah (Nana), 17 tahun, Melaka; Mohd Azumi Shazani (Azumi), 25, Kedah; Siti Erinshahira (Erin Shahira), 20, Melaka; Sharifah Nurilmuhayati (Nuril), 25, Kuala Lumpur dan Muhammad Hadi Hafsham (Hady Huv), 20, Kuala Lumpur.
Saingan turut diberikan peserta dari Kuching, Sarawak iaitu Muhammad Harris Mukhriz (Harris), 19; Muhammad Shahrezza (Shah Rezza), 21, dan Roziena Ixzy (Roxy Ixzy), 25. Manakala seorang lagi peserta iaitu Elliza Suezina (Liz), 24, dari Bau, Sarawak.
Peserta paling ramai berasal dari Sabah iaitu Mohd Enrien Syah (Jon), 23, Semporna; Dayang Irsyadhania (Dhania), 15, Papar; Mohammad Said Suhazrie (Joy), 20, Sandakan; Eylia Eyre Guntabid (Eylia Guntabid), 21, Penampang dan Nur Shahirah (Noy), 22, dari Kota Marudu.
Pencarian finalis bermula dengan uji bakat mega yang berlangsung di seluruh negara secara dua peringkat iaitu uji bakat on-line (Julai hingga September 2023) dan uji bakat di lokasi (Ogos hingga September 2023).
Bermula dari Zon Utara di Pulau Pinang (5 dan 6 Ogos), Zon Selatan di Johor Bahru (18 hingga 20 Ogos), Zon Pantai Timur di Kuantan (26 dan 27 Ogos), Sabah di Kota Kinabalu (2 dan 3 September), Sarawak di Kuching (9 dan 10 September) dan lokasi terakhir melibatkan Zon Tengah yang diadakan di Kota Media Angkasapuri pada 23 dan 24 September lalu.
Finalis yang tepilih merupakan antara 30 peserta yang melepasi uji bakat mega bagi melayakkan diri meletakkan posisi masing-masing bergelar Top 16.
Memilih peserta yang memiliki ciri-ciri seperti kekuatan vokal yang mantap, mempunyai aura, penampilan dan personaliti bintang, Bintang RTM mengekalkan mekanisme pemilihan 80 peratus vokal dan selebihnya 20 peratus persembahan.
Siapa agaknya yang berjaya ke pentas utama Bintang RTM 2024?
Nantikannya di TV2 hari ini dan esok jam 5 petang ya.
Juga boleh ditonton menerusi penstriman langsung RTMKlik atau klik sahaja Di SINI manakala setiap perkembangan dan info terkini boleh diikuti menerusi NASIONALfm yang juga merupakan radio rasmi BRTM 2024.
#BintangRTM #Top16 #SitiNurhaliza #JamalAbdillah #DayangNurfaizah #Nyanyian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan