Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'ABANG ADIK' CIPTA SEJARAH KUTIPAN RM5.2 JUTA DI AWAL TAHUN 2024!



PERTAMA
kali menonton filem Cina berjudul Melayu ‘Abang Adik’ dengan pelakon utamanya pula dari Hong Kong, Kak Fas dah dapat rasakan ia akan memecah box office waima tayangannya di Taiwan telah mencecah RM13.5 juta.


Walau pun masih rendah daripada angka yang diperoleh di Taiwan, namun di Malaysia dalam tempoh lebih dari 16 hari tayangannya telah berjaya mengutip RM5.2 juta, satu angka yang mendahului kutipan filem tempatan di awal tahun.


Menurut pengarahnya berasal Taiping, Perak, Jin Ong,  ‘Abang Adik’ masih lagi ditayangkan di pawagam, jadi Kak Fas rasa tidak mustahil angka pendapatan itu akan bertambah hari demi hari selagi ia masih belum ditamatkan.


“Kami sangat berbesar hati untuk berkongsi keterujaan dengan kutipan sebanyak RM13.5 juta yang diperoleh Abang Adik di Taiwan sekaligus menjadi filem pertama Malaysia yang memegang rekod tersebut.


“Lebih membahagiakan kerana kejayaan dan sejarah yang dicipta di Taiwan telah berjaya dikekalkan sehingga ke Malaysia, “ ujar Jin Ong pada majlis sidang media meraikan kejayaan filem ‘Abang Adik’ di GSC Lalaport baru-baru ini.



Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi & Digital, Teo Nie ChingPengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta barisan pelakonnya, Wu Kang Ren dari Taiwan, Jack Tan, Tan Kim Wang, April Chan dan Ryota selaku Pengarah Muzik filem tersebut.


Jelas Jin Ong seterusnya, pencapaian yang diperoleh di Malaysia menjadi pembuka tahun 2024 yang sangat manis buat seluruh produksi filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co Ltd dan edaran MM2 Entertainment ini.


'Abang Adik'  yang menelan belanja sekitar RM3.8 juta itu  menjadi naskhah tempatan yang berada di kedudukan pertama sepanjang tempoh tiga minggu tayangan. 


Tidak hanya itu, dalam tempoh 16 hari tayangan, 'Abang Adik' berjaya mengutip RM4 juta yang menjadi rekod sebagai filem tempatan paling banyak ditonton.



Mengangkat kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan Wu Kang Ren, 'Abang Adik' tidak memerlukan lebih daripada keaslian dan keunikan naratifnya untuk dijulang dalam pelbagai festival filem dan anugerah di seluruh dunia.


'Abang Adik' juga telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton apabila menyifatkan naskhah ini sebagai paling asli, mengangkat realiti kehidupan, tidak klise malah tidak sedikit yang mengaku gagal menahan emosi termasuk mengalirkan air mata sepanjang menonton filem ini.


Respons-respons positif yang diciapkan dalam platform media sosial bukan hanya ‘tin kosong’ dan ia terbukti daripada kutipan tiket luar biasa yang diraih sepanjang ditayangkan.


“Kejayaan Abang Adik tidak akan berhasil tanpa kerja keras, toleransi, bakat-bakat besar yang bergabung dalam filem ini dan tentu sekali dengan sokongan luar biasa penonton yang hadir ke pawagam dan menonton naskhah ini.


“Kami juga sangat berterima kasih dan terharu dengan respons serta komen-komen positif dan publisiti percuma menerusi reviu serta perkongsian dan gesaan kepada semua yang belum pernah menonton Abang Adik untuk datang ke pawagam dan menontonnya,” tambah Jin Ong.



Beliau seterusnya berharap, dengan perolehan yang cukup memberangsangkan ini penonton akan terus menyokong pembikinan filem Malaysia yang lain, semoga filem Malaysia terus bersemarak dan membuka mata dunia tentang kehebatan karyawan seni tempatan.


Untuk rekod, sepanjang ditayangkan di festival-festival di luar negara, 'Abang Adik' juga telah menerima pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April 2023.


Naskhah ini malah berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dra Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik. 


Kang Ren juga dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.



'Abang Adik' mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur iaitu di persekitaran Pudu, kawasan yang terkenal dengan pasar basah.


Latar filem di kawasan yang kurang dikenali itu menambahkan keaslian dan keunikan naratifnya, menjadikannya satu naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.



Menariknya, bagi menjiwai watak seorang lelaki bisu yang tinggal tanpa dokumen di Kuala Lumpur,  Kang Ru mengambil masa lebih sebulan bergaul dengan peniaga-peniaga di pasar Pudu malah setiap hari beliau akan bermandikan matahari bagi menggelapkan kulitnya agar nampak seperti warga tempatan.


“Iya saya terpaksa kuruskan badan dan setiap hari berjemur di bawah cahaya matahari agar dapat gelapkan kulit sedikit seperti warga tempatan,” ujar Kang Ru yang kini nampak lebih berisi daripada penampilannya sebagai ‘Abang’ yang berkorban demi adiknya walau pun sekadar adik angkat dan bukan adik kandung,


Memang terbaik filem ini… apa pun tidak akan ada sekuel ‘Abang Adik’  sebab pengakhiran ceritanya sudah tentulah abang bakal menerima hukuman gantung kerana membunuh walau pun tidak sengaja…


Sedih kan apabila tiada bukti yang dapat menyokong dia sebenarnya bukan ada niat hendak membunuh apatah lagi bila bisu tetapi apa kan daya kan?


Sebenarnya jia nak boleh sahaja disambung filem ini dengan satu plot twist lain ya tak?


Apa pun kata pengarahnya, “Tiada sambungan”. TItik!


Baca artikel berkaitan di LINK INI.


Kak Fas: Makan telor rebus teringat 'Abang Adik'.



#Filem #AbangAdik #WuKangRu #JackTan #JuiOng #Pudu #Taiwan #Taiping #fyp


Tiada ulasan:

Catat Ulasan