WAN AZIZAH SERU BANTU RINGAN BEBAN RAKYAT MISKIN, OKU
SELARAS dengan konsep Malaysia Madani yang memberi fokus terhadap pembasmian kemiskinan di kalangan golongan miskin dan daif, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) meneruskan langkah awalnya di tahun baharu dengan melaksanakan program bantuan di bawah Tabung Kebajikan & Pelajaran YWP.
Mengenal pasti salah seorang golongan kurang upaya (OKU), Nor Aliff b Mohd Nor sebagai penerimanya, beliau mendapat perhatian Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Wan Azizah yang sempat berkunjung ke rumahnya untuk menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai sekaligus terlibat menjalankan aktiviti gotong-royong membersihakan kediaman Nor Aliff.
“Selain bantuan sedikit wang ringgit daripada tabung YWP, sebuah katil dan juga rawatan di hospital, Nor Aliff juga akan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 mulai bulan ini,” ujar Wan Azizah ketika ditemui pada program Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas YWP dan sesi Gotong-Royong di rumah Nor Aliff di PA Flat Seri Johor, Taman Ikan Emas. Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Bersama beliau adalah Datuk Azman Haji Abidin, Setiausaha Poltik kepada Perdana Menteri; Datuk Rizalman bin Mokhtar, Setiausaha Politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan); para Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Hajah Rohani Hussin serta Timbalan Pengurus Besar, Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategi & IT, Datin Dr. Ida Harlina; Pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal dan Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak.
Menurut Wan Azizah, penerima Nor Alif yang menetap bersama 2 adik beradik lain setelah kematian ibu bapa mereka, turut menghidap beberapa penyakit kronik seperti jantung, strok dan gaut.
“Kita sangat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan serta menoktahkan kemiskinan bandar seperti hasrat Perdana Menteri,” ujar Wan Azizah yang turut menekankan konsep “Kebersihan Asas Keimanan”.
Sehubungan itu, beliau tidak ketinggalan menyokong aktiviti gotong-royong yang dilakukan sukarelawan di bawah YWP dan Persatuan Penduduk bagi membersihkan kediaman Nor Alif.
“Apabila kita mempunyai ruang bersih, fikiran kita akan lebih tenang dan dapat memikirkan cara-cara menjalani hidupan dengan lebih baik,” sambung Wan Azizah yang dalam perkembangan lain turut menyantuni penjual dan pengunjung di Pasar Sungei Besi, Pasar Pagi Alam Damai dan Pasar Pagi Jalan Jujur disamping mengedarkan kalendar 2024 sebanyak 500 keping kepada masyarakat sekeliling.
WAN Azizah menyantuni para penduduk Bandar Tun Razak ketika berkunjung ke Pasar Pagi Alam Damai, Kuala Lumpur pagi tadi. |
“Selari dengan objektif tersebut, kami mengalu-alukan sumbangan wang ringgit untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang amat memerlukan bantuan melalui Tabung Kebajikan & Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan,” ujar Rohani (gambar bawah, dua dari kiri).
Untuk maklumat , YWP menyediakan platform atas talian bagi membolehkan penyumbang memberikan sumbangan secara online dan bantuan tersebut dihantar terus kepada penerima yang dipilih.
“Tujuannya adalah untuk memudahkan orang ramai meneruskan amalan mulia meskipun tidak dapat berkumpul bersama para penerima sumbangan pada majlis-majlis tertentu anjuran YWP,” sambung Dr. Ida (gambar bawah, tengah) mengakhiri bicara.
#WanAzizah #YayasanWilayahPersekutuan #TabungKejabijakan&Pelajaran #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan