DPUM RAI ANAK YATIM, ASNAF & IBU TUNGGAL, SUMBANG DUIT RAYA, MAKANAN!
DEWAN Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) menyantuni kira-kira 150 golongan asnaf termasuk anak-anak yatim, tahfiz dan ibu tunggal pada majlis Iftar DPUM 2024 bertempat di Menara Arena Uniti, Kpg Baru, Kuala Lumpur, petang semalam.
Majlis kali ke-15 yang dianjurkan sempena bulan Ramadan bukan sahaja bagi meraikan golongan terbabit tetapi menyediakan peluang kepada ahli-ahli usahawan DPUM infaq kembali rezeki yang diperoleh kepada mereka sebagai persediaan menyambut Hari Raya.
“Apabila ahli-ahli berjaya kita sumbangkan kembali kepada masyarakat khususnya golongan tidak berkemampuan dan ini antara aktiviti tahunan kami malah pada bulan Syawal pun insyaAllah kami akan adakan majlis jamuan Raya,” ujar Presiden DPUM, Dato Seri Abu Hassan Mohd Nor ketika ditemui.
Turut hadir Ustaz Hj Omar dari Tahfiz Maahad Hidayatul Ummah (Mahun) dan Setiausaha DPUM, Datin Seri Norliah serta anak-anak yatim/ tahfiz dari Maahad Hidayatul Ummah & Tahfizal Quran Syazwan serta kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Taman Permata dan Taman Samudera manakala 10 ibu tunggal yang diraikan adalah daripada Rumah Rahoma.
“Tahun ini walau pun keadaan ekonomi tidak stabil dan perniagaan ahli usahawan juga terjejas kami tetap teruskan aktiviti tahunan seperti sumbangan menjelang Raya dengan memberikan duit raya serta cenderahati kepada golongan asnaf,” jelas Abu Hassan yang memperuntukkan lebih kurang RM2,000 sebagai pemberian duit raya dan makanan bagi anak-anak dan ibu tunggal yang diraikan.
Menurutnya ekonomi yang masih belum stabil tidak menghalang ahli-ahli DPUM tampil melunaskan tanggungjawab mereka membantu golongan tidak berkemampuan walau pun sedikit.
Majlis yang berlangsung sederhana tetapi meriah menyaksikan kira-kira 200 tetamu yang hadir turut diperdengarkan ucapan tazkirah agama dari Ustaz Omar mengenai wajibnya berpuasa serta kebaikan yang diperoleh daripadanya.
Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, Isyak dan Solat Tarawih, majlis berakhir dengan acara Moreh sehingga selesai kira-kira jam 9.30 malam.
“Diharap sumbangan kecil daripada DPUM akan membahagiakan anak-anak dan ibu tunggal yang diraikan hari ini semoga sambutan Hari Raya mereka yang menjelang tiba nanti dapat disambut meriah dalam kesederhanaan,” akhiri Abu Hasan dalam nada yang membayangkan kepuasan DPUM masih dapat menganjurkan majlis amal di bulan Ramadan dan seterusnya pada bulan Syawal kelak.
Kak Fas: Sepanjang mengikuti setiap aktiviti dan perjalanan DPUM, Kak Fas yakin DPUM di bawah pimpinan Dato Seri Abu Hasan sejak penubuhannya 15 tahun lalu tidak mengenali erti putus asa atau penat lelah dalam membantu lebih kurang 10,000 ahli-ahlinya termasul golongan artis, terus mengorak langkah ke arah kejayaan baik di dalam negara mahu pun secara global, semuanya atas bantuan DPUM dan kepimpinannya yang berkaliber.
Sehubungan itu setiap ahli DPUM perlu sentiasa memberikan sokongan padu agar pertubuhan dapat berdiri teguh walaupun tanpa sebarang bantuan tetap daripada mana-mana pihak Kerajaan waima DPUM bergerak atas initiatif sendiri mencari dana sepanjang penunuhannya.
Syabas!
#DPUM #Usahawan #Perniagaan #IftarDPUM2024 #MenaraArenaUnitiKpgBaru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan