Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SAMBUTAN MALAM AMAL THE LEGENDS DI LUAR JANGKAAN, RAIH DANA MELEBIHI SASARAN!


MALAM yang penuh nostalgia… malam yang menggamit memori indah samada manis atau mungkin pahit.. semua nya terbayang kala dibuai lagu-lagu malar segar daripada artis-artis lagenda seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie mahu pun pelantun ‘Gadis dan Bunga’ dari Singapura, Rahimah Rahim.


Itulah gambaran yang dapat Kak Fas simpulkan kala hadir dan menikmati jamuan makan malam amal konsert The Legends yang berlangsung di Dewan Perdana Felda malam Ahad, 2 Jun lalu.


Lebih membanggakan apabila malam amal anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berjaya mencapai sasarannya mengumpul dana lebih daripada yang dijangkakan apabila 100 meja ‘sold out’.


“Saya amat berterima kasih atas sokongan semua yang cukup hebat dan di luar jangkaan,” ujar Freddie sambil menganggarkan kutipan pada malam tersebut mampu melebihi RM100,000 apatah lagi apabila tetamu kehurmatnya, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Hj Mohd Ali Rustam menambahkan sumbangan bernilai RM10,000 sebelum konsert berakhir iaitu selepas artis terakhir yang membuat persembahan Awie, dalam guraunya bertanya apakah ada yang mahu menyumbang RM10k untuk lagunya.


Gurauan itu tidak disangka disambut oleh Mohd Ali Rustam yang mengumumkan sumbangan RM10,000, disuarakan melalui pengacara majlis, Helmi The Gimmick, kemudiannya  disusuli tepukan gemurah hadirin.


Jadi tidak sia sia Awie membuat ‘pertaruhan’ dalam gurauannya itu kan?


Majlis turut menyaksikan seramai lima orang artis veteran menerima sumbangan daripada KARYAWAN yang disampaikan oleh Tun sambil disaksikan bersama oleh

Datuk Bandar Petaling Jaya,  Mohamad Zahri Samingon dan  Pengarah Eksekutif Vit Makanan (KL) Sdn Bhd, YT Lai yang merupakan penaja utama dengan sumbangan RM50,000.


Lima artis terbabit adalah penyanyi Zaiton Sameon, Pelakon Mak Jah, Pelawak Isma Aliff, Komposer Ross Ariffin dan anak Allahyarham Seniman Agong Tan Sr. P. Ramlee iaitu Sazali P. Ramlee.


DR. Mohd Ali Rustam menerima cenderahati berupa lukisan karikatur wajahnya oleh Imuda, daripada Khadijah sambil ditemani Freddie Fernandez (dua dari kiri, belakang), Mohamad Zahri (kanan), YT Lai (dua dari kanan, berdiri)  dan penerima sumbangan artis-artis veteran yang memerlukan antaranya Isma Aliff (berkerusi roda, kanan) dan Sazali P. Ramlee (tiga dari kiri). FOTO kredit: Bernama 


Selain Awie, persembahan Konsert amal The Legends yang menampilkan Khadijah Ibrahim serta Papa Rock, Ramli Sarip dan Rahimah Rahim dari Singapura memang tidak menghampakan.


Sebagai orang kuat dalam menjayakan konsert demi membantu Karyawan mengisi Tabung bantuan bagi membantu penggiat seni veteran yang berhadapan dengan kesulitan hidup, termasuk uzur dan hilang upaya, Khadijah Ibrahim mencuri sebahagian besar daripada masa yang diperuntukkan. 


Berbanding rakan artis lainnya, Khadijah yang membuka tirai persembahan menghiburkan penonton dengan gayanya yang spontan serta mesra selama lebih kurang 45 minit sebelum diambil alih oleh Rahimah Rahim, Ramli Sarip dan Awie yang menutup tirai persembahan melalui  empat  buah lagu seperti Layang-Layang Terputus Talinya, Sejati, Di Penjara Janji dan disudahi dengan lagu popularnyya ‘Terima Kasih’.


Judul lagu tersebut yang dinyanyikan Awie pada akhir Malam Amal Konsert The Legends memang sesuai dan kena  sebagai membayangkan tanda penghargaan ‘terima kasih’ kepada para penaja dan tetamu-tetamu yang hadir.


Tentulah yang paling lega, KARYAWAN apabila hasrat murni mereka untuk membantu ahli-ahli di kalangan anak seni dapat terus dijayakan.



"Ini adalah konsert pertama Karyawan sejak penularan COVID-19 melanda negara, Dengan barisan penyanyi mantap seperti malam ini tidak syak lagi ia  menyebabkan ramai hadir menunjukkan sokongan, memastikan nasib penggiat seni dapat dibela," kata Freddie terharu.


Selain hasil jualan meja, kutipan juga dikumpul menerusi pembelian produk terbaharu di bawah jenama mi segera tempatan Vit's, iaitu Ramen Asam Laksa yang dilancarkan bersempena dengan konsert amal itu,  hasil kolaborasi dengan Khadijah.


Apa pun persembahan pada konsert malam amal memang terbaik apabila dibuai lagu-lagu lama seperti antaranya Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Potret Kasih, Ku Gembira di Sampingmu dan Ku Pendam Sebuah Duka nyanyian Khadijah.


Kelincahannya dipentas dalam usia 65 tahun membuktikan aura Khadijah masih unggul dan diterima bukan sahaja di kalangan orang lama tetapi generasi baharu malah gabungannya dengan cucu P. Ramlee, Najua Nasir menyampaikan lagu Seniman Agung toknya, ‘Getaran Jiwa’ dengan susunan baharu terus menambat jiwa pendengar.


Disusuli dengan penampilan rakan seperjuangannya, Rahimah Rahim menambahkan lagi emosi semua yang membesar dengan lagu-lagu popularnya sehingga ramai yang ikut serta menyanyikan lagu popularnya, ‘Gadis dan Bunga’ selepas menyampaikan lagu 'Cabaran Cinta' dan 'Semanis Gula'.


Selain itu, gabunggan Ramli Sarip menyampaikan lagu ‘Doa Buat Kekasih’ dengan Khadijah selepas selesai menyanyikan lagu solonya ‘Bukan Kerna Nama’, ‘Perjalanan Hidup’  dan 'Teratai' terus memukau penonton.


Sebelum berakhir menuju detik 12 malam, kemunculan Awie sudah tentu dinanti-nantikan ramai.


Dengan gaya dan gurauan sendanya yang mencuit hati, Malam Jamuan Amal The Legends meninggalkan kenangan tersendiri. Pendek kata, perut kenyang dan hati pun senang dengan pengisian aturcara yang turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi undangan lain seperti Harry Kool, Norshiela Amin dan plantun laguHi Hi, Bye Bye’, Ezlynn. Turut memperdengarkan bakat nyanyiannya adalah Syasya, anak kepada Datin Haslina Ismail (gambar bawah, tudung biru air) dari syarikat Iscada Net Sdn Bhd yang turut menaja RM10,000.



Mungkin kah ini bukan ‘bye bye’ yang terakhir dari KARYAWAN waima Tabung mereka sentiasa memerlukan dana untuk terus membantu artis-artis tersedia yang memerlukan? 


Semoga ada lagi “Hi Hi’ tanpa penghujung melalui beberapa lagi konsert amal. Tak begitu Freddie?


Kak Fas: Percaya Freddie bijak mengatur langkah selagi beliau bergelar Presiden KARYAWAN demi kelangsungan hiduo ahli-ahlinya.



#MalamAmalTheLegends #Konsert #PenyanyiLagenda #Muzik  #Karyawan #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan