AITEX 2024 LEBIH MELUAS, 10 NEGARA SAH SERTAI MULAI 23-26 OGOS!
JIKA tahun lalu, AITEX 2023 diistilah sebagai Asia Hajj, Umrah & Islamic Tourism Conference & Exhibition, ia kini berubah sebagai akronim kepada Asia Islamic Tourism & Trade Expo (Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Asia).
Anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), AITEX 2024 bakal membawa skop yang lebih luas terhadap industri pelancongan Islam dengan lebih ramai penyertaan melibatkan 10 negara berbanding hanya 3 negara tahun lalu, sekali gus memberikan peluang unik untuk pengunjung menerokai kekayaan budaya dan ekonomi dari rantau-rantau terlibat,
Antara yang sudah mengesahkan penyertaan mereka adalah Tajikistan, Uzbekistan, Zambia, Thailand, Indonesia, Iraq, Arab Saudi, Turki, China dan ramai lagi manakala dua pavilion dari Malaysia akan disertai antaranya oleh pemamer dari Langkawi, Pahang, Perlis, Brunei, China, Batik Air mahu pun Inap Desa Selangor.
“Setekat ini 95% ruang pameran dengan keluasan meliputi lebih daripda 3,000 meter persegi telah di penuhi namun masih lagi ada kekosongan untuk mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai AITEX 2024,” ujar Timbalan Presiden MATA merangkap Pengerusi Penganjur, Dato Jeffri Sulaiman pada majlis pra pelancaran AITEX 2024 di restoran arab, Yahala di Jalan Ampang baru-baru ini.
DARI kiri: Waleed, Nazli, Dr. Mohd Khalid, Jeffri, Dr. Izyan dan Jalil. |
Turut bersama Presiden MATA selaku Pengerusi AITEX, Dato' Dr. Mohd Khalid Harun; Setiausahanya, Dr. Izyan Diyana Mohd Khalid; Pengarah Protokol, Hal Ehwal Diplomatik dan Jualan F & B Sunway City Kuala Lumpur Hotels, Encik Nazli Ahmad serta pemilik Restoran Yahala, Encik Waleed dan Pengurusnya, Encik Jalil yang menaja lokasi sidang media.
Bersama mereka, adalah team pemasaran MATA antaranya Ahmad Jafri Ngah Ali (gambar bawah, dua dari kiri) yang bertindak sebagai pengacara majlis.
Selain ekspo AITEX 2024 yang akan berlangsung dari 23-26 Ogos 2024, di Sunway Resort Hotel bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam, ia turut diiringi dengan dua lagi acara penting iaitu Malam Anugerah Pelancongan Islam Dunia dan Sidang Kemuncak Menteri/CEO serta Pelaburan Pelancongan Asia.
Menurut Jeffri, bertemakan "Merangkul Kepelbagaian: Janji dan Potensi Pelancongan Islam" persidangan terbabit akan menampilkan 15 penceramah terkenal selama dua hari (23-24 Ogos 2024), yang akan berkongsi pandangan dan kepakaran mereka mengenai lanskap pelancongan Islam yang berkembang.
“Pada keesokannya (25 Ogos) sidang kemuncak ini akan mengumpulkan menteri-menteri dan CEO terkemuka untuk membincangkan dan menerokai peluang pelaburan kritikal dalam sektor pelancongan di Asia, menjadikannya forum penting untuk membentuk masa depan pelancongan di rantau ini,” tambah Jefri.
Sementara itu, berkongsi mengenai acara pada malam kemuncak AITEX 2024, Dr. Izyan memaklumkam ‘World Islamic Tourism Awards’ diadakan bertujuan meraikan kecermerlangan dan inovasi dalam pelancongan Islam dengan mengiktiraf pencapaian dan sumbangam individu dan organisasi yang telah memberikan impak yang signifikan kepada industri.
“Sebanyak 30 kategori anugerah dalam pelbagai bidang disediakan termasuk Anugerah Khas seperti ‘Global Islamic Leader Award’ yang diterima tahun lepas oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujar Dr. Izyan selaku Pengerusi majlis malam anugerah tersebut yang bakal berlangsung pada 26 Ogos 2024 di Sunway Resort Hotel.
Antara 30 kategori anugerah yang bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang dalam pelbagai sektor termasuk Destinasi Pelancongan Islam Terbaik, Hotel/Resort Islam Terbaik, Inovasi dalam Pelancongan Islam, Pengalaman Kulinari Halal Terbaik, dan Sumbangan Cemerlang kepada Pelancongan Islam dan lain-lain.
Bagi mereka yang ingin bersama memeriahkan malam anugerah boleh menempah meja daripada empat kategori harga iaitu Premium (RM30,000, bersebelahan meja VIP); Platinum (RM20,000); Diamond (RM15,000) dan Gold berharga RM10,000.
“Sudah tentu malam tersebut akan diserikan dengan persembahan nyanyian artis terkenal yang akan kami umumkan kelak malah pengunjung ke ekspo juga berpeluang membawa pulang hadiah dalam cabutan bertuah dan sebagainya,” sambung Dr. Mohd Khalid yang melahirkan rasa teruja MATA dapat terus menganjurkan AITEX 2024 bagi musim kedua.
Jelasnya, AITEX 2024 memberi peluang unik untuk meraikan dan memajukan sektor pelancongan dan perdagangan Islam, memupuk pemahaman, kerjasama, dan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.
“Kami menantikan kedatangan peserta dan tetamu dari seluruh dunia ke acara yang penting ini," akhiri beliau.
Untuk maklumat lanjut boleh layari lamam rasmi www.aitex.my atau hubungi Sekretariat Ekspo di talian 016 261802. Lebih mudah klik DI SINI.
#EkspoAITEX2024 #PelanconganIslam #WorldIslamicTourismAwards #MATA #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan