Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'JANGAN PANDANG BELAKANG 2...' SASAR 'BOX OFFICE', RANCANG TAYANGAN DI 12 NEGARA!!



Penerbit Metrowealth (MIG), Mejar (k) David Teo mensasarkan kutipan melebihi RM30 juta berbanding RM7.4 juta yang diperoleh 17 tahun lalu bagi filem sekuel “Jangan Pandang Belakang 2 - Aku Tahu Asal Usul Mu’  (JPB2) yang bakal ditayangkan bermula 21 November 2024 depan.


“Berbanding harga tiket dahulu dan sekarang saya percaya ‘Jangan Pandang Belakang 2..." akan meraih pungutan lebih tinggi apatah lagi  MIG sedang berusaha untuk menayangkan filem ini di 12 buah negara berbanding 6 negara ketika filem itu ditayangkan pada 2007,” ujar David pada majlis pelancaran treler rasmi serta OST ’Jangan Pandang Belakang 2’  oleh Kumpulan Hyper Act yang turut dihadiri dua anggotanya, Toi dan Firman, bertempat di GSC The Starling Mall baru-baru ini.


Menurut David, lima buah negara luar yang dapat ditembusi dahulu merangkumi Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.



"Kini saya sedang berusaha untuk membawa 'JPB2' ke 12 buah negara termasuk Kemboja, Turki dan beberapa lagi negara sekitar Arab Saudi," tambah David penuh yakin.


Sekuel ‘JPB2' kali ini bukan lagi diarahkan oleh Dr. Ahmad Idham tetapi diambil alih pelakon utamanya, Pierre Andre setelah mendapat kepercayaan dan tawaran dari David walau pun sudah menyepi selama 10 tahun dalam radar industri seni dan hiburan.


“Memang saya dah lama tidak berada dalam industri tetapi fokus kepada keluarga dan perniagaan bersama isteri tetapi mengenangkan jasa bos (David) yang telah memperkenalkan saya ke dalam industri ketika usia 21 tahun, saya terima tawarannya untuk menjadi pengarah filem JPB2 walau pun saya tidak terlibat dari segi skripnya.” ujar Pierre Andre terhadap tawaran yang diterima sebagai pengarah.



Pierre atau nama sebenarnya, Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 39,  berkata, selama menyepi beliau terputus dengan dunia perfileman apatah lagi tidak menggunakan telefon bimbit atau mempunyai akaun media sosial demi mencari ketenangan.


“Sesiapa yang mahu menghubungi saya hanya melalui isteri, Siti Nur Hidayah Hashim. Telefon bimbit memberi saya tekanan.” tambah Pierre yang kini mempunya dua cahaya mata,  Aishah Andre, 8, dan Zehra Andre, berusia 2 tahun sejak berkahwin pada 2013.


Beliau akui penampilannya semula dalam industri dengan menggalas tugas sebagai pengarah dalam tempoh 10 tahun meninggalkan tugasan itu, bukan mudah.



“Memang mencabar apatah lagi untuk mengekalkan tempo dan kejayaan filem pertama ‘Jangan Pandang Belakang’ waima skrip filem ini bukannya datang dari diri saya sendiri sebab selalunya saya lebih suka jika skripnya saya sendiri yang tulis.


“Pun begitu, atas kepercayaan yang diberi saya akan memberikan satu elemen kelainan pada filem ini kali ini agar penonton dapat impak yang lebih menyeramkan,” yakin Pierre sambil memaklumkan akan kekal dengan filem bergenre seram dengan keazaman  menjadi ‘King of Horror’.


Sebelum ini ketika menyepi Pierre khabarnya telah menolak tujuh buah filem sehinggalah ‘JPB2’ beliau terbuka hati untuk menunaikan permintaan David yang dianggap seperti ‘bapanya’ sendiri.


DARI Kiri: Pierre, Mawar dan David Teo.


JPB2’ turut mengekalkan ibunya, Khatijah Tan serta Ruminah Sidek  dan Cat Farish dengan barisan pelakon baharu seperti Iedil Dzuhrie Alaudin digandingkan dengan Emma Maembong sekali gus mengembalikan juga pelakon yang sudah dua tahun  meninggalkan bidang lakonan iaitu Mawar Rashid.


Mawar Rashid atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, kembali ke layar perak selepas kali terakhir melalui filem Bu, Kasih Suci pada tahun 2019 manakala drama dan telefilem lakonan terakhirnya adalah pada tahun 2022.


“Mula-mula rasa risau juga takut tak dapat membawa watak yang diberikan tetapi dengan bimbingan pengarah dan kata semangat penerbit saya cuba,” ujar Mawar.


Apa pun, Pierre mahu pun David memuji lakonan Mawar yang memberikan 

komitmen dan lakonan yang baik selepas 'comeback'.



Sementara itu berkongsi pengalaman Hyper Act yang pertama kali menghasilkan sebuah lagu untuk genre seram memaklumkan pernah mengalami saat misteri ketika membuat rakaman di studio.


"Belum sempat saya menyanyi part korus, saya terdengar satu suara lelaki yang menyanyi satu baris lirik terlebih dahulu," cerita Firman (kanan).



Tidak pasti suara siapa beliau terpaksa tangguhkan rakaman disebabkan suara misteri itu yang menganggu konsentrasinya.


Wah! Itulah penangan menjalani sebuah filem seram waima pengarahnya sendiri yang akui mampu melihat kelibat sesuatu membuatkan judul 'Jangan Pandang Belakang' tercetus.


'Saya masih ingat ketika memandu kereta saya ternampak kelibat seseorang di belakang kerusi yang berambut panjang sehingga saya berkata kepada Mr. David yang berada di sebelah agar 'jangan pandang belakang'..." akhiri Pierre.




#JanganPandangBelakang2AkuTahuAsalUsulMu #MIG #PierreAndre #Filem #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan