GMBB MERCU KREATIVITI KUALA LUMPUR KINI DIBUKA!
PUSAT Beli-belah Komuniti Kreatif GMBB, yang suatu ketika dahulu dibayangkan sebagai pusat borong fesyen kini berubah menjadi hab kreatif apabila pengasas-pengasasnya menyedari betapa perlunya wujud ruang kreatif di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, hari ini, GMBB berdiri sebagai sebuah hab unggul yang menempatkan lebih daripada seratus para artis, artisan dan kreatif di sembilan tingkatnya yang berkeluasan kira-kira 110,000 kaki persegi (kawasan sewaan bersih).
Majlis pelancarannya yang bertemakan ‘Dari Sekecil Benih ke Sebesar Rimba’ disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa yang disambut meriah penuh budaya, kepelbagaian, dan semangat kebersamaan Malaysia, baru-baru ini.
Turut memeriahkan pelancarannya di The Grey Box (ruang acara utama GMBB) adalah Ahmad Zul-Qarnain Ibrahim, Pengarah GMBB; Lim Ying Hui, Pengurus Besar GMBB dan Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
“Hari demi hari, saya bersyukur kerana dapat menyaksikan kuasa transformasi kreativiti dan komuniti diperkasakan secara langsung. Bersama, kita membantu memperkembangkan ekosistem kreatif dan budaya Malaysia di mana setiap suara pencipta bersatu dalam memperkayakan budaya kita dan menjalin hubungan bermakna,” ujar Lim Ying Hui.
Mengenang kembali, Lim memberitahu, perubahan yang dilakukan dipengaruhi oleh keterujaan mereka terhadap tempat-tempat seni lain yang berjaya di luar negara, seperti 798 Art Zone di Beijing dan PMQ di Hong Kong dan juga kepentingan ruang fizikal untuk para kreatif, artis, dan artisan tempatan agar dapat berkembang maju di Malaysia.
Seperti benih yang disemai di tanah yang subur, begitu juga peranan GMBB untuk memupuk bakat-bakat tempatan dalam ekosistem dinamik di mana para artis, artisan dan kreatif berlainan latar belakang, bakat dan pengalaman boleh berkumpul, berkolaborasi dan membantu merangsang lagi ekonomi kreatif dan budaya Malaysia.
(Dari Kiri) En Amerrudin Ahmad, Dr. Zaliha Mustafa, Lim Ying Hui dan Ahmad Zul-Qarnain Ibrahim semasa gimik pelancaran di acara pelancaran GMBB.
Walaupun berdepan cabaran awal sebagai pendatang baru dalam lapangan seni, GMBB tetap memulakan perjalanan mereka berlandaskan visi yang utuh (semenjak ia ditubuhkan lagi).
Antara komuniti yang terlibat dalam pembentukan GMBB baharu adalah Five Arts Centre, sebuah kolektif dinamik artis, aktivis dan penerbit Malaysia yang terkenal dengan persembahan yang eksperimental dan bermakna dalam teater, tarian, muzik; Fusion Wayang Kulit, sebuah galeri yang dikendalikan oleh pemenang anugerah yang berdedikasi untuk mengembalikan semula kegemilangan seni tradisional wayang kulit Malaysia melalui budaya pop; Gangsapura, sebuah pusat Gamelan Melayu kontemporari yang bergiat aktif menghidupkan seni muzik tradisional; Museum of Picture Book Art yang mempamerkan 80% buku bergambar tempatan dan beberapa studio artis kelainan upaya.
Selain itu, terdapat juga banyak galeri unik, studio seni dan kafe menarik, siap sedia untuk diterokai di GMBB.
Kekerapan penganjuran pelbagai kreativiti dan pameran pula akan memastikan setiap kunjungan ke GMBB itu dapat memberikan pengalaman baru.
Mengenai hala tuju GMBB, Lim mengakui, "Seiring dengan perjalanan perkembangan kita di GMBB, semangat dan kepelbagaian komuniti disini merupakan aspek yang paling penting kerana ia memberi kesan kepada GMBB bagi mencapai visi untuk memperluaskan lagi komuniti kreatif.
“Fokus kita adalah untuk mengangkat nilai yang dibawa oleh GMBB dalam menawarkan pengalaman pelancongan di Malaysia yang unik serta sumbangan kepada ekonomi kreatif dan budaya tempatan yang sentiasa wujud untuk segenap lapisan masyarakat di Malaysia.”
Tambah beliau, GMBB adalah sebuah tempat di mana semua komuniti boleh berkumpul dan menerokai kemeriahan suasana kreatif dan budaya Malaysia.
GMBB mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri acara dan aktiviti menarik yang berlangsung sepanjang tahun ini meliputi acara seperti di bawah:
Selain daripada acara-acara ini, GMBB sedang giat bekerjasama dengan institusi- institusi tempatan terutamanya Balai Seni Negara dengan penyediaan ruang untuk memberi sokongan kepada artis-artis yang terlibat dalam program Balai Seni Negara.
Pembangunan dan promosi bakat Malaysia kepada dunia adalah fokus utama yang akan terus berkembang untuk tahun-tahun mendatang dan GMBB berhasrat untuk turut serta dan menyumbang kepada percambahan ini.
Menariknya lagi, GMBB juga bekerjasama dengan Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM dan Jabatan Seni Halus, ASWARA dalam menganjurkan pameran akhir tahun pelajar- pelajar mereka.
Kerancakan suasana di GMBB dipertingkatkan lagi melalui kerjasama dengan kolektif pengarkiban Gerimis (yang aktif menerbitkan kandungan berkenaan Orang Asli) serta Borneo Laboratory dan HAUS KCH (yang berpangkalan di Sarawak).
Bagi memantapkan lagi usahasama ini, GMBB secara aktif menyokong inisiatif Think City Creative KL, berkongsi cita-cita untuk mengubah Pusat Bandar Kuala Lumpur menjadi sebuah destinasi yang penuh meriah dengan kreatif dan budaya.
Sementara itu, Dr. Zaliha Mustafa dalam ucapan perasmiannya berpendapat
GMBB telah menampakkan bagaimana kerjasama strategik antara inisiatif Kerajaan dan perusahaan swasta boleh mempertingkatkan suasana budaya Kuala Lumpur dan sektor pelancongan.
“Ia menunjukkan kesan positif dalam memupuk bakat kreatif tempatan dan mewujudkan ruang komuniti yang meriah. GMBB berfungsi sebagai model praktikal untuk inisiatif-inisiatif seumpamanya yang bertujuan memperkaya landskap budaya bandar kita dan menarik para pengunjung yang pelbagai," katanya.
Sepadan dengan slogannya 'More Together', GMBB menekankan kolaborasi dalam merancakan lagi ekosistem seni.
Permulaan sederhana GMBB ini mencerminkan visi yang lebih besar – untuk menjadi titik tumpuan seni kreatif dan budaya Malaysia, serta menggalakkan ekonomi seni kreatif dan budaya yang mampan untuk negara.
“Ini sejajar secara strategiknya dengan matlamat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sendiri – iaitu untuk menyokong pertumbuhan mampan dengan memupuk kreativiti, inovasi dan kepelbagaian budaya yang akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi kreatif dan budaya Malaysia,” akhiri Dr. Zaliha.
Untuk info lanjut, sila layari https://gmbb.com.my/ atau klik LINK INI.
#GMBB #MoreTogether #DariSekecilBenihKeSebesarRimba #HabKreatif #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan