M.NASIR 'CIPTA' SEJARAH TERSENDIRI, RAI HARI JADI 'PM KITA'!
TIGA puluh dua buah lagu dalam masa 3 setengah jam terus menerus oleh seorang penyanyi yang berusia 67 tahun, tanpa berhenti lama sekadar bersalin pakaian sahaja… hebat ke tak?
Hebat kan? Itulah penangan dan ketahanan jiwa seni seorang yang bernama Mohamad Nasir Mohamed atau lebih popular dengan nama popularnya, M. Nasir.
Bayangkan kita yang terpaksa menunggu hampir sejam di dalam kereta di ruang parkir kereta sebabkan tidak dapat bergerak kerana jam, pun dah membuat badan rasa letih menunggu inikan pula kudrat bergerak selari nyanyian dengan hayunan badan mengikut rentak muzik sepanjang lebih 3 jam.
Namun M. Nasir yang kini sudah berada dalam kategori warga emas membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif dan berkarya selagi hayat dikandung badan.
Beliau tidak memerlukan penyanyi jemputan. untuk mengambil alih pentas bagi memberi peluang untuknya menarik nafas dan berehat tetapi hanya seorang yang dijemput bersamanya, Itu pun sebagai pemuzik jemputan waima empunya nama bukan calang-calang.
M. Nasir menjemput Maestro muzik terkenal, Dato Ramli MS memainkan akordian mengiringi beliau menyampaikan lagu berentak tradisional ‘Hijab Kekasih’.
Memilih judul yang ringkas namun mengesankan iaitu ‘DATO’ M.N45IR CIPTA ‘sebagai nama konsert yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos lalu, ia merangkumi perjalanan seninya selama 45 tahun dalam industri.
‘CIPTA’ merangkumi semua justifikasi maksud ciptaan itu sendiri waima M.Nasir bukan sahaja mencipta lagu untuk dirinya sendiri tetapi untuk penyanyi-penyanyi yang hebat seperti Jamal Abdillah, Awie, Rahim Maarof, Seha mahu pun buat kumpulan Search, Alleycats, Kristal, Def Gab C, dan BPR antaranya.
Walau pun penganjurnya, Icon Entertainment sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M.Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara namun Konsert ‘CIPTA” ada kelainannya.
“Menerusi DATO’ M.N45IR CIPTA, peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaan beliau yang telah melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.
“Pada konsert kali ini, beliau akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.
IMAN Tang menyambut kehadiran Anwar Ibrahim di bilik khas berkaca di aras 2. |
Menurut Iman, M. Nasir bukan sahaja membawakan lagu-lagu ciptaan magisnya dari album solo miliknya, tetapi menghiburkan lebih kurang 8,000 peminatnya yang memenuhi arena Axiata dengan lagu-lagu yang dicipta untuk penyanyi lain dan kumpulan terkenal.
Tidak syak lagi lagu-lagu malar segar antaranya seperti ‘Senandung Semalam’ (nyanyian asal Alleycats), ‘Senja Nan Merah’ (Awie/Ziana Zain), ‘Bercanda Di Persisiran Pantai’ (Sudirman/Anita Sarawak) dan ‘Cinta Sakti’ (Def Gab C) mengimbau kembali kenangan penonton pada lagu-lagu popular berkenaan malah boleh dikatakan ini pertama kali mendengar M.Nasir menyanyi lagu-lagu ciptaannya itu dengan gayanya yang tersendiri.
Namun dalam kemeriahan dan keseronokan penonton melayan gaya M. Nasir bernyanyi dan berlenggok dengan irama lagunya, sejarah lain tercipta apabila buat julung kalinya konsert seumpama diraikan bersama oleh pemimpin negara iaitu seperti kata M. Nasir - ‘PM Kita’.
Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim memang satu kejutan buat penonton apatah lagi tarikh berlangsungnya konsert ‘CIPTA’ pada malam 10 Ogos 2024, genaplah 77 tahun usia tokoh negarawan itu.
M.Nasir menghadiahkan nyanyian lagu “Allah Selamatkan Kamu....’ serta pulut kuning sebagai tanda penghargaannya kepada hari lahit ‘PM Kita’ pada malam tersebut.
Kelibat Anwar Ibrahim yang duduk di ruang khas pada aras 2 berdekatan ruang media ditayangkan di layar perak, lengkap bertanjak. Beliau cuma melambai-lambaikan tangannya sekali gus memotong pulut kuning yang dibawa untuknya.
Itu juga satu sejarah yang di ‘CIPTA’ dan menjadi sebahagian daripada kenangan yang boleh disimpan dalam dairi kehidupannya.
Memang bertuah M, Nasir kan? Bukan senang seorang negarawan yang sentiasa sebuk dengan hal ehwal negara dapat meluangkan masa untuk bersama menyaksikan konsert ‘CIPTA’ M. Nasir.
Itu namanya tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu kan?
Apa pun yang pasti Kak Fas dan ribuan lagi peminat M. Nasir tentu rasa puas menonton konsert terbaik dari sifu muzik ini. Lagu-lagu yang dipilih dengan visual di layar yang menepati maksud lagu menambahkan kejayaan konsert.
Dalam berhibur, M. Nasir tidak lupa memberikan penghormatannya terhadap pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang meninggal dunia akibat serangan Zionis 31 Julai lalu dengan membawa lagu ‘Balada Seorang Teman.
Kesimpulannya, Konsert ‘DATO’ M.N45IR CIPTA’ memang memukau penonton hingga terpaku di tempat duduk masing-masing, baik yang berada di aras paling atas berharga serendah RM238 (kategori Awan Nano) diikuti penonton pada aras dua, RM338 (Sejati) mahu pun yang paling tinggi. RM588 (Apokalips) di bahagian depan pentas yang turut menempatkan penonton yang membeli tiket pada harga RM528 (Mustika) dan RM458 (Fenomena).
Penonton yang memilih aras dua pada harga ‘Sejati’ RM338 dan ‘Cinta Kristal pada nilai RM488 pastinya pulang juga dengan hati dan jiwa tersenyum kerana telah menjadi sebahagian daripada penonton ‘CIPTA’ kerana turut berkongsi momen indah bersama penyanyi yang pernah memegang watak ‘Hang Tuah’ dalam filem ‘Puteri Gunung Ledang’ terbitan Enfiniti Productions diterajui Tiara Jacqueline pada tahun 2004.
#MNasir #DatoMN4sir $IsmailHaniyeh #BaladaSeorangTeman #Sukan #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan