SULTANAH NUR ZAHIRAH BERKENAN RASMI 'PRECIOUS OF MALAYSIA', LANCAR BUKU 'PESONA KEBAYA'
SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli merasmikan Precious Of Malaysia musim ketiga sekali gus melancarkan buku, 'Pesona Kebaya- Enchanting of Kebaya' (Dwi-Bahasa) pada Malam Gala di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), baru-baru ini.
Turut berkenan berangkat pada acara itu ialah Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato' Seri Fatimatuz Zahra' Binti Al-Wathiqu Billah Sultan Zainal Abidin.
Tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato Agil Natt, Pengarah Urusan MyCar, Datuk Noor Sheena serta Pengerusi Precious Of Malaysia Jonathan Kok dan Farel Mikhail.
Menurut Jonathan dan Farel Mikhail yang juga penganjur acara, FM Group, kesudian Sultanah Nur Zahirah berkenan merasmikan program anjurannya bagaikan sebuah mimpi menjadi kenyataan.
“Sehingga ke saat ini, kami berasakan kesudian Sultanah Nur Zahirah mencemar duli ke acara kami bagai sebuah mimpi yang menjadi realiti. Tidak pernah terbayangkan.
“Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada tim protokol Istana Terengganu kerana sudi mendengar hajat yang kami doakan selama ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.
“Semoga dengan perasmian Precious Of Malaysia dan pelancaran buku 'Pesona Kebaya' ini menjadi satu momen indah buat kami. Tak mungkin dapat kami lupakan sampai bila-bila,” kata Farel.
Menurut Farel, segala sindiran dan kata-kata sinis yang cuba melemahkan semangatnya selama ini akhirnya dapat ditepis apabila terbukti Precious Of Malaysia kini menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Apa yang berlaku hari ini sebenarnya menguatkan lagi semangat kami untuk terus memartabatkan budaya Malaysia.
“Sebenarnya bukan mudah apa yang kami lalui. Dipandang rendah, disindir, dilabel syok sendiri, ‘muka tebal’ dan bermacam-macam lagi.
“Kami ini bukan robot tapi manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Kalau hati itu adalah kaca, dah lama dah berkecai tak dapat dicantum lagi.
“Namun, tuhan kuatkan semangat kami kerana arah tujuan kami jelas mahu mengangkat martabat budaya Malaysia yang menjadi identiti kita semua.
SULTANAH Nur Zahirah (tengah) berkenan merasmikan Precious Of Malaysia dan lancar buku Pesona Kebaya, sambil diperhatikan Jonathan (kiri) dan Farel (kanan) |
“Ditambah pula dengan kesudian Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli ke acara kami. Sungguh, gembira dan rasa syukur itu berganda-ganda,” ujarnya.
Sempena Precious Of Malaysia, FM Group telah menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) yang memberi peluang kepada para pelajar yang berlangsung pada 2 dan 3 Ogos baru-baru ini di lokasi sama.
Dalam pertandingan itu, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing.
Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain hadiah utama, ICFW turut menobatkan pemenang bagi 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
FM Group menganjurkan pertandingan ini sebagai platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.
“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.
“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.
Menurutnya lagi, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia dan Filipina.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.
“Untuk Malaysia, kami ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.
“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” tambahnya.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga menganjurkan Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos lalu.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar, Famous Amos, Sunshine Asia Group dan banyak lagi.
#PreciousOfMalaysia #SultanahTerengganu #ICFW #PesonaKebaya #Fesyen
Tiada ulasan:
Catat Ulasan