'AMBANG MERDEKA' DISAMBUT MERIAH DI WISMA RAMPAI, CETUSKAN JIWA MERDEKA!
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Begitulah laungan semangat Kemerdakaan yang di dengar serentak di seluruh negara sebaik detik 12 malam memecahkan kesunyian suasana sambutan Ambang Merdeka di serata kawasan yang menyambutnya menjelang 31 Ogos.
‘Ambang Merdeka’ tidak terkecuali disambut komunit NGO khususnya Persatuan Wilayah Persekutuan Veteran 1 Malaysia (PWPV1Malaysia) dibawah pimpinan Pengerusinya, Dato Abdul Rahman Hashim.
“Ini merupakan kali keempat kami menyambut Ambang Merdeka walau pun dalam majlis yang sederhana kecil dihadiri lebih kurang 200 orang sahaja,” ujar Abdul Rahman ketika ditemui pada majlis sambutan ‘Ambang Merdeka’ di perkarangan Dataran Wisma Rampai. Kuala Lumpur pada malam 30 Ogos 2024 lalu yang disempurnakan oleh Yang DiPertua PERKASA Wilayah Persekutuan, Dato Zaharin Mohd Yassin.
Turut hadir memeriahkan majlia terdiri daripada Pengerusi PRESMA, Dato Jawahar Ali Taib Khan (gambar bawah, baju biru muda); Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Dato Seri Abu Hassan Mohd Nor (baju oren); Pengerusi Persatuan Peduli Kasih, Encik Jaafar Albar Abdul Talib; Pengerusi Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen Wilayah Persekutuan/Putrajaya, Encik Ishak Man serta Presiden Kesatuan Jejaka Malaya Bersatu (KJMB), Dato Abdul Rani Kulup (kiri) yang terkenal dengan jolokan ‘Raja Report Malaysia' serta moto gempaknya, ‘Kipidab’ bermaksud ‘Keep it Up’ dalam Bahasa Inggeris.
Berkongsi lanjut, Abdul Rahman memberitahu, penganjuran ‘Ambang Merdeka’ pada tahun ini turut mendapat kerjasama dari PEDULI KASIH dan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) serta disokong oleh Dewan Perniagaan Usahawan Melayu (DPUM).
“Ini antara kumpulan-kumpulan NGO yang bersama menyemarakkan semangat Kemerdekaan di kalangan komuniti berdekatan. Saya pasti di kawasan-kawasan lain pun ada melaksanakan acara Ambang Merdeka masing-masing, jadi itu antara sebab kenapa kami menganjurkannya dalam kelompok kecil,” ujar Abdul Rahman.
Pun begitu dalam suasana kecil dan santai, kemeriahan ‘Ambang Merdeka’ diserikan dengan beberapa aktiviti keluarga seperti Pertandingan Pakaian Beragam oleh kanak-kanak dalam kostum Kebangsaan.
Tidak syak lagi dengan menggalakkan anak-anak kecil bersama meraikan Hari Kebangsaan ia memupuk jiwa cinta pada negara agar menjadi pelapis kepada generasi muda yang sentiasa mengenang sejarah Kemerdekaan Negara.
Seramai 11 peserta kanak-kanak tampil comel dan bergaya dalam kostum rekaan melambangkan rona bendera Malaysia, ‘Jalur Gemilang’ selari dengan tema majlis, “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’ yang dijuarai penyandang gelaran tiga tahun berturut-turut iaitu adik Damia Amira, yang juga anak bongsu kepada Abdul Rahman.
‘Pakaian tradisional Damia itu, ibunya yang reka dan jahit sendiri,” cerita Abdul Rahman ringkas.
Pada aktiviti Kuiz Merdeka yang menyaksikan penyertaan sukarela oleh 5 wanita dan 5 lelaki, tidak ketinggalan dijemput menjawab beberapa soalan mudah seperti siapa pereka Jalur Gemilang dan sebagainya yang berkait rapat dengan bumi Malaysia di mana setiap daripada mereka menerima hadiah cenderamata yang mengandungi sekotak vitamin ditaja Ogoshop Sdn Bhd.
Ogoshop yang diwakili oleh Yaya turut menyumbang hadiah cenderahati produk IKS.
Sementara menantikan detik 12 malam, majlis dihiburkan dengan persembahan-persembahan hiburan oleh tetamu jemputan di mana antara yang menarik perhatian apabila Ayahnda Rani Kulop bersama isteri dan anaknya tampil menyampaikan beberapa buah lagu.
Mendekati detik 12 Malam 31 Ogos, para jemputan beralih ke tengah dataran di mana terpacaknya tiang bendera bagi upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang yang diketuai Zaharin bersama Abdul Rahman serta kesemua pengerusi-pengerusi NGO yang hadir.
Serentak dengan menaikkan Jalur Gemilang, suasana bertambah ceria apabila ia diiringi lagu ‘Negara Ku’ dan ‘Jalur Gemilang’ apatah lagi disusuli seterusnya dengan pertunjukan percikan bunga api menambahkan lagi seri cahaya di lelangit malam yang gelap.
“Kami juga berterima kasih kepada Restoren Ali Maju serta Dato Jawahir yang menaja makan minum dan kos bunga api pada malam ini,” akhiri Abdul Rahman sambil menghargai pihak pengurusan Wisma Rampai di bawah pentadibiran Encik Alex Ng yang membenarkan tiang bendera Jalur Gemilang dipacakkan di tengah-tengah Dataran Wisma Rampai.
Majlis yang tamat kira-kira 12.30 malam disudahi dengan jamuan ringan di restoran Ali Maju berhampiran Dataran.
Selamat Hari Kemerdekaan!
Kak Fas: Seingat Kak Fas walaupun lama berada di bidang kewartawanan ketika bertugas di Kumpulan Utusan, ini kali pertama meraikan 'Ambang Merdeka' waima sebagai wartawan Kak Fas bukan berada di meja berita tetapi mengelolakan penulisan dalam ruangan lain termasuk dalam Majalah Wanita dan Editor pertama Majalah HAI dan kini menulis dalam blog ini sendiri atas semangat seorang wartawan cum blogger. Terima kasih atas jemputan!
#AmbangMerdeka #PersatuanWilayahPersekutuanVeteran1Malaysia #DPUM #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan