AWAS! 'PONTIANAK 200KG' AKAN MENGHANTUI 75 PAWAGAM MULAI ESOK, 5 SEPT!
AWAS!!
Pontianak akan mula menghantui penonton di 75 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei mulai esok 5 September 2024!
Dengan tagline “Filem Komedi Paling Berat Abad ini”, mungkin kah filem terbaharu dari Primeworks Studios dan Metrowealth, ‘Pontianak 200KG’ ini akan menghiburkan penonton dengan penceritaan yang lebih menarik dan lebih lucu berbanding telefilem popular pilihan nombor 1 di Tonton, ‘Pontianak 100KG’ selari dengan penambahan ‘gelak ketawa’ melebihi 100kg?
Yang pasti paling hebat juga adalah barisan pelakonnya yang menggandingan nama popular lama dan baharu seperti primadona Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi serta penampilan sulong personaliti media sosial di layar perak, Aya Amiruddin sebagai teraju utama bersama Dottie. Filem ini juga memperkenalkan Apich Lo sebagai salah satu watak utama.
Terdahulu, Aya Amiruddin atau nama sebenarnya, Fidya Natasha Amirudin, 26, berdarah kacukan Malaysia/Afrika di sebelah ayahnya, berlakon dalam telefilem, “Pontianak 100KG”.
Jadi dengan pengalaman kali kedua ni serta beberapa lagi pementasan drama dan teater disertainya, sudah tentu lakonan Aya Amirudin lebih konfiden dan terserlah bakat semula jadinya ya tak?
Anda sebagai penonton yang berupaya menjawabnya setelah menyaksikan penampilannya kelak sebagai ‘Ponti Melati’ apabila ‘Pontianak 200KG” mengilai di pawagam esok.
Apa pun yang pasti inilah yang dikatakan ‘tuah badan’ walau pun memiliki saiz badan XXXL gayanya Aya masih mampu menarik lebih kurang 240,000 pengikut di platform Instagramnya yang turut dinamakan agak pelik iaitu @freakayaisfreak.
Seperti Aya Amirudin, filem ‘Pontianak 200KG’ juga bakal menjadi penanda aras kepada pengarahnya, Shuhaimi Lua yang selama ini banyak aktif sebagai pengarah drama dan telefilem serta penerbit.
“Alhamdulillah, filem 'Pontianak 200KG' merupakan permulaan bagi saya dan saya bersyukur telah diberikan kepercayaan oleh Primeworks Studios serta Metrowealth kerana meletakkan serta memilih saya sebagai pengarah bagi filem ini.
“Mengarah sesebuah filem merupakan salah satu impian saya dan saya berterima kasih kerana telah diberikan peluang itu. Filem 'Pontianak 200KG' merupakan sebuah filem penanda aras buat saya untuk terus mengarah filem yang memberi hiburan dan manfaat kepada orang ramai.” ulas Shuhaimi pada majlis pra tonton “Pontianak 200KG ’ yang berlangsung di sinema Dadi, Pavilion Kuala Lumpur pada semalam, 3 September 2024.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof (gambar bawah, kanan) Penerbit Metrowealth, David Teo (kiri) serta barisan pelakonnya.
‘Pontianak 200KG’ mengisahkan tentang Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan.
Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma!
Kemunculan Bilal, lelaki ala Korea telah membuatkan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi jatuh cinta dan mula bersaing untuk menarik perhatian Bilal.
Namun keadaan masih belum reda dan penduduk kampung masih menjadi mangsa serangan pontianak.
Pak Akad, selaku ketua kampung menjadi semakin buntu untuk menghentikan jumlah penduduk yang semakin ramai koma.
Apa kesudahannya? Anda sendiri saksikannya esok ya… tak nak jadi ‘spoiler’ hingga habis 100% dicerita pulak bila jari jemari ini dah tak boleh berhenti menulis apa yang berada dalam fikiran.
Pun begitu, yang tidak dapat disangkal ialah 'Pontianak 200KG’ membawa kisah yang unik di mana Pontianak yang "comel" menjadi watak utama.
Berbeza dengan stereotaip biasa, Pontianak dalam filem ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka, menjadikan watak ini lebih mesra dan menghiburkan.
“Pontianak 200KG"merupakan hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth, bertujuan untuk memperkayakan lagi genre dalam industri perfileman Malaysia.
"Dengan membawa elemen seram komedi yang segar, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu yang menghiburkan kepada penonton, tetapi juga membuka peluang bagi bakat-bakat baru untuk menyerlah dan berkembang dalam industri ini,” sambung Nini sambil melahirkan keyakinannya usaha yang dilaksanakan akan terus memacu perkembangan landskap perfileman tempatan.
Sependapat dengannya, David Teo berkata, “Filem ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga. Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat , seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan.”
Proses penggambaran filem Pontianak 200KG telah dijalankan dengan teliti, dengan kebanyakan lokasi penggambaran bertempat di Ijok.
“Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini,” tambah Shuhaimi Lua.
Dalam pada itu, menambahkan seri dan kemeriahan kepada sesebuah filem tentunya terletak pada runut bunyinya.
Untuk ‘Pontianak 200KG’ ia buat pertama kalinya menampilkan Aya Amiruddin dalam dunia nyanyian apabila bergabung dengan Shiha Zikir melalui syarikat Shiha Zikir Empire.
Lagu tema berjudul, "Naik Hantu," yang dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman dan Omar K, bakal menjadi daya penarik yang memikat hati penonton.
Ia sudah pun dilancarkan di semua pelantar digital sejak 24 Julai 2024, manakala versi rock oleh Buck dan Awas menyusul pada 15 Ogos 2024.
Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan muzik video "Naik Hantu" di YouTube Alternate Records & Talent ya. Boleh juga tonton di bawah ini:
#NaikHantu #Pontianak200KG #Metrowealth #PrimeworksStudio #SeramKomedi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan