Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'MIFTAH ALAM' TEROKAI DUNIA MISTIK, PELAKON LUMPUH SEPARUH BADAN?


ALAM dan mistik ibarat lagu dan irama. Ia berkait rapat apatah lagi apabila alam diterokai manusia pasti ada ‘mata’ yang memerhati khususnya golongan bunian.


Percaya atau tidak manusia dan bunian adalah dua dunia berbeza yang 

wujud di alam nyata. Dan tidak dinafikan ada berlaku beberapa insiden yang membabitkan manusia dan bunian, malah tidak hairan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee pun pernah mencipta lagu 'Seri Bunian’ untuk filem arahannya, “Sumpah Orang Minyak’ pada 1958.


Terbaharu, alam bunian ditampilkan secara mistik melalui filem sulong terbitan DMJ Megah Sdn Bhd berjudul ‘Miftah Alam’ arahan pengarah baharu, Mohamad Aidil Azhar.


Miftah Alam’ yang membariskan pelakon lama dan baharu menggabungkan unsur  seram dan komedi bakal ditayangkan di lebih 30 pawagam tempatan seluruh negeri mulai 19 September depan.



Berdurasi 1 jam 21 minit, ‘Miftah Alam’ dibintangi pelakon Zue Aziz, Zam Azmi, Zera Hariz, Eyka A. Rahim dan Taiyuddin Bakar.


Mengisahkan tentang empat sahabat, Adam (Zam Azmi), Zera (Zera Hariz), Hawa (Eyka A. Rahim) dan Iman (Taiyuddin Bakar) yang berkawan sejak zaman sekolah. 


Hawa menyimpan perasaan terhadap Adam tetapi tidak pernah meluahkannya.


Setelah dewasa, Zera pula mendekati Adam dan berusaha memenangi hatinya walaupun secara diam-diam namun Zera mengamalkan ilmu hitam yang dipelajarinya daripada seseorang yang dipanggil ‘Bonda’. 


Dengan ilmu kebatinannya, Zera cuba mengubah takdir untuk memenuhi keinginannya memiliki Adam. 


Mampukah Zera memenangi hati Adam dengan ilmu hitam dipelajarinya?


Segalanya terjawab apabila anda ke pawagam pada 19 September nanti ya… cuma tiga hari je lagi tau…


‘Saya harap filem ini dapat menambat hati penonton kerana saya merancang untuk menyambungnya,” ujar Mohamad Aidil penuh yakin ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem ‘Miftah Alam’ yang berlangsung di Pawagam P. Ramlee, FINIAS pada petang Isnin semalam.


DARI kiri: Zam Azmi, Eyka Rahim, Mohamad Aidil, Ridzuan Shah, Adnan Yajid dan Jue Aziz.


Turut hadir penerbit filem, Ridzuan Shah Isa dan Adnan Yajid serta barisan pelakon antaranya Zam Azmi dan isterinya, Eyka A. Rahim serta Jue Aziz.


Berkongsi lanjut, Mohamad Aidil memaklumkan ‘Miftah’ dalam sebutan bahasa Arab bermaksud 'kunci'. Jadi sudah tentulah filem ini bermaksud ‘Kunci Alam’  di mana penonton boleh nampak kehidupan masyarakat yang nyata dalam filem tersebut walau pun berbaur mistik.


Sebelum ke majlis, Kak Fas sangka pelancaran filem ‘Miftah Alam’ akan disusuli dengan tayangan pra tonton kepada media seperti biasa tetapi cuma treler sahaja yang di tayangkan.



Malah terdahulu Kak Fas tertanya-tanya juga di dalam hati apa maksud Miftah tetapi yang ditemui ia bermaksud ‘Pembuka’ atau ‘Perintis’, jika digunakan dalam nama Islam.


Jadi Kak Fas fikir memang sesuailah judul ini diketengahkan di mana selain bermaksud ‘Kunci’ seperti yang pengarahnya sebut, dengan maksud ‘perintis’ atau ‘pembuka’ ia secara ironinya menggambarkan  filem ini adalah pembuka dan perintis bagi penerbit dan pengarahnya dalam mewarnai industri filem tempatan sebagai permulaan.


Tidak syak lagi ia pembuka jalan bagi DMJ Megah dan Mohamad Aidil selaku pengarah untuk terus menyambung harapan mereka menerbitkan sambungannya serta beberapa filem lagi akan datang.


“Sebenarnya ini filem kedua arahan saya, Filem pertama belum keluar lagi, Kami keluarkan filem ini dahulu,” dedah Mohamad Aidil.



Majlis pelancaran turut memperkenalkan penyanyi baharu Ku Faiz menyampaikan lagu OST filem 'Mifftah Alam' berjudul 'Hilang'.


Dengan kos penerbitan hampir RM1 juta, DMJ  Megah yakin pungutan jualan boleh mencapai lebih RM1juta atau setidak-tidaknya berbalik modal yang dibelanjakan.


Sementara itu, Jue Aziz , 41 atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz mendedahkan beliau sendiri tidak menjangka mampu membawa karaker bagi sebuah filem seram yang disuntik elemen komedi.


Dalam filem ‘Miftah Alam’, Jue melakonkan watak kakak kepada pelakon Zam Azmi malah tidak menjangka mampu menyerlahkan sisi kelakarnya yang belum pernah ditonjolkan selama ini.


“Tak sangka saya boleh membawa watak seram komedi,” ujar Jue dalam ketawa kecil apatah lagi ‘Miftah Alam’ merupakan ‘come back’ untuknya di layar perak setelah filem terakhirnya ‘Escape’ pada awal tahun lalu.


Jue yang baharu sahaja menamatkan zaman solonya sejak berpisah dengan suami pertamanya, seorang pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman yang dinikahi pada tahun 2014 tetapi bercerai pada 2019, kini bergelar isteri kepada Ridwan pada 18 Ogos lalu.



Dalam pada itu, walaupun pengarahnya memaklumkan tidak mengalami sebarang kesulitan ketika penggambaran di hutan, pelakonnya, pasangan suami isteri, Zam Azmi dan Eyka A. Rahim ditimpa musibah apabila Eyka diserang lumpuh separuh badannya. 


“Ini filem kedua kami bersama penerbit DMJ Megah selepas bergelar suami isteri setelah bertemu dalam filem pertama yang masih belum ditayangkan. Saya tidak pasti bagaimana boleh mengalami strok walau pun ketika penggambaran tidak mengalami sebarang gangguan mahu pun masalah,” cerita Eyka yang kini sedang beransur pulih dan bersyukur sudah boleh berjalan perlahan-lahan.



Ada atau tidak kaitannya dengan mistik alam ketika penggambaran tiada siapa yang dapat menjawabnya tetapi apa yang pasti ‘Miftah Alam’ diinspirasikan oleh pengarahnya berdasarkan kisah benar dan Eyka mengalami lumpuh selepas sebulan pengambaraan tamat.


“Asalnya ia diterbitkan untuk telemovie tetapi didapati ia lebih sesuai sebagai sebuah filem cereka,” akhiri Muhammad Aidil.


Apa pun kita ketahui apa kesudahannya di pawagam pada 19 September nanti ya! 


Sebelum itu, saksikan trelernya dahulu ya...



#Filem #MiftahAlam #DMJMegah #JueAziz #ZamAzmi #EykaARahim #Zera #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan