VIDEO TEASER 'EJEN ALI THE MOVIE 2' CETUS GELOMBANG SENSASI
ANIMASI kegemaran ramai, Ejen Ali, sekali lagi mencipta fenomena apabila pelancaran video teaser rasminya, “Ejen Ali The Movie 2’ mencetuskan gelombang sensasi luar biasa di platform media sosial dengan catatan 6,06 ribu sebutan dengan data capaian jumlah keseluruhannya yang menakjubkan iaitu 78.6 juta.
Video tersebut yang dilancarkan buat pertama kalinya pada Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (FKDM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo juga telah ditonton sejumlah 260,000 tontonan dan hampir 100% meletakkan tanda suka di YouTube.
Sehubungan itu, ia sekali gus menjadikannya topik perbualan hangat di media sosial dengan netizen giat mencipta teori dan andaian masing-masing sekali gus menambahkan keterujaan terhadap filem yang dijangka meletup di pawagam pada tahun 2025 itu.
Pendek kata, pencapaian itu membuktikan Ejen Ali masih mengukuhkan kedudukannya sebagai filem animasi nombor 1 di Malaysia.
Terdahulu, pada Festival Kandungan Digital Malaysia 2024, penerbitnya Primeworks Studios dan WAU Animation telah mempersembahkan tayangan khas bagi misi baharu ‘Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) sebagai sebahagian daripada pelancaran program Festival.
Misi baharu EATM 2 ini merupakan trailer teaser rasmi yang menampilkan aksi berintensiti tinggi dan misteri yang mendebarkan dan penuh tanda tanya serta diselang-selikan dengan babak dan sinematik yang menyentuh hati untuk tontonan seisi keluarga.
Selepas kejayaan pecah panggung menerusi filem pertama Ejen Ali The Movie (EATM) pada tahun 2019, sekuel filem kedua, EATM 2, kini seterusnya melantik Ejen Ali sebagai juruterbang Projek Satria, iaitu sebuah sut berperisai baharu dengan bantuan program Kecerdasan Buatan (AI) yang direka khas bagi mengoptimumkan lagi prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen-ejen MATA semasa menjalani misi rahsia mereka.
Sekuel yang dinanti-nantikan ini dijangka akan menggegarkan pawagam secara rasminya pada tahun 2025 dengan mengekalkan barisan penyumbang suara watak utama iaitu Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar dan Azman Zulkiply sebagai Rizwan dan Jeneral Rama.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan misi baharu tayangan pertama Ejen Ali The Movie 2 ini. Kami di WAU telah mencabar diri kami dalam penyelidikan dan pembangunan untuk tidak hanya meningkatkan kualiti produksi teknikal filem ini, tetapi juga untuk menghasilkan jalan cerita yang menarik bagi peminat yang menantikan misi Ejen Ali yang seterusnya,” ujar Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin (gambar atas, kiri) pada majlis pelancarannya bersama Gobind Singh Deo sempena FKDM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Nini Yusof yang yakin 'Ejen Ali The Movie 2’ adalah filem yang sangat dinanti-nantikan penonton. Bersama memeriahkan majlis adalah Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar bawah, dua dari kiri) serta Pengurus Besar Kanan Filem, Muzik dan Produksi Dalaman Media Prima, Shahila Shah (tiga dari kiri).
“Kami juga harus berterima kasih kepada peminat semua serta MDEC atas sokongan berterusan mereka. Dan memandangkan kami bakal mendedahkan dan menyiarkan lebih banyak lagi kandungan khas berkenaan Ejen Ali The Movie 2 ini di seluruh platform Media Prima menjelang tayangannya nanti, saya ingin mengalu-alukan kepada semua untuk terokai peluang kerjasama sebagai rakan kongsi dengan Ejen Ali melalui kandungan penjenamaan, program pelesenan dan pembarangan,” ujar Nini.
Pada festival yang berlangsung di Hall 4, KLCC dengan kerjasama Tonton selama tiga hari bermula 13 September hingga hari ini, 15 September, pelbagai aktiviti menarik disediakan di reruai Ejen Ali antaranya seperti kuiz, pameran jualan barang daganan Ejen Ali serta peluang untuk memenangi Samsung Smart TV bersaiz 65 inci!
Untuk menyertai, anda hanya perlu mendaftar sebagai ahli baharu dan langgan pelan Tonton. Atau anda juga boleh membuat pembelian barangan dagangan yang dijual di reruai untuk merebut peluang keemasan ini.
Bagi peminat-peminat tegar, anda juga turut berpeluang bergambar bersama maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia yang akan membuat penampilan khas bagi sesi ramah mesra pada jam 12.00 tengah hari, 3.30 petang dan 4.30 petang setiap hari!
Jika tak nak lepaskan peluang jom ke Pusat Konvensyen sekarang selari dengan tagline Ejen Ali, “Terima misi rahsia dan jangan lupa laporkan diri anda!
#EjenAliTheMovie2 #FestivalKandunganDigitalMalaysia2024 #Tonton #Animasi #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan