Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PENIAGA TEMPATAN DISERU SERTAI PAMERAN KOMODITI IMPORT & EKSPORT MALAYSIA 28 NOV!


SYARIKAT-syarikat
tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama golongan wanita  dipelawa menyertai Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia yang bakal diadakan buat julung kalinya sempena kembalinya Pameran Jenama Antarabangsa Malaysia kali ke-19  (MIBS) selama tiga hari bermula 28 hingga 30 November 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Pemeran Komoditi Import dan Eksport Malaysia itu merupakan antara empat sektor yang diketengahkan melalui MIBS ke-19 tahun ini selain Pameran Kain dan Fabrik Malaysia, Pameran Produk Kesihatan Tradisional dan Pelengkap Malaysia serta Pameran Makanan dan Minuman Malaysia.


“Melalui penyertaan ini, pengusaha tempatan berpeluang mempamerkan produk mereka di perrngkat global apatah lagi MIBS bakal menampilkan kira-kira 500 gerai pameran antarabangsa yang melibatkan pelbagai kluster pemamer dari lebih 14 buah negara seperti Zhejiang, Shandong, Guangdong, Jilin, Guizhou, Fujian, Yunnan, Sichuan, Taiwan, Pakistan, Iran, Korea Selatan, Jepun, dan banyak lagi,” ujar Dato Chong Chong Tik, Pengarah Urusan ES International Event Mangement Sdn Bhd selaku penganjur utama  pada sidang media MIBS 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada semalam, 4 Oktober 2024.


Turut hadir penganjur-penganjur bersama yang terlibat  antaranya Presiden Kehormat Sepanjang Hayat Malaysia Promas International Business Society (PROMAS), Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah; Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA), Datin Dr. Norlia @Norlaili Alias; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Dato Seri Abu Hasan Mohd Nor dan Timbalan Presiden Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.


DUDUK dari kiri: Abu Hasan, Dr. Sharifah, Dr. Susan, Dr. Norli dan Chong Tik.


Berkongsi lanjut, Chong Tik memberitahu, MIBS 2024 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur meliputi Dewan 1 hingga 5 di mana Dewan 1 dan 2 difokuskan  kepada produk tempatan berkualiti tinggi, manakala Dewan 4 dan 5 akan memaparkan produk antarabangsa.


“Saya berharap tahun ini lebih ramai pengusaha tempatan akan menyertai pameran di mana setekat ini kira-kira 500 gerai pameran melibatkan pemamer antarabangsa sudah pun memenuhi kesemua tiga dewan yang disediakan untuk mereka,” ujar Chong Tik sambil berharap penglibatan pengusaha tempatan akan bertambah daripada hanya 10% sahaja yang terlibat tahun lalu.



Menurutnya, sebagai menggalakkan pengusaha tempatan  mengambil peluang menembusi pasaran luar, pihaknya dijangka menjemput lebih kurang 500 pengusaha luar negara untuk berkunjung ke Malaysia bagi melihat produk-produk tempatan yang boleh diusahakan.


“Kami menawarkan penginapan percuma selama tiga hari, dua malam di sebuah hotel bertaraf empat bintang bagi pembeli jemputan itu. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penglihatan produk Malaysia di persada antarabangsa, serta memupuk kerjasama perniagaan yang lebih kukuh dan pertumbuhan masa depan,” tambah Chong Tik.


Sehubungan itu rakan strategik seperti WAWASANITA, DPUM mahu pun HAWA serta persatuan-persatuan perniagaan lain di Malaysia diharap membantu mewarwarkan MIBS 2024 kepada ahli mereka sebagai peluang terokai pasaran luar negara.


“InsyaAllah, melalui WAWASANITA saya akan berusaha membawa masuk seramai 100 usahawan di bawah bimbingan kami untuk ikut serta dalam MIBS kerana ini antara satu-satunya pameran terbesar yang dianjurkan setiap tahun  dalam membuka ruang dan peluang kepada peniaga tempatan  berinteraksi dan meluaskan pasaran produk mereka ke luar negara,” ujar Dr. Norli yang turut yakin DPUM juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam mempelawa peniaga tempatan khususnya pengusaha PKS  untuk bersama menyertai MIBS.


Tambah Dr. Norli, WAWASANITA akan menumpukan usahawannya memberi fokus kepada sektor makanan dan minuman seperti produk sarang burung atau pun durian Musang King memandangkan produk pemakanan mendapat permintaan tinggi dari China.



Menyahut seruan itu, Abu Hassan juga berpendapat sama dengan WAWASANITA agar pihak Kerajaan membantu usahawan-usahawan kecil dalam menyalurkan geran tertentu agar Persatuan dapat membantu mengenal pasti mana-mana pengusaha yang. mempunyai produk berkualiti untuk diketengahkan.


“Kita  maklum kebanyakan perusahaan kecil belum bersedia atau 'export ready' di mana bilangannya tidak sampai 20% sahaja yang berkemampuan, semua main 'jaguh kampung' sahaja, jadi dengan adanya pameran seperti ini ia membuka ruang untuk pengembangan peniaga kampung ke peringkat yang lebih luas," tambah Abu Hassan sambil berharap pihak atasan mengambil serius dalam membantu dan memberi dana kepada pengusaha yang berkebolehan berkembang ke peringkat global.


Akhiri Abu Hasan, “Selama ini Persatuan DPUM tidak pernah mendapat sebarang dana daripada pihak Kerajaan tetapi kami tetap terus bergerak atas usaha sendiri demi membantu ahli-ahli usahawan’.


DARI kiri: Chong Tik, Dr. Norli, Dr. Susan. Dr. Sharifah dan Abu Hasan.


Sementara itu, terdahulu, Dr. Susan Cheah menekankan bahawa MIBS 2024 yang turut disokong oleh MATRADE dan WITI (Wanita Dalam Perdagangan & Industri) akan menampilkan pelbagai produk Malaysia yang unik termasuk tekstil, makanan kesihatan, dan komoditi pintar. 


Pameran ini bertujuan mempamerkan kreativiti dan bakat Malaysia kepada dunia, memastikan produk tempatan diiktiraf dan dihargai di peringkat antarabangsa.


“Pameran ini akan membantu meningkatkan kehadiran Malaysia di pasaran global serta membina perkongsian jangka panjang yang tidak hanya menguntungkan ekonomi negara, tetapi juga masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya,” ujar Dr Susan terhadap pentingnya penganjuran MIBS 2024 dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menghadapi cabaran dalam pasaran global. 


“Melalui pameran ini, PKS dapat menjalin hubungan dengan pembeli antarabangsa, seterusnya memperluaskan jangkauan mereka ke pasaran luar,” akhirinya.



#PKS #MIBS2024 #KLCC #China #PameranKomoditiImportEksportMalaysia #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan