Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

JOM KE FESTIVAL ASIA DI LANAI, PUSAT PELANCONGAN MALAYSIA. NIKMATI PELBAGAI BUDAYA ASIA!


BUAT julung kalinya, perkarangan Lanai di Pusat Pelancongan Malaysia, Ampang, mencipta sejarah tersendiri apabila dijadikan lokasi berlangsungnya Festival Asia anjuran Yayasan Gemilang dengan sokongan Kementerian Pelancongan.


Turut mendapat kerjasama badan-badan kebudayaan dan kedutaan-kedutaan asing di Malaysia, Festival Asia yang bertemakan “Warna Warni Asia’ dianjurkan bertujuan memberi penghormatan kepada warisan budaya pelbagai negara di benua Asia.


“Untuk kali pertama ini negara terlibat yang menjayakan Festival Asia bersama Malaysia sebagai hos adalah dari Palestin, Pakistan, China dan Indonesia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gemilang selaku penganjur utama, Safia Jamil pada majlis pelancaran ‘Festival Asia’ yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula Jumaat, 8 November 2024 hingga esok 10 November 2024.


Sufian bersama Safia melakukan gimik pelancaran Festival Asia.


Majlis  yang dirasmikan oleh Pengarah Pejabat Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Sufian Zainuddin dilihat sebagai usaha memperkenalkan budaya Asia kepada rakyat  Malaysia dan pelancong antarabangsa.


“Setiap negara yang terlibat akan mempamerkan identiti unik mereka melalui persembahan tarian, muzik tradisional, demonstrasi seni, serta hidangan autentik, menjadikan festival ini satu pengalaman lengkap dan bermakna buat semua,” ujar  Safia. 



Beliau berharap Festival Asia ini menjadi langkah awal dalam memupuk semangat perpaduan, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia dalam usaha memelihara mahu pun  mempromosikan warisan budaya bersama.


Tidak menafikan ia bakal menjadi acara tahunan selepas ini, Safia berharap untuk tahun hadapan ia mendapat sokongan lebih daripada pihak swasta khususnya agar Festival Asia boleh dianjurkan dalam skala yang lebih besar.


“Memang banyak cabaran yang dilalui untik mempelopori sebuah festival yang melibatkan negara Asia bukan sahaja daripada segi kos untuk mendapatkan penaja.Pun begitu saya bersyukur  kerjasama dan sokongan yang diberikan setiap kedutaan asing di negara ini memang terbaik. Mereka menyokong penuh,” ujar Safia.


Sementara itu, Sufian Zainuddin berpendapat Festival Asia ini bukan sekadar pameran seni dan budaya tetapi merupakan sebuah platform yang unik di mana pengunjung dapat merasai, menikmati, dan menghayati pelbagai warisan budaya dalam suasana yang menyeluruh.


“Acara seperti ini menjadi pemangkin penting kepada usaha memperkukuhkan hubungan pelancongan antara Malaysia dengan negara-negara lain di Asia," ujar Sufian.


Diilhamkan sebagai titik tumpuan bagi pertukaran idea, pengalaman, dan kerjasama budaya yang positif antara negara-negara Asia, pengunjung dijemput untuk berinteraksi dengan wakil-wakil budaya dari pelbagai negara, sekaligus mencipta peluang untuk memahami budaya Asia yang pelbagai, hasil pengaruh sejarah dan geografi yang panjang dan kompleks. 



Semua lapisan masyarakat dijemput hadir untuk menyertai dan merasai sendiri pengalaman kebudayaan yang unik dan bermakna ini. Festival Asia 2024 berjanji untuk memberikan pengalaman yang penuh warna-warni, serta memperkukuh jalinan muhibah antara budaya-budaya Asia. 


“Festival Asia sebegini memberikan peluang kepada Malaysia untuk berdiri sebagai pusat kebudayaan dan persahabatan antara bangsa-bangsa Asia. Selain mampu menarik pelancong ia diharap dapat memperkayakan masyarakat tempatan dengan kefahaman yang lebih mendalam terhadap budaya serantau,” akhiri Sufian.



Jadi, bagi mereka yang mahu mengenali secara lebih dekat kebudayaan dan produk pelbagai kaum negara-negara Asia yang terbabit apa kata mengambil peluang berkunjung ke Lanai di Jalan Ampang kerana sebanyak 40 gerai tersedia untuk dilawati.


Dari pakaian, makanan dan cenderahati semuanya boleh dibeli pada harga yang mampu milik contohnya produk cenderahati dari Pakistan, memang cantik dan halus hasil kraftangannya. Jangan rabun mata dah…. 



Selain itu, jika penat boleh singgah seketika di gerai yang menyediakan khidmat urut kaki apatah lagi setelah berjalan lama eloklah rehatkan kaki ya tak?


Memandangkan esok (10 November 2024) hari terakhir, cepat aturkan jadual membawa keluarga ke Laman Lanai Ampang


Macam macam ada, bertepatan dengan temanya ‘Warna Warni Asia’. 



#WarnaWarniAsia #FestivalAsia #LanaiMatic #TourismMalaysia #YayasanGemilang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan