250 PELAJAR TERIMA SKIM BANTUAN AWAL YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN!
SERAMAI 250 pelajar di kalangan keluarga berpendapatan rendah menerima Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM700 setiap seorang melibatkan jumlah bantuan bernilai RM175.000.
“Dengan sumbangan secara ‘one off’ ini diharap dapat menampung perbelanjaan awal para pelajar seperti pembelian buku, pendaftaran dan keperluan lain sebelum memulakan sesi pengajian tahun hadapan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yaasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir Bin V. Kunhimohamed pada majlis ‘Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS Yayasan Wilayah Persekutuan bertempat di Dewan Masjid Jamek Kampong Baru Kuala Lumpur semalam.
Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS ini merupakan salah satu inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut hadir pada majlis penyampaian adalah Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ahmad Ibnu Sina Bin Termizi; serta dua Ahli Lembaga Pemenang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, Mohd Mustafa Bin Ghazanfar dan Rohani Binti Hussin.
Berkongsi lanjut, Dr Abdul Basir memberitahu, matlamat utama skim berkenaan adalah untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, agar mereka dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan yang mendesak.
Terdahulu pada minggu lalu , YWP bersama kakitangan Maybank turut memberikan sumbangan Bantuan Awal IPT kepada 27 pelajar dari Wilayah Persekutuan Labuan.
“Melalui program seperti ini, kita tidak hanya membantu meringankan beban keluarga pelajar tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” jelas Dr. Abdul Basir.
Menurutnya, pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah nasib seseorang, keluarga dan masyarakat.
“Oleh itu, usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan agar lebih ramai golongan muda yang berbakat dapat merealisasikan potensi mereka,” tambah beliau sambil menyuarakan bahawa YWP sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Sambungnya, YWP percaya bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak Yayasan, DBKL, para pemimpin masyarakat dan semua yang terlibat.
“Buat para penerima sumbangan yang diraikan, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Gunakanlah bantuan ini sebaik-baiknya untuk melengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,
“Anda semua adalah harapan keluarga, masyarakat dan negara. Sekali lagi saya ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini. Semoga usaha kita diberkati dan dirahmati Allah SWT,” akhiri Dr. Abdul Basir.
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Bantuan boleh rujuk kepada platform sosial media melalui:
Laman Rasmi: https://www.yayasanwp.org
Facebook : Yayasan Wilayah Persekutuan
Instagram : @yayasanwilayahpersekutuan
#YayasanWilayahPersekutuan #DewanBandaraya #SkimBantuanAwalIptaIpts #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan