Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

EKSPEDISI UUM KE EVEREST: SIMBOL KEJAYAAN DI PERSADA DUNIA


PADA Disember 2024 ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal melakar sejarah dengan pelaksanaan ekspedisi berprestij melibatkan perjalanan selama 15 hari 14 malam  ke Everest Base Camp (EBC) yang juga dikenali sebagai 'Everest Sanctuary Trek'.


Laluan ini membawa peserta ke lokasi ikonik "dahi langit", salah satu destinasi pengembaraan paling terkenal di Himalaya, Nepal, yang menarik ribuan pendaki setiap tahun.


Anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Krearif & Seni Persembahan (SCIMPA) dengan kerjasama Inasis Petronas, ekspedisi berkenaan yang akan bermula dari 14 hingga 28 Disember menampilkan empat pelajar terpilih sebagai peserta utama, disertai oleh empat pegawai pengiring. 


‘Dengan berorientasikan ‘Humanizing Education’ ekspedisi pendakian ini mampu melatih semangat kepimpinan dalam penglibatan sosial dan memperkukuhkan etika ke arah budaya yang lebih cemerlang disamping melaksanakan pendokukentasian sepanjang perjalanan pendakian dalam bentuk mobile Journalism (MOJO) serta rakaman footage yang bakal diperoleh nanti,” ujar Naib Cancelor UUM, Prof Dato Dr. Fo’ad Sakdan pada majlis pelancaran program 4 Dekad UUM di Everest Base Camp sempena sambutan ulang tahun UUM ke-40 bertempat di Eiger Tropical Adventure Ampang pada 1 Disember 2024, semalam.



Majlis perasmian disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazudiin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dengan gimik pelancaran menggunakan teknologi ‘virtual reality’ atau ‘VR’  yang memperlihatkan baginda memacakkan bendera UUM di Everest Base Camp melalui video di layar tv.”


Turut hadir Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff; Pengarah Urusan Arisprop Holding Sdn Bhd, Dato Hj Haris Embong dan  Pengarah Eiger Tropical Adventiure, Riadi Ariaji Suuwarno.



Misi julung kali ini akan diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail bersama bekas pendaki negara, Azim Afif yang bertindak sebagai pengendali pendakian. 


Turut bersama, Amirudin Hashim sebagai Ketua Jurulatih, Muhamad Fahmi Muhamad Zulkiflee sebagai Penolong Jurulatih dan Prof. Madya Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil, yang mengetuai sekretariat pendakian.


Manakala empat pelajar yang terpilih berusia dalam lingkungan 20-an terdiri daripada seorang perempuan dan tiga lelaki iaitu Murfiqah Nurina Binti Mohd Razali, Ihsan Sabri Kamaruddin, Muhammad Syamim Mohd Hamdan dan Muhammad Aidil Muhammad.



Berkongsi lanjut, kata Dr. Fo’ad , SCIMPA memilih laluan ke Everest Base Camp kerana ia melambangkan pencapaian luar biasa. 


“Tidak ramai yang berpeluang berada di kawasan laluan pendakian menuju puncak tertinggi dunia, tetapi kini pelajar dan kakitangan UUM akan berdiri di situ, membawa nama universiti dan negara bersama mereka,” tambah Dr. Fo”ad.


Ekspedisi ini jelasnya, bukan sekadar perjalanan ke salah satu destinasi pengembaraan paling terkenal di dunia tetapi ia  adalah simbol semangat juang, pengiktirafan antarabangsa, dan platform untuk menonjolkan bakat dalam bidang seni kreatif.


Program ini turut menyumbang kepada kempen pelancongan negara seperti Tahun Melawat UUM 2024, Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. 



Ia juga akan menghasilkan kandungan kreatif berkualiti tinggi seperti dokumentari pendek, log perjalanan, buku “Coffee Table Book”, dan panduan pendakian dalam bentuk Virtual Reality (VR). 


“Melalui bidang pengajian seperti Filem, Muzik, Animasi, Extended Reality dan Design Innovation yang ditawarkan SCIMPA, pelajar yang menyertai ekspedisi ini akan membawa pulang pengalaman unik yang akan memperkayakan ilmu mereka,” jelas Dr. Fo’ad.


Bagi UUM, ekspedisi ini bukan hanya mengenai pendakian. Ia adalah peluang untuk memupuk perpaduan, mengangkat nilai patriotisme, dan menonjolkan kebolehan masyarakat Malaysia dalam arena global. 


Dengan pelaksanaan program seperti ini, UUM tidak sekadar menyambut ulang tahun ke-40, tetapi juga melakar jalan ke arah masa depan yang lebih gemilang, membawa universiti ini ke persada dunia.



Ekspedisi yang  dijangka mengambil masa 15 hari 14 malam, bermula dengan penerbangan ke Kathmandu. 


Dari situ, peserta akan memulakan perjalanan mendaki yang mencabar, melalui kawasan seperti Namche Bazaar, Tengboche, dan Dingboche, sebelum akhirnya tiba di Everest Base Camp. 



“Sepanjang perjalanan, mereka akan menghadapi cabaran ketinggian dan cuaca ekstrem, tetapi pengalaman itu akan menjadi bukti kecekalan dan semangat pasukan UUM,” akhiri Dr. Fo’ad.


Sementara itu, rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa teruja mereka di atas pengalaman pertama yang bakal dilalui.


“Rasa gementar itu memang ada dan disebabkan saya perempuan dan mungkin perlahan sikit apabila berjalan, saya dibenarkan berjalan di hadapan rakan-rakan lain,” ujar Murfiqah Nurina yang merupakan satu-satunya mewakili golongan hawa yang terpilih.



Mengikuti jejak langkah ibunya yang gemar hiking mendaki gunung, Murfiqah akui mendaki Everest merupakan pengalaman pertamanya memanjat gunung yang tinggi namun yakin dapat menjayakan impiannya itu berkat doa ibu.


Turut merasakan doa dan restu ibu bapa itu penting kata Muhammad Aidil, ‘jika tanpa izin dan doa restu ibu, saya tak akan ikuti ekspedisi ini jika mereka melarang.’


DARI kiri: Muhammad Aidil, Murfiqah, Muhammad Syamim dan Ihsan Sabri.


Akui gementar berdepan cuaca yang sejuk dan pelbagai cabaran lain, Muhammad Aidil seperti rakan-rakannya yang lain yakin mampu membawa nama UUM di puncak Everest sekali gus mencipta sejarah untuk dirinya sendiri yang selama ini belum pernah menjejakkan kaki waima di puncak Gunung Kinabalu sekali pun.


Ekspedisi ke Everest Base Camp mendapat penajaan utama  dari Arisprop Holding bersama Eiger Tropical Adventure sebagai rakan strategik serta  beberapa lagi penaja lain antaranya Pahang Tourism dan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia atau MITDA.



#EverestBaseCamp #UUM #EigerTropicalAdventure  #4DekadUUM #Gunung #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan