MUEZZA SASAR 100 CAWANGAN MELIPUTI SELURUH NEGARA, RANCANG BINA KOMPLEKS SUKAN !
MUEZZA Education Group Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang komited dalam membentuk karakter positif kanak-kanak dan remaja melalui program sukan, terus mengorak langkah dengan melantik 33 rakan niaga baharu.
Pelantikan ini bertujuan untuk membuka 33 cawangan baharu, menambah kepada 56 cawangan sedia ada, dengan sasaran mencapai 100 cawangan menjelang tahun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Muezza Education Group, Anas Izuan Azmi, dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan niaga baharu yang berlangsung di sebuah hotel di Damansara baru-baru ini, menyatakan bahawa setiap rakan niaga telah melabur RM55,000 untuk membuka studio memanah.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha strategik syarikat untuk memperluaskan impak sosial melalui program sukan sunnah seperti memanah, renang, dan bola sepak, yang disediakan melalui platform Akademi Muezza.
Turut hadir pada majlis MoU berkenaan adalah Penasihat dan Pengarah Bukan Eksekutif Kumpulan Muezza, Mohammad Adam Jalalel Din yang juga Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Muezza, Lokmanhakim Mohd Holil; Peguambela dan Peguamcara, Faiz Hasan serta Pengusaha. Pusat Pengajian dan Pendidikan Tadika & Sekolah Rendah Islam selaku rakan niaga pertama cawangan Klang, Nor Fadilah Saliman.
DARI kiri: Anas, Mohammad Adam, Lokmanhakim dan Faiz Hasan. |
Akademi ini menawarkan latihan bulanan dengan modul pembelajaran sistematik kepada peserta berumur 4 hingga 18 tahun, selain mengenal pasti bakat untuk diketengahkan ke peringkat daerah dan negeri. Setakat ini, lebih 4,000 pelajar telah menyertai Akademi Muezza, dan syarikat menyasarkan untuk mencapai 10,000 pelajar menjelang tahun 2025.
Bagi memperkukuhkan kualiti modul pembelajaran, Muezza Education Group telah menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui MoU tiga tahun yang dimeterai pada April 2023.
Kerjasama ini bertujuan membina hubungan erat antara institusi akademik dan industri dalam usaha melahirkan generasi muda yang kompeten.
Anas Izuan menyatakan bahawa langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan, malah membantu memperjelaskan visi dan matlamat kedua-dua pihak.
Seiring dengan perancangan jangka masa panjang, Muezza Education Group merancang untuk membina Kompleks Sukan Muezza menjelang tahun 2026 membabitkan bernilai RM3 juta.
Kompleks ini akan menjadi platform bagi melahirkan pasukan elit yang lebih profesional, selai pelaburan n memberi inspirasi kepada atlet muda untuk mencapai potensi penuh mereka melalui kejurulatihan bertaraf dunia dan program inovatif.
Anas turut menyatakan bahawa pihaknya berharap dapat menarik minat masyarakat pelbagai kaum di Malaysia untuk menyertai Akademi Muezza, seterusnya menyumbang kepada pembangunan atlet profesional negara.
Beliau menekankan bahawa nama “Muezza,” yang diambil daripada nama kucing kesayangan Nabi Muhammad SAW, menjadi inspirasi kepada nilai kasih sayang, keberanian, dan disiplin yang ingin diterapkan dalam kalangan peserta akademi.
Selain daripada membentuk karakter positif, program sukan memanah ini juga bertujuan mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada ketagihan permainan gajet yang dilihat memberi kesan negatif terhadap sikap dan nilai mereka.
“Kami mendapat respons positif daripada ibu bapa yang menyatakan perubahan terhadap anak-anak mereka setelah menyertai sukan memanah, terutamanya dari segi fokus dan tanggungjawab,” ujar Anas.
Dengan struktur pengurusan korporat yang lengkap, Muezza Education Group terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan karakter positif generasi muda, di samping membina reputasi sebagai platform pembelajaran sukan yang unggul.
Maklumat lanjut boleh layari LINK INI.
#Archery #MuezzaEducationGroup #SukanSunnah #KompleksSukanMuezza #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan