Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MEDIA DIHARAP TERUS KEKALKAN INTEGRITI, ETIKA KEWARTAWANAN!



PADA 19 Disember 2024 lalu, Kak Fas mencipta satu ‘sejarah kenangan’ tersendiri apabila buat julung kalinya berpeluang melayari Tasik Putrajaya di dalam bot persiaran berhawa dingin pada waktu malam.


Kesempatan itu tercipta apabila mendapat undangan eksklusif untuk hadir ke Majlis Apresiasi Media bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Azman Hj Abidin  (kanan) daripada Pegawai Komunikasinya, Zaleha Dullah (kiri) yang juga bertindak sebagai Pengarah Program Majlis Apresiasi Media.



Disebabkan tinggal di Kuala Lumpur yang jauhnya kira-kira 41km dari kediaman ke Putrajaya, terfikir berat juga hendak memandu jauh apatah lagi pada waktu malam namun jauh di sudut hati keinginan untuk menikmati pengalaman ‘Cruise Tasik Putrajaya’ buat pertama kalinya berjaya mengatasi rasa ‘berat kaki melangkah’ tadi.


Mahu juga merasai suasana ‘makan malam’ dalam bot persiaran di Tasik Putrajaya… mungkin kah akan terasa ‘mabuk’ apabila bot belayar atau tenang bagaikan tenangnya air tasik disinari cahaya bulan.


Memandangkan ini pertama kali, terasa juga bagai ‘rusa masuk ke kampung’ walau pun di hadapan mata tersergam indah Kompleks Perdana Putra dan Masjid Putra yang dikenali sebagai 'Pink Mosque’ (Masjid Merah Jambu)  di kalangan pelancong.



Al maklum, Kak Fas jarang sekali berkunjung ke Putrajaya bak kata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘kadang-kadang,.,jarang jarang’ ke  ibu kota pintar dalam taman seluas 4,931 hektar ini,  yang mula dibangunkan pada awal 90-an dengan kos RM20.5 bilion meliputi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, sosial dan Kemudahan Keagamaan.


Dan. apabila perlu berkunjung ke bandar Wilayah Persekutuan ketiga di Malaysia ini tentunya bersebab terutama bila hadir ke sesuatu ‘event’ yang berlangsung di sana.


Setibanya di  bulatan Dataran Putrajaya, Kak Fas terpaksa bertanya arah ke Cruise Tasik Putrajaya dimana pihak media  diarahkan  berkumpul. 


Rupanya terpaksa berjalan jauh juga menuruni eskalator dan tangga ke tepian tasik dan seterusnya melalui deretan gerai makan dan cenderahati yang ada di situ.


Baharulah tahu ada  beberapa kedai di situ waima sebelumnya Kak Fas hanya menunggu di dalam kereta setelah tiba sedikit awal dari waktunya. Jika tahu ada deretan kedai di bawah sudah tentu Kak Fas lebih awal berjalan kaki ke pintu jeti Cruise Tasik Perdana (CTP) dan menanti di sana sahaja.


Setibanya di dewan utama terletak berhampiran dek di mana berlabuhnya bot, tetamu disambut dengan ‘welcome drink’ minuman jus oren. Setiap wakil media yang hadir disambut salam oleh hos yang meraikan, Azman dan Zaleha serta teamnya.



Sebelum melangkah masuk ke bot, sesi berfoto didahulukan sebagai tanda kenangan di mana kemudinnya tidak disangka gambar itu diserahkan kepada setiap orang semasa berlabuh pulang.


Bot berhawa dingin dihiasi kemas dengan kira-kira 5 meja bulat dilengkapi hidangan lauk pauk yang menyelerakan, berjumlah 50 pax.


“Terima kasih kepada semua pihak media yang hadir malam ini semoga hubungan erat antara Kerajaan Madani dan media menjadi kunci kepada kejayaan dalam menyampaikan agenda pembangunan negara. Semoga kerjasama ini terus diperkukuhkan demi kemajuan Malaysia dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” ujar Azman dalam ucapan mengalukan kehadiran media.


Mengakui platform sosial media seperti TIkTok dan sebagainya merupakan antara cabaran yang dihadapi Kerajaan mahu pun pengamal media disebabkan begitu mudahnya berita palsu divirakan, Azman berharap institusi media terus kekalkan integriti dan etika kewartawanan.



“Semoga dengan profesionalisma kewartawanan setiap berita yang dilaporkan dapat mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada iinsttitusi media,” tambah Azman.


Beliau yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Bandar Tun Razak pada akhir ucapannya sekali lagi menghargai peranan media  dan berharap kerjasama antara media dan Kerajaan akan terus seiringan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.



Turut hadir bersama  di dalam cruise adalah tetamu jemputan serta pihak penaja hadiah bertuah antaranya Pengurus Besar KL Tower, Arman Ramli; Pengarah Lembaga Eksekutif SKTVAST Sdn Bhd, Rafe Azsnal; Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng; Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Merangkap Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Dr. Abdul Basir Bin V. Kunhimohamed dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya, Siti Fadilah.


Majlis Apresiasi Media berakhir dengan kesemua yang hadir membawa pulang hadiah kemenangan hasil daripada cabutan bertuah yang diadakan.


Terima kasih daun keladi!



#CruiseTasikPutrajaya #MasjidPutra #KompleksPerdanaPutra #BotMewah #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan