WANITA PUN SUKA 'CUCI MATA' - KILLA DRIZ JADIKAN INSPIRASI CIPTA LAGU!
Siaran Media:
NAMANYA semakin hari semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik hip hop dan ‘rap’ Malaysia.
Selepas tampil dengan single berjudul ‘Rap$star’ di bawah label Def Jam Asia Tenggara tidak berapa lama dahulu, bintang yang dikenali dengan nama Killa Driz muncul dengan sebuah lagi buah tangan berjudul ‘Cuci Mata’.
Ia merupakan lagu kedua Killa Driz dan dihasilkan oleh beliau sendiri bersama Meorey yang juga bertindak selaku penyusun dan penerbit.
“Lagu ini terhasil secara agak spontan dan berunsur gurauan. Inspirasinya sendiri datang sewaktu saya bergurau dengan seorang kawan perempuan. Saat itu saya baru sedar bahawa orang perempuan pun suka ‘cuci mata’ atau melihat orang yang tampan,” jelas Killa Driz.
Selepas gurauan tersebut, dirinya terus pulang ke studio dan mengambil keputusan untuk menghasilkan lagu mengikut tema yang dibualkan itu.
“Saya rasa belum ada yang buat lagu seperti ini dan ia merupakan lagu yang ceria selain cara yang sesuai untuk berhubung dengan pendengar di luar sana,” tambahnya lagi.
Proses pembikinan lagu ini juga sangat mudah dan tidak mengambil waktu yang lama untuk disiapkan.
“Proses pembuatan lagu sangat mudah dan spontan. Saya masuk studio dengan melodi yang sudah ada. Malah, melodi tu dah lama ada dalam kepala. Saya freetsyle sana sini semasa merakam. Dalam proses pembuatan lagu ini saya juga ada ruang mencari diri sendiri.
"Saya suka bercerita jadi saya pun sampaikan tentang pandangan seorang perempuan, serta gaya hidup mereka dan bagaimana saya rasa topik ini sangat menarik. Sudah lama ingin saya kongsikan kisah seperti ini dengan orang lain.
"Atas nasihat daripada pihak A & R syraikat rakaman Def Jam, ini menjadi lagu paling cepat yang pernah saya siapkan,” jelasnya panjang lebar.
Lebih istimewa, lagu ini turut tampil dengan sebuah video muzik yang menarik.
“Selepas berbincang dengan Irfan, pengarah video muzik ini, kami setuju untuk hasilkan satu video yang mudah. Saya memberitahunya bahawa Killa Driz mempunyai dua sisi. Sisi ‘Killa’ yang agak ganas dan nakal manakala Driz adalah sisi yang lebih sopan serta anggun. Irfan telah memberikan hasil yang hebat dalam menampilkan sisi berkelas saya dalam bentuk visual.
"Kami sama-sama setuju bahawa untuk lagu ‘Cuci Mata’ saya harus kelihatan classy dan kami terinspirasi dari watak-watak filem seperti James Bond, dan Bruce Wayne lakonan Christian Bale, sebelum dia memakai kostum Batman,” ujar Killa Driz lagi.
Proses rakaman video muzik juga berjalan dengan sangat cepat dan telah dirakam di hotel Majestic Kuala Lumpur.
“Kami mahukan tempat yang berkelas, sesuai dengan konsep lagu dan video. Jadi kami memilih hotel ini dan menampilkan teman saya Siti Harisa sebagai salah satu watak dalam video ini.
"Irfan juga seorang yang sangat terbuka jadi ia memudahkan kami untuk bekerja. Kami sama-sama tidak suka membuang masa jadi hasilnya sangat memuaskan.Saya menghargai pihak Tikipedia yang membawa alatan sendiri selain Siti Harisa yang gigih memberikan yang terbaik sepanjang video. Lakonannya sangat semula jadi membuatkan video ini menjadi video terbaik yang pernah kami buat,” katanya penuh gembira tentang video muzik tersebut.
Killa Driz turut menjelaskan bahawa dia dalam rancangan untuk menyiapkan album pertamanya di bawah Def Jam Asia Tenggara.
“Saya banyak mendapat bantuan daripada Joe Flizzow, SonaOne dan juga Alyph di samping pihak A&R Def Jam juga. Oleh kerana tahun ini saya agak senyap kerana sibuk dengan lagu pertama saya Rap$tar, saya mahu keluarkan lebih banyak lagu pada tahun hadapan.
"Lagipun saya juga sibuk mencari identiti muzik sendiri, padahal saya ada sekitar 50 atau 60 buah lagu dalam simpanan yang tidak sabar ingin saya kongsikan dengan pendengar. Saya ingin tunjukkan sisi lain Killa Driz yang mungkin belum dikenali orang lain. Saya harap pendengar akan suka dan terus menyokong saya dan kisah-kisah saya,” katanya menutup bicara.
‘Cuci Mata’ boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 29th November 2024 lalu, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Killa Driz pada 4th December 2024.
#KillaDriz #CuciMata #Rap$star #Muzik #SitiHarisa #Hiburan #DefJamAsia #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan