Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SOMA BERGELAR PENYANYI MELALUI 'PERJALANAN' JAUH TANPA PUTUS ASA!


IMPIAN
menjadi kenyataan! 


Begitulah yang dapat disimpulkan pada perjalanan kehidupan usahawan wanita yang juga ibu tunggal lewat 40-an, Rosmah S. Sengari @ Basar apabila darah seni yang mengalir dalam tubuhnya sejak belasan tahun baharu kini berjaya bergelar ‘artis rakaman’.


Memang tepatlah album sulongnya diberi judul ‘Perjalanan’ waima Rosmah yang lebih dikenali dengan nama Soma melalui ‘perjalanan’ yang panjang untuk bergelar penyanyi sejak mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian ketika usia 13 tahun. 


Bagi Soma, 'Perjalanan' adalah simbol perjalanan seni dan impiannya menjadi realiti.


“Memang saya minat menyanyi cuma kini baharu impian untuk merakamkan album menjadi kenyataan,” ujar Soma ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulongnya ‘Perjalanan’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada hari ini, 26 Disember 2024. 



Turut hadir memberikan sokongan adalah Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim; Presiden KARYAWAN, Dato Freddie Fernandez dan Belle Fatah.


Sesungguhnya, tarikh 26 Disember 2024 itu  melakar sejarah tersendiri buat Soma menutup tirai 2024, bahkan anak kelahiran Selangor ini menganggap album tersebut bukan sahaja sebagai pencapaian peribadi, tetapi juga penghormatan kepada komposer tersohor, Allahyarham Datuk S. Atan, yang telah banyak menyumbang kepada dunia seni tanah air.


Album 'Perjalanan' memuatkan karya-karya ciptaan Allahyarham S. Atan yang diberi sentuhan segar oleh adiknya, Belle Fatah. 


Bagi Soma, projek ini adalah peluang untuk menghidupkan semula legasi seni Allahyarham sambil menyampaikan muzik berkualiti tinggi kepada pendengar.


Untuk rekod, Soma bukanlah nama baharu dalam industri seni. Beliau pernah meraih gelaran naib juara dalam Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan setahun kemudian dinobatkan sebagai juara dalam Bintang Klasik RTM 2010, mewakili negeri Selangor.


Foto kredit: Zaman.


Selain itu, Soma turut mencuba nasib dalam beberapa pertandingan nyanyian popular seperti Sinaran Passport Kegemilangan, Akademi Fantasia musim 3 dan 4, serta Mentor Otai namun tuah tidak menyebelahinya tetapi semangat menyanyi terus berkobar hingga ke hari ini.


"Bagi saya asalkan ada semangat dan disiplin tanpa rasa putus asa segala kehendak mampu dicapai," ujar Soma sambil memaklumkan sentiasa mengasah vokalnya melalui latihan di kelas muzik.


Berkongsi lanjut mengenai album ‘Perjalanan Soma berkata ia memuatkan lima buah lagu termasuk lagu yang pernah dinyanyikan 28 tahun lalu yang diberi sentuhan segar oleh  Belle Fatah. 



‘Dua lagu dalam album ini, iaitu Curahan dan Dugaan, sebenarnya pernah dirakamkan pada tahun 1996 tetapi terhenti atas sebab tertentu. Kini, lagu-lagu tersebut diberi nafas baharu dengan susunan muzik terkini oleh Belle Fatah,” jelas Soma yang juga seorang kontraktor.


Selain itu, lagu-lagu baharu ciptaan Allahyarham S. Atan  yang dimutkan adalah ‘Perjalanan’, ‘Memori Bulan Disember’ dan 'Bebaskan Aku', dengan lirik hasil nukilan Soma sendiri serta Siso Kopratasa.


“Pendek kata, ‘Perjalanan’ adalah  gabungan ciptaan kedua-dua adik beradik komposer S. Atan dan adiknya Belle Fatah,” tambah Soma sambil memaklumkan terdapat dua lagi lagu ciptaan Allahyarham, iaitu 'Kerlipan Langit Lebaran' (lagu raya) dan 'Bisikkanlah Kekasih', yang belum sempat dirakam tetapi akan diteruskan sebagai usaha mengekalkan legasi seni beliau.


Walau pun sedar, industri hiburan kini semakin mencabar, Soma optimis bahawa album pertamanya ini akan mendapat tempat di hati peminat dan memberi impak positif kepada industri muzik tanah air.



Sementara itu, baik Freddie mahu pun Khadijah Ibrahim, mereka berdua percaya dengan kemampuan dan kebolehan Soma menyanyi serta pengalaman dalam industri, kehadirannya mampu merancak dan mewarnai dunia hiburan tempatan agar kembali rancak dan membangun.


Malah bagi Soma yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson, katanya, ’Usia bukan penghalang bagi saya untuk bergelar anak seni dan berharap keberadaan saya dalam industri akan memeriahkan lagi warna muzik pada lagu-lagu tersedia”.


PENGACARA Michelle Wee tidak terlepas dengan soalan panasnya....


Dengan kos perbelanjaan yang ditanggung sendiri dalam pembikinan album dan video muziknya, tidak syak lagi Soma serius dalam perjuangannya bergelar ‘penyanyi’ apatah lagi setelah kembali bergelar ibu tunggal.


“Buat masa sekarang belum terdetik untuk berkahwin lagi kerana segalanya saya berserah pada jodoh. Jika ada jodoh baik orang muda atau pun dewasa saya terima seadanya,” jawab Soma kala diusik perihal jodoh oleh penerbit/wartawan sensasi Melodi, siapa lagi jika bukan Michelle Wee yang menjadi pengacara majlis.



#Rosmah@Soma #Perjalanan #SAtan #Muzik #KARYAWAN #Melodi #Lagu #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan