TOURISM SELANGOR PERKUKUH HUBUNGAN BERSAMA MEDIA MENUJU TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025!
TOURISM Selangor, agensi promosi pelancongan rasmi bagi Kerajaan Negeri Selangor, terus melangkah maju dalam usaha memperkukuhkan hubungan bersama pengamal media sebagai persediaan menuju Tahun Melawat Selangor 2025.
Baru-baru ini, Tourism Selangor dengan kerjasama Pusat Membeli-Belah 1 Utama telah menganjurkan sebuah Majlis Hi-Tea Bersama Media bertempat di Secret Garden, salah satu tarikan terbaharu yang terdapat di pusat membeli-belah tersebut.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media dari pelbagai platform seperti media cetak, elektronik, dan digital yang telah menjadi penyokong utama dalam mempromosikan pelancongan Negeri Selangor.
Selama lebih dua dekad, media telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia.
Selain itu, 1 Utama turut diperkenalkan sebagai antara destinasi pelancongan unik negeri ini, yang menawarkan pelbagai tarikan menarik seperti Secret Garden, Windlab, Flowrider, dan Treetop, menjadikannya lokasi wajib dikunjungi bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Dalam majlis tersebut, Tourism Selangor turut melancarkan Kempen Akses Media, sebuah inisiatif khas yang dirangka bagi memberi peluang eksklusif kepada pengamal media untuk menerokai keindahan dan keunikan destinasi pelancongan di sembilan daerah di Negeri Selangor.
Kempen ini merangkumi lawatan khas atau familiarisation trip ke pelbagai lokasi menarik yang baru atau jarang diterokai. Melalui inisiatif ini, media berpeluang untuk membuat liputan yang lebih mendalam dan menyampaikan kisah-kisah inspirasi tentang keindahan serta potensi besar sektor pelancongan Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad, dalam ucapannya menyatakan keyakinan bahawa hubungan yang erat bersama pengamal media merupakan elemen penting dalam memastikan kejayaan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Beliau turut menekankan hasrat Tourism Selangor untuk menyediakan platform kepada media agar mereka dapat berkongsi pengalaman serta mempromosikan daya tarikan Negeri Selangor kepada masyarakat umum.
Sebagai tambahan, Tourism Selangor turut mengumumkan penganjuran acara Visit Selangor Festival & Konsert Tahun Melawat Selangor 2025 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Disember 2024 di Setia City Park, Setia Alam.
Festival ini, yang bertemakan “Food, Leisure, and Music”, dijangka menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk Tabung Khas Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir, acara Fun Walk, Festival Makanan, Pameran Pelancongan, dan pelbagai lokasi OOTD yang sesuai untuk pengunjung mengabadikan kenangan.
Kemuncak acara ini adalah Konsert dan Pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember 2024. Konsert tersebut akan menampilkan barisan artis popular tanah air, dengan Tourism Selangor menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari festival ini berlangsung.
Dengan kombinasi warisan budaya, keindahan semula jadi, dan pengalaman pelancongan urban yang ditawarkan, Negeri Selangor terus membuktikan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
Tourism Selangor optimis bahawa kempen Tahun Melawat Selangor 2025 akan memberikan impak besar kepada sektor pelancongan negeri, sekali gus membawa manfaat kepada ekonomi tempatan.
Sokongan padu daripada media diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan kempen ini, menjadikan Selangor sebuah destinasi yang wajib dikunjungi pada tahun-tahun mendatang.
#TahunMelawatSelangor2025 #TourismSelangor #SecretGarden #1Utama #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan