Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

YAYASAN CHOW KIT LANCAR PUSAT SEHENTI KANAK-KANAK BAHARU!


YAYASAN Chow Kit (YCK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan terkemuka melancarkan Pusat Sehenti Kanak-Kanak baharu yang bertujuan untuk melindungi, memperkasakan, dan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak serta remaja yang terpinggir di Malaysia. 

Inisiatif ini membawa pendekatan holistik dengan menyediakan perkhidmatan pendidikan, sokongan kesihatan mental, dan peluang kreativiti di bawah satu bumbung.


Pengerusi YCK, Zakri Mohd Khir, dalam ucapan perasmian, menekankan kepentingan pelaburan terhadap generasi muda sebagai asas masa depan yang lebih baik. Beliau menyifatkan pusat ini sebagai ruang untuk kanak-kanak meneroka potensi mereka dan mengatasi halangan kehidupan.



“Ini adalah ruang untuk kanak-kanak merasai dan menjadi siapa yang mereka boleh. Setiap individu mempunyai laluan hidup sendiri, namun dalam masyarakat hari ini, terdapat pelbagai cabaran. Dengan adanya pusat ini, kami berharap dapat membantu mereka merealisasikan potensi yang mereka miliki dengan sokongan dan motivasi yang kami tawarkan,” kata Pengerusi YCK, Zakri Mohd Khir pada majlis  perasmian Pusat Sehenti Kanak-kanak  di Bangunan baru YCK terletak di No. 19, Jalan Belia, Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Turut hadir Pengasas YCK, Datuk Dr Hartini Zainudin, Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed, ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan CIMB, Rosnah Kamarul Zaman, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, serta peluk terkenal, Poesy Liang.


Berucap lanjut, Zakri Mohd Khir menekankan kepentingan pelaburan terhadap generasi muda sebagai asas masa depan yang lebih baik. 


Beliau menyifatkan pusat ini sebagai ruang untuk kanak-kanak meneroka potensi mereka dan mengatasi halangan kehidupan.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YCK, Ananti Rajasingam, menyifatkan pusat ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi simbol harapan untuk golongan kanak-kanak yang terpinggir. 


“Pusat ini melambangkan dedikasi kami untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat hidup dengan bermaruah dan bermimpi tentang masa depan yang lebih cerah. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang ke arah menjadikan visi ini satu realiti,” kata Ananti sambil menzahirkan penghargaan kepada para penderma dan rakan kerjasama yang telah merealisasikan impian ini, walaupun dengan bajet yang terhad.


Ananti turut menyampaikan penghargaan kepada artis Poesy Liang atas sumbangan kreatifnya melakar lukisan pada dinding tangga, sambil menekankan bahawa sokongan kolektif daripada para penyumbang membuktikan kekuatan kerjasama dalam mencipta impak yang bermakna dan berkekalan untuk komuniti yang terpinggir.


Ananti  (kiri) dan Dr. Hartini.

“Saya berharap kita dapat terus bekerjasama untuk menjadikan negara kita tempat yang lebih selamat untuk semua kanak-kanak,” tambahnya.


Pusat Sehenti Kanak-Kanak ini mencerminkan misi YCK untuk memelihara dan memperkasa kanak-kanak serta remaja yang memerlukan perhatian dan sokongan.


Bangunan baharu YCK yang terletak berhampiran KL Krash Pad. Dibina dengan keluasan 1,658 meter persegi,  menawarkan pelbagai kemudahan seperti lapan bilik darjah, dua dormitori, gimnasium, bilik kaunseling, studio podcast, taman atas bumbung, perpustakaan, dan ruang untuk aktiviti kreatif. 



Pusat ini turut dilengkapi dengan 48 kamera CCTV, sistem keselamatan kebakaran, dan ruang khusus untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 18 tahun.


“Tingkat kedua disediakan untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, manakala tingkat ketiga ditujukan kepada remaja berusia 13 hingga 18 tahun. Tingkat keempat pula digunakan untuk Program Pembelajaran Alternatif. Kemudahan tambahan termasuk bilik sakit, bilik solat, perpustakaan, dan ruang dobi, “ ujar Pengurus Kanan YCK, Pusenthi Maniam (gambar bawah, kiri) ketika ditemui.


Menurutnya, Pusat Sehenti Kanak-Kanak YCK ini bertujuan memberikan pendidikan holistik, menyokong kesihatan mental, dan menyediakan ruang selamat serta inovatif untuk kanak-kanak membesar dengan yakin dan bebas meneroka potensi mereka. 


Pembangunan pusat ini menggambarkan komitmen YCK untuk memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan dalam mengejar masa depan yang lebih baik.


Sebagai pelengkap kepada sambutan majlis, kanak-kanak YCK mempamerkan bakat mereka yang memukau menerusi persembahan tarian, puisi, dan muzik yang memikat hati hadirin.



Untuk rekod, Yayasan Chow Kit (YCK), yang pada awalnya dikenali sebagai Yayasan Salam Malaysia dan kemudian disebut Nur Salam, merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang diasaskan pada tahun 2007 oleh Datuk Dr. Hartini Zainudin. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menghubungkan sukarelawan dan pihak korporat dengan projek serta keperluan komuniti.



Nama ‘Nur Salam’, yang membawa maksud “Cahaya dan Kedamaian”, menggambarkan peranannya sebagai ‘rumah cahaya dan kedamaian’ untuk kanak-kanak, atau lebih tepat, sebagai tempat perlindungan yang selamat.



YCK berkembang daripada Nur Salam dan telah diperbadankan secara rasmi pada 19 Januari 2011. Logo YCK, yang menyerlahkan percikan warna-warni di tengah-tengah kawasan kelabu Chow Kit, melambangkan usaha untuk meraikan kehidupan sambil membawa perubahan positif kepada kanak-kanak, keluarga, dan masyarakat di kawasan tersebut.


Info lanjut layari laman rasmi YCK di LINK INI.



#YayasanChowKit #CahayaDanKedamaian #PusatSehentiKanakKanak #NGO #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan