Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

1,000 PELAJAR, 23 PIBG SEKOLAH KAWASAN PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK TERIMA BANTUAN!


Bandar Tun Razak, 26 Januari
– Dalam usaha meringankan beban ibu bapa dan memastikan anak-anak mendapat persediaan terbaik untuk sesi persekolahan 2025, Program Kembali ke Sekolah dan Penyerahan Sumbangan Khas kepada PIBG Sekolah-Sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak telah diadakan dengan meriah di Auditorium, Pusat Latihan DBKL  di sini hari ini.


Dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, program ini menjadi simbol keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan serta komitmen bersama pelbagai pihak dalam memastikan pendidikan terus menjadi keutamaan.


Dalam majlis tersebut, seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan termasuk beg sekolah sumbangan Yayasan MyPrihatin dan baucar bernilai RM100 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak



Selain itu, sumbangan khas berbentuk cek bernilai RM5,000 diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi setiap 23 sekolah rendah dan menengah, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan RM115,000.


Foto: Zaman.

"Usaha seperti ini selari dengan agenda kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan,"ujar Dr. Wan Azizah.


Turut hadir antaranya Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Azman Bidin; Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz dan  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasa MyPrihatin, Muhd Al-Bazli Bakar.




Menurut Dr. Wan Azizah, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan, seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan 4.1 juta isi rumah serta peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya untuk manfaat 9 juta penerima. 


Usaha ini, katanya, membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan memastikan pendidikan terus menjadi keutamaan.


Isteri Perdana Menteri Malaysia itu  turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai jalan untuk mengubah kehidupan, seperti yang digambarkan dalam surah Al-Alaq, yang memulakan wahyunya dengan perkataan “Iqra’” atau “Bacalah”.


Beliau menyeru ibu bapa untuk terus memberikan galakan kepada anak-anak agar berusaha mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat tertinggi.



Anak-anak pula dinasihatkan supaya memupuk nilai-nilai murni seperti menghormati ibu bapa, guru-guru, dan orang di sekeliling mereka. 


Mereka juga diingatkan untuk menjauhi gejala negatif seperti membuli, merokok, dan terjebak dalam kegiatan tidak sihat sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.


Majlis diakhiri dengan jaminan bahawa usaha membantu masyarakat Parlimen Bandar Tun Razak akan diteruskan melalui pelbagai program yang dirancang demi kesejahteraan rakyat. 



Dr. Wan Azizah turut berharap agar anak-anak yang menerima manfaat program ini akan terus berjaya dan memberi sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat, dan negara pada masa hadapan.


"Saya yakin program seperti ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutama anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan bagi tahun 2025 yang akan bermula pada 17 Februari 2025 nanti," akhiri beliau sekali gus merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang banyak memberi sokongan dan sumbangan kepada program, antaranya Yayasan MyPrihatin, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, dan Pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Zon Bangsar Pudu.



#ProgramKembaliKeSekolah #ParlimenBandarTunRazak #DrWanAzizah #PIBG #fyp





Tiada ulasan:

Catat Ulasan