Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

INSAF MALAYSIA HIDUPKAN SEMULA PROGRAM 'BERAS AMAL SEKAMPIT' BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

 


SELEPAS terhenti akibat pandemik COVID-19, Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) kini kembali giat melaksanakan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK)


Program yang diperkenalkan sejak 2009 ini bertujuan membantu golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, dan rumah kebajikan yang memerlukan bantuan makanan asas.


Presiden dan Pengasasnya, Ishak Abdul Kadir, berkata, tahun ini Insaf Malaysia menyasarkan kutipan sebanyak 30 tan beras, yang akan diagihkan melalui tiga dapur utama di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 


"Program ini dihidupkan semula dengan skala yang lebih besar selepas mengalami kesukaran untuk dilaksanakan ketika pandemik," ujar Ishak pada majlis pelancarannya yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Komuniti Insaf Malaysia 'After School Club' di Setiawangsa baru-baru ini.


Turut hadir artis otai rege, pelantun lagu 'Saya Anak Malaysia', Salim Ibrahim atau lebih popular dikenali sebagai dR Sam Rasputin; Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid dan Setiausaha IRAMA, Hj Kamal Kasim dan wakil Parlimen Gombak, Hj Nurrizal Imran.





Berkongsi lanjut, Ishak memaklumkan inisiatif program memberi tumpuan kepada pelbagai kelompok penerima, termasuk anak-anak yatim, murid-murid sekolah, dan komuniti kurang bernasib baik. 


Salah satu komponen utama program ini ialah Dapur Insaf, yang menyediakan makanan tengah hari setiap hari untuk kira-kira 750 individu di lokasi seperti Taman Seputeh, Setiawangsa dan Pulau Pinang.


"Untuk Dapur Insaf, kita akan memasak untuk murid-murid sekolah dari Isnin sampai Jumaat dalam kuantiti 200 hingga 250 pelajar anak-anak yatim di sekolah. 

Ia adalah program makan tengah hari dimana kami akan beri murid makan sebelum aktiviti kokurikulum dan kelas sekolah agama. 


“Dapur Insaf ini berada di Taman Seputeh untuk kawasan Kuala Lumpur dan Setiawangsa untuk kawasan Gombak, Ampang dan Pandan," ujar Ishak



Selain itu, bantuan foodbank turut disediakan untuk sekolah-sekolah terpilih, dengan murid-murid asnaf menerima beras, minyak masak, dan barangan asas lain. 


Sebahagian daripada kutipan beras juga disalurkan kepada OKU, warga emas, dan rumah kebajikan. 


Ishak menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja membantu meringankan beban penerima tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa murid.


"Jadi satu pertiga daripada kutipan beras ini adalah untuk kegunaan Dapur Insaf," tambahnya.


Namun, beliau turut mengakui cabaran besar dalam mendapatkan bekalan beras dalam jumlah besar akibat sekatan pembelian pukal. 



Untuk mengatasi masalah ini, Insaf Malaysia telah membuka tiga pusat kutipan di Taman Seputeh, Taman Setiawangsa, dan Perda, Pulau Pinang. 


"Program SBSK yang dibuat di sekolah-sekolah, selain menyediakan makan tengahari, kami turut memberikan foodbank barangan makanan seperti beras (10 kg), minyak masak, kicap dan lain-lain lagi. 


"Beras sekarang sukar didapati. Kalau ada wang pun tak dibenarkan beli lebih daripada beberapa kampit. Setiap kali orang beri wang, bila nak beli pula terhad kerana tidak boleh beli jumlah yang banyak," katanya. 


Seperti contoh, sekiranya mahu membeli 300 kampit beras, ia tidak akan tercapai dan hanya boleh membeli beberapa puluh kampit sahaja pada satu-satu masa. 


"Kalau ikutkan sasaran, saya harapkan mungkin tahun ini kita nak gandakan kutipan, maknanya 30 tan. Jadi kutipan kita mesti dalam 30,000 kilogram. Saya harapkan semua kutipan ini untuk diberikan kepada tiga dapur kita iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 


Selain menghantar beras, Insaf Malaysia juga mempermudahkan urusan penyumbang dengan memperkenalkan pindahan wang menerusi QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090)


"Semua kutipan akan dicatat kerana kami NGO yang ada pelepasan cukai dan buat audit. Untuk kutipan beras, ia bermula dari beras seberat 5 kilogram. 


“Kalau beri beras yang beratnya 10 kilogram, kita hanya dapat berikan kepada 10 orang. Kalau yang 5 kilogram, kita dapat beri kepada 20 orang. Cara ini lagi efisien," katanya. 


Menurut Ishak, program SBSK, Dapur Insaf pertama kali diperkenalkan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang. 


"Pendek kata, untuk sekolah, Insaf Malaysia menyediakan empat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu cermin mata, makan tengahari, farmasi dan foodbank," jelasnya. 


Pak Ayob (kanan) menandatangani MoU bersama Ishak sambil disaksikan oleh dR Sam (kiri) dan Nurrizal pada majlis program 'Beras Amal Sekampit'.


Insaf Malaysia turut bekerjasama dengan Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk membantu golongan seni. 


Melalui kolaborasi ini, 40 hingga 50 kampit beras akan disalurkan kepada IRAMA untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam kalangan penggiat seni.


"Kami akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Presiden Irama, Ayob Abdul Majid bagi tujuan ini. Kami akan memberikan dalam 40 hingga 50 kampit beras bergantung kepada kutipan untuk mereka agihkan kepada golongan sasaran," jelas Ishak.


Program SBSK ini dirancang untuk berlangsung sepanjang tahun, dengan penekanan pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. 



Inisiatif lain seperti program berbuka puasa, edaran bubur lambuk, dan bantuan kepada komuniti Orang Asal juga dirangka bagi melengkapkan usaha kebajikan ini.


“Kami berharap program ini dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat, terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” kata Ishak.


Sejak ditubuhkan, Insaf Malaysia telah membantu lebih 431 rumah kebajikan dan 1,309 murid sekolah, menjadikan ia salah satu pertubuhan yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan di Malaysia.


"Sebelum Pandemik kalendar aktiviti kami rancak dimana 99.9 peratus adalah berkaitan kerja kebajikan. Ia merangkumi 40-45 peratus sekolah dan 20-25 peratus Orang Asal," akhiri Ishak.



#IRAMA #BerasAmalSekampitBerasSatuKeluarga #InsafMalaysia #Bantuan #fyp



Tiada ulasan:

Catat Ulasan