KESIHATAN KOMUNITI DIPERKASA MENERUSI KARNIVAL KESIHATAN MADANI
SEMPENA Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025, Karnival Kesihatan MADANI telah dianjurkan dengan jayanya oleh Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan MyPrihatin pada awal pagi tadi, 25 Januari 2025.
Acara ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan beberapa institusi kesihatan utama seperti Institut Jantung Negara (IJN), IJN Foundation, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pusat Darah Negara, Bahagian Kesihatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, serta Hospital Rehabilitasi Cheras.
Program ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada warga Parlimen Bandar Tun Razak, termasuk pemeriksaan kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD), pemeriksaan jantung, kanser serviks, mammogram, pemeriksaan gigi, dan kaunter rehabilitasi.
Turut disediakan ialah kemudahan untuk menderma darah, memberi peluang kepada masyarakat menyumbang kepada tabung darah negara.
Acara yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail turut menyaksikan beliau menyerahkan Bakul Ihsan MADANI kepada 700 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban masyarakat setempat.
Foto kredit: Instagram @drwanazizah. |
Turut hadir memeriahkan karnival ini ialah pemimpin-pemimpin organisasi kesihatan yang terlibat, antaranya Datuk Dr. Halimaton Hamdan, Pengerusi Yayasan MyPrihatin; Toh Puan Dato’ Seri Dr. Hajjah Aishah Ong, Pengerusi IJN Foundation; Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN; Datuk Azman bin Abidin, Setiausaha Politik Perdana Menteri; Profesor Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, Ketua Pegawai Eksekutif IJN; Dr. Mohammad Masrin Bin Md Zahrin, Pengarah Pusat Darah Negara dan Dr. Faizul Nizam bin Abu Salim, Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras.
“Saringan awal sangat penting kerana ia membolehkan intervensi dilakukan dengan segera untuk mencegah komplikasi yang lebih serius. Jika dikesan lewat, penyakit boleh menjadi lebih parah, rawatan menjadi rumit, dan peluang untuk sembuh sepenuhnya semakin tipis,” ujar beliau.
Menurut tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kadar penyakit NCD di Malaysia masih membimbangkan. Statistik menunjukkan 50.1% rakyat dewasa mengalami obesiti atau berat badan berlebihan, 38.1% menghidap hiperkolesterolemia, 30% mengalami hipertensi, dan 18.3% menghidap diabetes.
Januari juga merupakan Bulan Kesedaran Kanser Serviks, yang diraikan secara global bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang penjagaan kesihatan serviks wanita. Sambutan ini juga memberi penghargaan dan sokongan kepada survivor kanser serviks.
Karnival Kesihatan MADANI ini bukan sahaja menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan berkualiti tetapi juga menjadi platform untuk menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan masyarakat sihat.
Foto kredit: Azmi SWATV |
#KarnivalKesihatanMadani #YayasanMyPrihatin #ParlimenBandarTunRazak #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan